Memiliki haiwan comel sebagai binatang peliharaan di rumah pastinya menggembirakan. Terutama apabila melihat telatah manja yang ditonjolkan haiwan tersebut ketika dibelai. Setiap orang memiliki haiwan peliharaan yang berbeza-beza. Kebiasaan gemar menjadikan haiwan peliharaan seperti kucing untuk dimanja. Namun, ada juga golongan yang ekstrem yang mengemari haiwan lainnya seperti ular, kura-kura dan sebagainya untuk dipelihara sebagaimana keluarga Puan Maizura Eliana ini.
Sememangnya beliau tidak menyangka akan mempunyai haiwan peliharaan eksotik. Namun, anak sulungnya Mirza yang menjadi pencetus yang membuatkan keluarga ini memiliki lebih 30 koleksi haiwan eksotik. Lebih istimewa kesemua haiwan peliharannya itu, diletakkan di ruang tamu rumahnya.
Ibu kepada Mirza Mohd Zaini, 11 tahun dan Misha Mohd Zaini, 8 tahun beranggapan cara sebegini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan secara sihat, sekali gus dapat mengelak anak-anaknya daripada terdedah kepada permainan gajet.
“Apabila ada haiwan peliharaan ini, memang mengeratkan hubungan kekeluargaan kerana ia bukanlah aktiviti seorang sahaja seperti main permainan video atau gajet dan internet.
“Ia melibatkan kerjasama semua ahli keluarga dan tolong menolong dan ada sahaja cerita mengenai keletah haiwan tersebut yang akan dikongsi bersama setiap hari. Apabila ibu bapa menyokong hobi anak, pastinya anak-anak rasa dihargai dan dipedulikan, sedikit sebanyak mengubah sikap anak-anak menjadi lebih penyayang kepada ibu bapa,” jelasnya.
Minat haiwan eksotik
Bercerita lanjut bagaimana timbulnya ilham memelihara haiwan eksotik ini, Mirza menjelaskan ia berlaku setelah membawa anaknya ke taman haiwan ketika anaknya kecil lagi. Bermulanya dari situlah anaknya mula menunjukkan minat dan memintanya untuk memelihara haiwan berkenaan.
“Saya sejak kecil memang tidak pernah ada haiwan peliharaan jadi tidak pernah terfikir untuk ada, sehinggalah dapat anak pertama pada 2007, Mirza yang menunjukkan minat terhadap haiwan. Bermula dengan membawa dia ke tempat haiwan seperti Zoo, Petting Zoo dan Taman Haiwan, lama kelamaan makin bertambah minat dan suami mula beri anak pelihara ayam katik ketika umur lima tahun. Memang sejak kecil dia sangat natural bersama haiwan.
“Ketika usia sembilan tahun, Mirza mula meminta untuk pelihara haiwan eksotik iaitu Hedgehog sehingga mampu membiakkannya dan menjual hedgehog tersebut. Dengan hasil jualan itu pula Mirza mula menambah haiwan peliharaannya dari jenis reptilia seperti Bearded Dragon, Leopard Gecko dan juga berbagai jenis ular.
“Dan sehingga kini dia sudah ada lebih 30 jenis koleksi haiwan peliharaan. Haiwan-haiwan ini kami beli dari penjual yang mengimport atau membiakkan sendiri haiwan tersebut. Anak kedua, bernama Misha juga menunjukkan minat sama mengikut jejak langkah abangnya.”
Dalam pada itu, tambahnya lagi, anaknya mahu memiliki pelbagai jenis haiwan atas keinginan untuk memelihara haiwan berkenaan.
“Saya rasa kerana minat terlalu mendalam terhadap haiwan menyebabkan anak saya, Mirza ingin memiliki sebanyak mungkin haiwan yang boleh dipelihara.
“Dia suka membaca terutama buku berkaitan haiwan dan timbul keinginan untuk memiliki dan mengalami sendiri bagaimana memelihara haiwan tersebut. Mirza bercita-cita ingin menjadi seorang Doktor Haiwan, jadi pengalaman memelihara sendiri haiwan tersebut diharap dapat membantunya kelak,” jelasnya.
