Kecil-kecil Pun Boleh Kena Diabetes, Jadi Awasi Pemakanan Anak-anak!

Share

Penyakit diabetes makin tidak mengenal usia, sekiranya dahulu lebih sering kita dengar merupakan penyakit orang tua-tua, namun sekarang anak kecil juga berpotensi mendapat penyakit ini.

Ini sebagaimana perkongsian satu kisah daripada Klinik Dr Muhaimin, siapa sangka anak seawal usia 11 tahun apabila diuji kandungan gula dalam darahnya menunjukkan bacaan hi, iaitu bacaan tinggi yang tidak mampu dibaca oleh alatan tersebut.

Kes seperti ini pasti membimbangkan, bagaimana anak masih kecil boleh mengidap penyakit bahaya seperti itu?

Nak tahu lanjut, ikuti perkongsian dr. ini.


Pesakit perempuan berumur 11 tahun masuk dengan terhuyung-hayang. Fizikalnya seperti pelajar sekolah menengah.

Duduk dengan penuh keletihan.

Pernafasannya cukup laju.

“Masalah apa ni?”

“Demam doktor. Dah 4 hari. Bagi ubat tapi tak kebah.”

Jawab ayah tiri pesakit.

“Takut jadi macam abang dia baru-baru ni.”

“Abang dia sakit apa?”

“Kencing manis. Tinggi sampai tak boleh baca. Umur baru 13 tahun.”

“Abang dia masuk ICU hari tu.”

Suhu badan saya periksa. Normal.

Oksigen dalam darah 98%. Tapi pernafasan pesakit cukup laju.

“Ada muntah-muntah?”

“Ada.”

Gula pun diperiksa.

Hi.

Itu yang keluar di skrin. Tinggi yang tidak mampu dibaca.

“Mak ayah dia ada kencing manis?”

Soal saya.

“Tak ada”.

“Macam mana boleh kena kencing manis ni. Muda lagi ni.”

“Kuat makan meggi.”

“Air kotak? Air tin?.”

“Ada juga doktor. Puas larang dah. Dia beli senyap-senyap. Bila periksa dalam bilik jumpa la makan yang disorok.”

Pesakit ini berkemungkinan mengalami “diabetic ketoacidosis”.

Ia adalah keadaan kecemasan di mana pesakit mengalami paras glukos yang tinggi dalam darah dengan pernafasan yang cepat serta dalam keadaan keliru atau koma.

Kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian.

Pemakanan dan gaya hidup kita menentukan tahap kesihatan kita pada masa hadapan.

Gambar hiasan

Obesiti, pemakanan kurang sihat dan gaya hidup tidak aktif merupakan isu besar dalam masyarakat kita.

Peningkatan kes penyakit kronik di kalangan kanak-kanak dan remaja sekarang sangat membimbangkan.

Kesihatan kita bergantung kepada apa yang kita makan sekarang.

Kerana itu ada kalam hukama’ berbunyi ; “perut itu ibu segala penyakit.”

Sumber : Klinik Dr. Muhaimin

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club