Setiap orang mempunyai cita-cita yang didambakan dari kecil. Malah apabila meningkat dewasa, kita akan cuba untuk mendapatkan kerjaya yang diidamkan lebih-lebih lagi jika sudah mengambil pengkhususan yang berkaitan.
Namun kadang-kala rezeki tidak berpihak pada apa yang yang kita inginkan tetapi Allah gantikan dengan yang lebih bermakna untuk kita.
Begitulah yang dihadapi oleh seorang wanita, Rufaihah Ishak yang turut mengalami kekecewaan selepas terkandas dalam temuduga kerja pertama bagi jawatan pensyarah pada Disember 2022.
Mengakui dia sangat kecewa dengan kegagalan tersebut kerana ia adalah cita-citanya yang diimpikan sejak sekian lama.
Kata ibu kepada tiga cahaya mata ini, akhirnya akur dengan ketentuan Allah. Malah dia bersyukur kerana keluarga dan suaminya tidak lekang memberi kata-kata semangat supaya dia terus berusaha untuk mencapai impian.
“Pada awal tu suami berat hati apabila saya cakap nak mohon (jawatan pensyarah) tapi selepas saya yakinkan, dia akhirnya bersetuju dan membantu apa yang patut.
“Apabila dipanggil temuduga, memang rasa gembira sangat… saya bagi komitmen sepenuhnya untuk mendapatkan jawatan yang ditawarkan.
“Tapi apakan daya, saya tidak berjaya menempatkan diri malah semasa menghadirinya, saya sudah agak ‘senior’ berbanding calon lain yang rata-ratanya 20-an.”
Disebabkan ingin mengetahui siapa yang berjaya menjawat jawatan berkenaan, Rufaihah memuatnaik status di media sosial berhubung perkara tersebut.
Akhirnya anak kelahiran Klang, Selangor ini terkejut selepas mengetahui individu yang berjaya menyandang jawatan tersebut adalah seorang lepasan universiti yang tidak mempunyai sebarang pengalaman kerja dan hanya berkelulusan ijazah.
“Saya ingatkan pesaing ada master dan sedang sambung doktor falsafah yang berjaya tapi rupanya bukan… selepas diselidiki, rupa-rupanya graduan baharu,” ujarnya yang berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam jurusan Peruncitan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Merasakan graduan baharu itu tidak layak, dia menceritakan situasi ketika temuduga kerja berlangsung.
Menurutnya, enam calon memasuki bilik yang sama dan duduk berhadapan panel penemuduga.
“Apabila diminta memperkenalkan diri, saya adalah orang pertama yang menjawab termasuk kesemua soalan yang diajukan… dan saya menjawabnya dengan baik.
“Masa ini saya terangkan sudah ada bisnes tetapi minat untuk menjadi pensyarah serta meneruskan cita-cita.
“Individu tersebut berbeza, dia hanya ‘copy and paste’ ayat saya sebab itu tak jangka dia yang dapat. Mungkin juga sebab dia graduan baharu dan sesuai dengan gaji yang ditawarkan,” luahnya sayu.
Meskipun masih berharap dapat mencapai cita-citanya itu, wanita berusia 34 tahun enggan terus dibelenggu kesedihan.
Dia kembali bangkit dan merencanakan perniagaan pakaian yang telah dimulakan sejak 2012 iaitu selepas tamat pengajian ijazahnya, supaya berkembang lebih besar.
Pada Februari lalu dia mula mengaktifkan diri dengan menghasilkan beberapa rekaan dan koleksi Hari Raya Aidilfitri.
Umpama rezeki terpijak, setiap rekaan yang dihasilkan di bawah jenamanya mendapat sambutan baik sehingga menjadi tular.
“Bayangkan dalam tempoh sejam, kira-kira 200 pasang baju terjual,” ceritanya yang memulakan perniagaan menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai modal.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tampil memberi kata-kata semangat dan berkongsikan kisah mereka yang pernah berhadapan situasi sama.
Ada juga yang menitipkan semangat agar wanita ini tidak putus asa dalam mengejar cita-citanya sebagai pensyarah.