Kelebihan Hari Arafah Yang Ramai Kena Tahu Terutama Hal Doa Mustajab!

Share

Tidak lama lagi kita bakal menyambut hari raya Aidiladha. Sudah tentunya kita tidak lupa 9 Zulhijjah. Ini kerana pada itu adalah Hari Arafah juga adalah hari kedua dalam ibadah haji bagi umat Islam yang mampu melaksanakannya.

Dipanggil nama sedemikian kerana pada hari ini para jemaah haji akan ke Gunung Arafah dari Mina serta Padang Arafah.

Hari Arafah mempunyai banyak kelebihan kerana ketika itu umat Islam yang mengerjakan Haji berwukuf pada tempat dan waktu yang mulia di padang Arafah.

Manakala umat Islam yang tidak mengerjakan Haji disunatkan berpuasa pada hari tersebut.

Rasulullah bersabda

“Sebaik-baiknya doa adalah doa hari Arafah dan sebaik-baik perkataan yang aku dan nabi-nabi sebelum ku selalu melafazkan adalah; Laa ilaaha illallaah wahdahuu laa syariikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ala kulli syaiin qadiir (Tidak ada Tuhan selain Allah yang maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nyalah kekuasaan dan pujian, dan Dia maha kuasa atas segala-galanya). (HR Tirmizi).

 

 

Terdapat banyak kelebihan yang ada di Hari Arafah, antaranya;

1 – Hari penyempurnaan agama dan nikmat.

2 – Hari raya bagi seluruh umat Islam.

3 – Hari Arafah merupakan genap (as-Shafa’) dalam surah al-Fajr.

4 – Sebaik-baik hari.

5 – Menyamai 10,000 hari.

6 – Haji yang Agung.

7 – Puasanya akan menghapuskan dosa untuk dua tahun.

8 – Hari pengampunan dosa, pelepasan azab api neraka dan kemegahan bagi orang berwuquf di Arafah.

 

Berdoa

Perbanyakkan berdoa, namun tidak ada doa yang khusus. Berdoalah di dalam bahasa yang difahami kerana Allah itu maha mengetahui. Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tidak ada satu hari yang Allah lebih banyak membebaskan seorang hamba dari api neraka melainkan hari Arafah. Sesungguhnya Allah amat hampir dan membanggakan mereka di hadapan malaikat-Nya seraya berkata, “Apa yang mereka inginkan? (tentu Aku kabulkan).”

Kebiasaan yang Nabi lakukan ketika itu adalah bersungguh-sungguh berdoa hingga mengangkat tangan tinggi hingga putih ketiaknya sambil berdiri. Itulah tandanya bersungguh- sungguh di dalam berdoa. Itu perkara yang Nabi buat dari selepas Asar hingga Maghrib .

Lebih afdal berdoa di tempat lapang untuk menunjukkan kesungguhan dan sifat rendah diri. Jika kita duduk di tengah kawasan lapang yang dikelilingi oleh 4 juta jemaah haji, masing-masing berdoa kepada Allah. Simboliknya, diri kita terlalu kerdil di tengah-tengah lautan manusia, ertinya ia melambangkan kehebatan Allah.

Berzikir
Perbanyakanlah zikir khusus seperti yang disebut di dalam hadis itu ataupun zikir-zikir lain tidak menjadi masalah, hayatinya serta diulang-ulang. Atau boleh juga amalkan zikir yang di sebut Rasulullah lewat hadis-hadisnya seperti:

Daripada Abu Dzar r.a. katanya Rasulullah s.a.w pernah ditanya orang, “Apakah ucapan zikir yang paling afdhal (utama), ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Iaitu ucapan zikir yang dipilih Allah bagi para malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya ialah; Subhanallahi wabihamdihi – (Maha suci Allah dan Maha terpuji Dia).”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Siapa membaca kalimat tahalil: Laa ilaaha illallahu wahdahu la syariikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa alaa kulli syai-in qadiir., sebanyak 100 kali dalam sehari maka dia beroleh pahala sebanyak pahala memerdekakan 10 orang budak (hamba) dan dicatat untuknya 100 kebajikan serta dihapus daripadanya 100 kesalahan (dosa), dan pada hari itu dia terpelihara daripada godaan syaitan sampai petang. Dan tidak seorang pun yang melebihi amalnya kecuali orang yang membacanya lebih banyak dari seratus kali. Dan siapa yang membaca; Subhanallaahi wa bihamdih, sebanyak 100 kali dalam sehari dihapuskan kesalahannya walaupun sebanyak buih di lautan.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Dua kalimat yang ringan di lidah (mengucapkannya) tetapi berat timbangan (pahalanya) dan kedua-duanya disukai Allah swt ialah: Subhaanallahi wa bihamdih, subhaanallaahi azhiim.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah bersabda, “Membaca Subhaanallah wal hamdulillah wa la ilaaha illallaah wallaahu akhbar, lebih disukai dari matahari terbit di pagi hari.”

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club