Lazimnya kita sering mendengar, orang dulu-dulu bila tiba malam Jumaat akan membaca surah Yasin. Jika tidak dibaca beramai-ramai di surau, pasti akan dibaca secara sendirian di rumah. Tidak pun surah yasin akan dibaca ketika majlis-majlis tahlil.
Pun begitu, tahukah anda sebenarnya membaca surah Yasin ini tidak hanya dikhususkan pada hari-hari tertentu, bahkan adalah lebih diamalkan dalam kehidupan harian.
Melalui perkongsian daripada Yusra Idham di akaun fbnya berkenaan satu kisah amalan membaca yasin wajar untuk kita jadikan panduan. Ini perkongsian penuh daripadanya:
Dulu masa arwah Abah ada, Mak selalu pesan. “Nak Abah sihat, jangan tinggal Yasīn setiap pagi. Amal dan doa moga Abah diberi kesihatan yang baik.”
Masa tu, amal jer sebab sayang Abah. Nak sangat Abah kembali macam biasa. Gelak-gelak, melawak, ceria, boleh jalan-jalan.
Saya tak pernah tahu apa kelebihan baca Surah Yasīn setiap pagi. Hingga kakak saya Suwaidah Idrus syorkan baca Surah Yasīn. Kebetulan saya memang futur waktu tu dan rasa down sangat-sangat. Beliau lah yang menceritakan kelebihan-kelebihan baca Surah Yasīn dan keajaiban yang berlaku kepada beliau setelah mengamalkan surah ini.
Dia kata, “duk jauh dengan family elok amal surah Yasīn. Nak apa, niat jer sambil baca Surah ni. In shaa Allah, Allah maqbulkan.”
Ternyata setelah bertahun-tahun saya amalkan, Alhamdulillah satu persatu Allah makbulkan.
Antaranya, walaupun saya selalu mohon pada Allah moga Abah kembali sihat, dalam masa yang sama saya juga mohon untuk Allah beri kesempatan untuk saya berkhidmat untuk Abah.
Dan Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya, walaupun baru jer balik cuti tapi saya sempat untuk berkhidmat hingga nyawa abah yang terakhir.
Beberapa doa yang lain saya mohon pada Allah, Allah makbulkan.Walaupun lambat, Alhamdulillah saya perolehinya.
Ayuh sahabat. Saya nak sangat ajak sahabat-sahabat sama-sama amalkan surah yasīn di awal pagi sebagai permulaan sebelum kita melakukan sesuatu.
In shaa Allah biiznillah jika niat kita baik, Allah akan bantu.
Ads
Petikan ini dari buku #DiaAturKitaAkur hasil karya cikgu Khairy Tajudin.
Ini pula jawapan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan secara lebih detail tentang kelebihan membaca surah Yasin.
Berdasarkan soalan di atas, membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran. Selain itu, hadith Nabi SAW juga menunjukkan bahawa sesiapa yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang besar. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.[Riwayat al-Tirmizi, no. hadith 2835]
Hadith berkaitan kelebihan membaca Yasin
Terdapat sebuah hadith yang dinilai sahih oleh Ibn Hibban walaupun status menjadi perselisihan oleh para ahli hadith, namun Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Sahih Ibn Hibban. Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akandiampunkan dosanya”. [Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 2574]
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”. [Riwayat al-Tirmizi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 2812 dan riwayat al-Darimi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 3282]
Hukum hadith
Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadith ini gharib.[Lihat: Sunan al-Tirmizi, no. hadith 2812]
Imam al-Mizzi dan Imam al-Zaila’iy menaqalkan pendapat al-Tirmizi yang menyatakan salah seorang daripada perawi di dalam hadith ini adalah majhul iaitu Harun Abu Muhammad. Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar juga berpendapat sedemikian.
Imam Ibn Kathir menyatakan tidak sahih disebabkan sanadnya dhaif (lemah).