Ruang tamu jadi penempatan haiwan
Sebagaimana yang dilakukan oleh sebuah keluarga penyayang ini yang sanggup mengorbankan separuh ruang tamunya menjadi ruang penempatan lebih 30 haiwan kesayangan keluarganya.
“Oleh kerana banyak masa anak-anak dihabiskan bersama haiwan, saya mengambil keputusan untuk mengorbankan bahagian ruang tamu rumah untuk dijadikan ruangan khas haiwan peliharaannya. Ini untuk memastikan kami sekeluarga sentiasa melakukan aktiviti bersama dan saya dapat pantau aktiviti anak-anak. Ia juga bagi memastikan keselamatan haiwan-haiwan tersebut, jadi perlu ada di dalam rumah. Ia juga menjadi tarikan utama apabila tetamu datang ke rumah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hamiza bersyukur suami menyokong minat beliau dan anaknya. “Pada permulaannya, suami agak membantah untuk memelihara haiwan eksotik, apatah lagi reptilia seperti ular. Tetapi lama-kelamaan dia sendiri nampak kesungguhan anak saya dalam menjaga haiwan-haiwannya, mempunyai ilmu mengenai haiwan tersebut dan juga menjana pendapatan dari hobinya itu.”
Kebersihan
Mengakui kebersihan memainkan peranan utama dalam memastikan persekitaran dalam keadaan baik agar kediaman tersebut selesa dihuni dan sekali gus turut tidak mengganggu jiran-jiran.
“Rumah saya adalah jenis corner lot, jadi terdapat bahagian laman tepi rumah yang bertanah lapang di mana haiwan seperti ayam, itik, kucing dan arnab di letak di bahagian luar rumah dalam kawasan sangkar masing-masing. Lain-lain haiwan adalah dari jenis haiwan kecil dan ditempatkan di dalam ruang tamu, juga dalam sangkar atau akuarium masing-masing.
“Setakat ini tiada masalah kebersihan atau bau kerana kawasan laman rumah saya luas dan terbuka dan setiap hari akan di pantau. Kami pastikan kolam itik dicuci dan ditukar air baru serta kandang arnab di sapu bersih setiap hari.
“Manakala sangkar dan akuarium haiwan kecil perlukan cucian sekali seminggu. Tidak semua haiwan perlu mandi, kami hanya mandikan kucing, hedgehog dan guinea pig sekali sebulan. Haiwan lain seperti arnab, sugar glider, burung dan hamster hanya perlu mandian spray syampoo yang khusus.
“Haiwan reptilia seperti bearded dragon, ular dan lain-lain hanya perlu disediakan bekas air untuk mereka berendam atau melembapkan badan bagi memudahkan apabila proses salin kulit. Sememangnya tugas menjaga semua haiwan ini dilakukan oleh semua ahli keluarga termasuk, suami dan anak-anak. Jika tidak, putus asa juga saya kalau seorang saja yang uruskan. Lagipun haiwan-haiwan reptilia contohnya, hanya Mirza sahaja yang berani memegang dan beri makan,” jelasnya yang menetap di Taman Pelangi Semenyih, Semenyih, Selangor
Peruntukkan bulanan
Memelihara haiwan yang banyak memerlukan sejumlah peruntukkan bagi memastikan haiwan-haiwan peliharaan dalam keadaan baik dan sihat. Keluarga penyayang ini tidak lokek menanggung kos bulanan bagi haiwan-haiwannya.
“Haiwan-haiwan eksotik dan reptilia ini memang diketahui bernilai tinggi, kos untuk membeli pun sudah bernilai ratusan hingga ribuan ringgit. Oleh itu penjagaan haruslah bersungguh-sungguh juga. Setiap haiwan memerlukan habitat berlainan, ada yang berasal dari kawasan panas jadi memerlukan lampu dipasang 12 jam setiap hari, ada kawasan lembap dan berair, begitu juga pelbagai jenis diet makanan berbeza untuk reptilia, mamalia, burung dan amfibia.
“Oleh itu kos penjagaan agak tinggi pada permulaan kerana perlu sediakan habitat yang sesuai, sangkar atau akuarium dan aksesori yang sesuai, manakala kos bulanan pula lebih kurang RM500,” jelasnya.
Sumber: Majalah Keluarga Isu Januari 2019