Setelah lebih 4 tahun bergelut dalam konflik rumah tangga, akhirnya pasangan pelakon, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah mencapai kata putus untuk berpisah pada 18 April ini.
Meskipun pelbagai isu dan masalah yang timbul ketika proses penceraian, namun difahamkan kata sepakat telah pun dicapai dalam keadaan yang tenang selepas berjumpa dan berbuka puasa bersama.
Memetik laporan mStar, Puteri Sarah meluahkan rasa syukurnya terhadap perkara yang berlaku dan segalanya dipermudahkan di bulan Ramadan yang mulia ini.
“Alhamdulillah keberkatan Ramadan. Semuanya dipermudahkan. Kami dah sepakat malah Syamsul setuju dengan semua terma yang saya mahukan,” kata Puteri Sarah.
Dalam masa yang sama, Puteri Sarah turut menekankan bahawa tiada permusuhan antara mereka berdua sebaliknya mahu kekalkan hubungan sebagai kawan demi anak-anak.
“Kami akan berpisah dengan tenang dan tiada permusuhan. Kami kekal sebagai kawan demi anak-anak. Jumpa Syamsul semalam pun kami tidak bergaduh,” terangnya lagi.
Sementara itu, kes nusyuz yang telah difailkan terhadap Puteri Sarah pada 21 Mac lalu juga akan ditarik balik oleh Syamsul dan akan melanjutkan sebutan berkaitan hak penjagaan anak pula.
Sumber: mStar