Daripada Ubaiy bin Ka’ab, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin kerana Allah SWT akan diampunkan oleh Allah SWT akan dosanya, akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak 12 kali. Begitu juga, apabila dibacakan surah Yasin pada orang yang sakit, akan turun kepadanya setiap satu huruf sepuluh orang malaikat yang akan berdiri di sisinya dalam keadaan berbaris dan para malaikat tersebut akan selawat dan beristighfar kepadanya serta menyaksikan ketika nyawanya diambil dan akan memandikannya. Tambahan pula, akan mengikut jenazahnya serta sembahnyang ke atasnya dan menyaksikannya ketika ditanam. Selain itu juga, apabila dibacakan surah Yasin ke atas orang yang sakit ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak akan diambil nyawanya oleh malaikat maut sehingga datang malaikat Ridhuan iaitu penjaga syurga dengan membawa minuman daripada syurga maka orang tersebut akan meminumnya ketika berada di atas katil maka dia pun meninggal dalam keadaan tenang dan orang tersebut tidak mengharapkan lagi telaga daripada telaga nabi-nabi sehingga dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tenang (bahagia)”.
Hukum hadith
Ads
Syeikh al-Albani menghukum hadith tersebut adalah palsu.[Lihat: al-Silsilah al-Dhaifah, no. hadith 4636]
Dikatakan bahawa Nabi SAW telah bersabda:
“Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yasin dan rakaat kedua surah al-Mulk. Allah SWT jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima buku amalannya di tangan kanannya dan diberi kesempatan untuk membela 70 orang daripada ahli keluarganya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik”.
Hukum hadith
Kami tidak menjumpai asalnya. Ini kerana, asal di dalam ibadat adalah tawaqquf (terhenti) sehingga adanya dalil yang menceritakan akan hal tersebut.
Tarjih
Setelah kami melihat terhadap hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa kebanyakan hadith yang menceritakan akan kelebihan surah Yasin adalah dhaif (lemah) atau palsu. Walaupun begitu, kita sangat digalakkan dan dituntut untuk sentiasa melazimi dan membaca al-Quran tidak kira masa atau tempat, berdasarkan dalil umum yang terdapat di dalam al-Quran dan juga di dalam al-Sunnah al-Sahihah.
Penutup
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan al-Quran serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara lidah kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.
Setiap wanita punya cara tersendiri untuk menjaga penampilan diri. Baik diet secara biasa mahupunekstrem bergantung kepada kemampuan masing-masing.
Seperti mana yang dikongsikan oleh Datin Eina Azman menerusi lama instagramnya. Beliau menggunakan kaedah mengehadkan pengambilan nasi iaitu sebanyak dua kali dalam masa sebulan. Ini bagi mengekalkan berat badan dan saiz pinggang yang diidamkan.
Perkongsian tersebut dimuat naik menerusi ruangan Ask Me A Question di laman Instagram selepas menjawab beberapa pertanyaan pengikutnya mengenai tips diet yang diamalkan.
Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman memberitahu yang dia sememangnya menggemari nasi tetapi berat badannya akan bertambah ‘berkilo-kilo’. Disebabkan itu, dia harus mengawal pengambilan nasi.
Dalam masa yang sama juga, Eina turut mengamalkan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran untuk kekal kenyang sepanjang hari sekali gus mempunyai banyak nutrisi dalam membantu proses diet harian.
“Jadi sekarang ni saya cuma akan makan nasi dalam sebulan dua kali sebab nak kekalkan berat dan pinggang idaman saya.
“Saya banyakkan makan buah-buahan dan sayuran. insya-Allah ok akan kenyang,”kongsi Eina lagi.
Penggunaan media sosial diakui menjadi keutamaan bagi kita semua dan sering dianggap penting sebagai medium untuk berkongsi cerita apa yang berlaku di dalam kehidupan sehari-harian.
Bahkan bila dilihat senario masa kini, hingga ada yang berlebih menunjuk-menunjuk kemewahan, kekayaan dan harta yang dimiliki di media sosial. Trend ini dilihat tidak sihat dan atas sebab itu terpanggil untuk Peguam Nor Zabetha berkongsi pandangan dan pengalamannnya yang diharapkan dapat memberi pengajaran untuk kita semua.
Budaya ‘Fit In’ Jadi Ikutan
Macam-macam cara orang gunakan untuk ‘fit in’. Hendak sesuaikan diri atau juga hendak menjadi ‘champion’ atau hebat di mata masyarakat. Tambah pula zaman media sosial ini. Sebab itu wujud budaya seperti ‘flex’. Barangkali juga untuk mendapat perhatian dan ‘respect’ orang ramai.
Cumanya, kalau terlalu diikutkan sangat ‘trend’, lama-kelamaan mengundang rasa marah, benci atau kecaman orang awam. Niat asalnya, kita hendak orang lihat dan nampak kita hebat.
