Kebakaran Wisma Jakel Dipercayai Akibat Litar Pintas, Alami Kerugian Anggaran Hampir RM 100 Juta

Share

Litar pintas dipercayai punca kebakaran Wisma Jakel, di Seksyen 7, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan kira-kira 7 pagi dan anggota polis bertugas menjalankan kawalan lalu lintas dan keselamatan di lokasi kejadian.

“Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati usaha memadamkan kebakaran masih giat dilakukan sejak jam 7 pagi.

Bangunan berkenaan masih diliputi asap tebal dan anggota bomba dilihat masih berusaha memadam api.

Dalam pada itu, kerugian akibat kebakaran Wisma Jakel, di Seksyen 7 di sini, dianggarkan hampir RM100 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, jumlah berkenaan hanya membabitkan nilai bangunan dan jumlah sebenar kerugian belum dapat dianggarkan.

Beliau berkata, cawangan berkenaan membawa keuntungan kepada syarikat sekitar RM300 juta setahun.

Katanya, kebakaran itu dipercayai berlaku antara 7 hingga 7.15 pagi selepas dimaklumkan oleh adiknya yang juga pengurus Jakel cawangan terbabit.

“Bangunan ini nilainya sekitar RM100 juta membabitkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat.

“Api dipercayai bermula daripada bahagian pakaian lelaki di tingkat satu, namun punca sebenar masih belum diketahui.

“Ini kerugian besar kepada syarikat bagaimanapun kami reda dengan ketentuan Allah ini dan saya yakin ada hikmah serta yakin Allah akan ganti dengan lebih baik.

“Sebagai orang Islam kita kena percaya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Ditanya sama ada syarikat akan mencari lokasi sementara untuk jualan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Mohamed Faroz berkata, pihaknya akan mencari lokasi berkenaan secepat mungkin.

Katanya, lokasi akan dipilih sekitar Shah Alam berikutan cawangan berkenaan menjadi tumpuan orang ramai antara tiga hingga empat bulan sebelum Aidilfitri.

“Buat masa ini, pelanggan serta peminat Jakel boleh mengunjungi cawangan kami di Jakel Mall Kuala Lumpur; Bangi serta di Bandar Tun Hussien Onn, Cheras,” katanya.

sumber : Harian Metro