Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India jadi ‘wake up call’ lelaki peluk Islam. Kejadian tanah jerlus berhampiran Masjid India, Jumaat lalu menjentik naluri seorang lelaki untuk memeluk Islam.
Lelaki berusia 48 tahun itu didakwa menemui pegawai Islamic Outreach ABIM (IOA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Masjid Negara untuk meluahkan hasratnya menjadi saudara baharu sebelum menitiskan air mata selepas mengucap syahadah.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, lelaki yang terselamat dari terjatuh dalam tanah jerlus menyifatkan kejadian terbabit mempunyai hikmah tersendiri yang membuka pintu hatinya memeluk Islam.
Katanya, lelaki itu hadir secara sukarela dengan ditemani dua kenalannya untuk menjadi saksi pengislamannya yang berlangsung di IOA Centre, Masjid Negara kira-kira 11 pagi, Isnin lalu.
“Sememangnya ABIM aktif menjalankan dakwah dan program untuk pengislaman, namun dalam kes lelaki ini agak unik kerana dia sendiri yang datang kepada pihak kami di Masjid Negara untuk menyatakan hasratnya berhijrah.
“Daripada maklumat diterima, lelaki itu memberitahu pegawai kami, dia sudah lama menyimpan hasrat memeluk Islam kerana sentiasa mengingati pesanan seorang imam yang ditemuinya semasa kecil iaitu jangan makan makanan haram dan tidak bersih serta jangan bercakap buruk tentang agama Islam.
“Namun, menurutnya tanah jerlus di Masjid India menjadi ‘wake up call’ (penyedaran) untuk dia memeluk Islam kerana dia percaya ada hikmahnya, menyebabkan baru kami sedar rupanya dia salah seorang individu yang berada di lokasi kejadian itu,” katanya.
Beliau mengulas mengenai perkongsian tular membabitkan pengislaman salah seorang mangsa kejadian tanah jerlus di Masjid India.
Menurut perkongsian itu, lelaki itu adalah pemuda yang terselamat dari terjatuh dalam tanah jerlus seperti video tular semasa kejadian itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan identiti sebenar lelaki itu atas permintaannya sendiri.
“ABIM memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baharu ini bertenang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan beliau.
“Dalam masa sama, ABIM juga mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan dan menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa.
“ABIM juga mengajak semua umat Islam untuk terus menyebarkan keindahan Islam, selanjutnya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT,” katanya.
Dalam kejadian Jumaat lalu, sekumpulan individu dilihat sedang berjalan di kawasan Masjid India, sebelum salah seorang daripadanya terjatuh ke dalam lubang benam di kawasan itu.
Pihak berkuasa mengesahkan mengesahkan mangsa ialah seorang wanita warga India berusia 48 tahun.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang memasuki hari ketujuh hari ini masih diteruskan dengan menggunakan kaedah Ground Penetrating Radar (GPR).
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Masuk Tahun Ke-2 Peluk Islam, Margaret Gan Bersyukur Diberi Kesihatan Baik Untuk Berpuasa
Kasih Seorang Ibu! Sokong Muhammad Mikhael Peluk Islam, Siap Hadiahkan Sejadah Teman Ke Masjid
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my