Berpada-pada. Sudah cukup baik. Melihat video seperti influencer menunjukkan koleksi jamnya, “Oh! Ini tak mahal sangat. Ini harganya berapa ratus ribu je”.
“Takkan saya hendak tunjuk kaya saya sehingga saya hendak tunjuk duit berjuta dalam peti besi tu”.
Ada juga influencer yang tercabar bila diperli asetnya masih dalam pinjaman bank, untuk membuktikan dia susun duit-duit dalam peti di rumahnya dan menceritakan bahawa ada jutaan ringgit lagi.
Saya selalu terfikir apa tujuan perbuatan yang begini. Untuk dilihat hebat? Untuk disanjung? Jika itu tujuannya, di ruang komen yang saya baca bukan kata-kata pujian tetapi sebaliknya.
Yang Kecil Pun Tahu Membanding Jenama
Budaya begini sudah menjadi ikutan pula dalam masyarakat kita. Malahan menjadi ikutan remaja-remaja dan generasi baru. Yang kecil pun sudah tahu membandingkan jenama.
Kalau ke sekolah berbag Smiggle itu pastinya hebat. Jenama mengambarkan status antara mereka dan menyebabkan rasa penting dan hebat anak-anak ini.
Siapa yang tidak pernah melalui zaman yang tidak ‘terikut-ikut’ waktu remaja ini. Majoriti kita, sudah tentu pernah. Kita hendak ‘fit in’ supaya tidak terasa terasing dari kawan-kawan. Supaya nampak sama-sama hebat.
Teringat kisah sendiri, waktu mula-mula di Universiti dulu. Saya ini pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan di taman perumahan, ibu saya sewaktu membesarkan kami adalah seorang kerani. Jadi kami tidak mewah.
Kalau disebutkan segala jenama barangan mahal memang tidak tahu. Secret Recipe atau kedai yang lebih kurang sama, belum pernah jejak kaki sehinggalah mula bekerja sendiri. Kalau ada makan di Universiti pun, kawan-kawan yang belanja. Waktu menbesar, makanan seperti KFC dan McDonald pun sekali-sekala.
Jadi apabila ke Universiti, latar belakangnya berbeza-beza. Kehidupan baru buat saya dan mengenali manusia baru. Ada beberapa kawan yang saya kenali sangat peka dan ambil tahu tentang jenama. Kadangkala bila bersembang jenuh kepala saya menangkap apa yang disebut.
Selalunya saya tidak menyampuk dan diam sahaja bila masuk topik begini. Perkara saya tidak tahu, jangan tunjuk pandai. Waktu ini usia saya baru 18 tahun. Telefon paling canggih waktu ini Nokia 3310. Tidak sama macam telefon Android atau Iphone sekarang. Kalau tidak tahu, kita terus Google sahaja.
“Beth pernah pergi Kinokuniya?”
Satu hari, seorang rakan rancak bercerita. Nama-nama restoran yang ada di Mall, kedai itu dan kedai ini. Tiba-tiba dia tanya soalan “Beth pernah pergi Kinokuniya?”. Saya terdiam dan tergamam. Aduh! Waktu ini hendak jujur atau kita kena cuba ‘fit in’ supaya kelihatan ‘cool’.
Tidak sempat buat keputusan. Masa hanya tinggal beberapa saat untuk menjawab. Baik! Saya ‘fit in’. Dengan yakinnya saya jawab “Tak pernah makan lagi dekat restaurant Jepun. Sedap ke?”.
Maka terdiamlah kawan yang bertanyakan soalan. Hendak dia ketawakan biadap. Seorang lagi pun terdiam. Kami terdiam beberapa saat.
Sambil rakan saya itu, kelihatan jelas hendak mematahkan jawapan yang paling ‘innocent’ dan betapa dia tidak sampai hati menjelaskan Kinokuniya adalah sebuah kedai buku yang terletak di KLCC. Kami semua diam.
Sejak itu, saya lebih peka dan ambil tahu tentang hal-hal begini. Cuma patutnya waktu itu, jika saya tidak tahu, eloklah saya jujur sahaja. Barangkali jiwa remaja dan tidak mahu ketinggalan selepas masuk ke dunia baru iaitu Universiti.
Alhamdulillah, apabila mula bekerja dan kehidupan yang lebih bagus. Rezeki juga murah dan diberikan kelapangan untuk mencuba segalanya.
Beberapa perkara yang saya belajar tentang kehidupan. Jika hendak dihormati tidak sepertinya dengan menayangkan atau membuktikan apa yang kita ada. Biarlah kejayaan kita ‘bercakap’ sendiri. ‘Action speak louder than words’.
Paling utama ‘Just be yourself’. Hendak cuba ‘fit in’. Hendak jadi orang lain yang bukan diri sendiri, sangat memenatkan sebenarnya kerana kita hidup untuk memuaskan anggapan orang lain. Penat untuk puaskan hati manusia kerana tidak pernah puas.
Kalau bukan diri kita, mengaku sahaja bukan. Orang lebih sayang dan suka dengan manusia yang jenis merendah diri dan jujur. Menjadi manusia begini hatinya tenang dan tidak memenatkan.
Jadi diri sendiri dan ada dengan mereka yang boleh menerima kita seadanya.
Pelakon yang satu ini memang jarang berkongsi hal peribadinya, termasuklah bab kehidupan peribadinya sepanjang empat dekad mencipta nama dalam bidang lakonan. Namun itu tidak bermakna Dian P Ramlee bebas daripada sasaran gosip.
Dian atau nama sebenarnya Salfarina Mum, 61,dikatakan pernah dua kali bernikah, selain dianggap janda gara-gara tidak berkongsi wajah suaminya, sedangkan rumah tangga yang dibina bersama Md Amanti Ahmad pada 28 September 1981 kekal utuh.
Bersama suami dan cucu.
“Suami saya dari dulu sampai sekarang cuma seorang dan kami masih bersama. Kami berkenalan ketika usia saya 19 tahun dan setahun selepas itu, kami bertunang.
“Kami bernikah ketika saya berusia 23 tahun dan Alhamdulillah, rumah tangga kami bertahan hingga hari ini. Dalam hal peribadi, saya agak konservatif dan tidak suka gosip serta publisiti.
“Tetapi, masih ada yang buat cerita kononnya saya pernah dua kali kahwin, selain dikatakan janda apabila tidak berkongsi gambar bersama keluarga,” katanya.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Md Al Safrin, 36, Siti Arianti, 31, dan Siti Adianti, 24.
“Dahulu, suami saya bekerja sebagai pramugara, namun sudah pencen. Bayangkan, selepas berkahwin dan mengandung anak pertama, ada yang cakap kami sudah bercerai.
“Ketika melahirkan anak kedua, saya sekali lagi dikaitkan dengan perkara sama. Lahir anak ketiga pula, saya dikatakan berkahwin lagi. Hakikatnya, semua itu tidak benar,” katanya.
Dian berkata, ketika gosip mengenai rumah tangganya hangat diperkatakan, dia dan suaminya menjalani kehidupan seperti biasa hingga menyebabkan ada pihak keliru.
“Pernah kru yang terserempak ketika menghantar saya pulang ke rumah menyangka dia ialah suami baharu. Saya jelaskan kepada mereka, itu suami pertama dan terakhir saya. Suami saya hanya seorang!
“Suami pula bukan jenis suka dikenali ramai dan tidak pernah muncul bersama di dada akhbar serta majalah. Sepanjang berumah tangga, kami pernah menjayakan iklan jenama kicap bersama dengan tiga anak.
“Ketika itu, kelibatnya hanya samar-samar memandangkan dia terikat dengan polisi kerja dan tidak boleh terlalu menonjol di media massa,” katanya.
Dian berkata, dia juga tidak menggalakkan anaknya untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.
“Biarlah hanya saya yang meneruskan perjuangan dalam bidang ini. Dahulu, ketika kegawatan ekonomi, anak lelaki saya ada melakukan kerja belakang tabir bersama ntv7.
“Saya bagaimanapun, berharap dia mendapat kerja di syarikat produksi besar dan bergaji tetap. Jika masih ingin bekerja dalam bidang ini, dia boleh melakukannya secara sambilan. Dia bagaimanapun, mendengar cakap dan memilih bekerja di luar bidang seni.
“Begitu juga anak perempuan yang menerima tawaran berlakon, tetapi saya tidak galakkan. Mujur dia tidak memberontak, tambahan pula suami sejak awal lagi sudah mengingatkan supaya mereka memberikan tumpuan pada pelajaran,” katanya.
Bila kita dipukul, apa tindakan yang perlu kita buat. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.