Tahun baru, apa salahnya kalau kita mulakan awal tahun dengan kehidupan yang lebih sihat memandangkan umur pun dah bertambah, jadi kesihatan juga perlu dijaga supaya terhindar dari sebarang penyakit yang tidak diingini.
Lebih-lebih lagi dalam pemakanan. Memang diakui orang Malaysia sememangnya sukar untuk jauhkan diri dari makanan rujinya, iaitu nasi. Dalam nasi terkandung arsenik, iaitu sejenis elemen semulajadi yang ada pada air, tanah, udara, haiwan dan tumbuhan. Ada jugak arsenik buatan yang digunakan dalam racun serangga untuk tanaman.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), jika kita terdedah dengan arsenik dalam tempoh yang lama, ia boleh menyumbang kepada penyakit jantung, kencing manis, pertumbuhan terbantut, kanser dan juga masalah neurologi. Antara simptom lain, sakit perut, sakit kepala dan cirit-birit.
Oleh itu, untuk tahun baru ini, apa kata kita amalkan cara memasak yang betul seperti yang dikongsikan oleh Dr Mazliana Mazlan ini. Jom kita ikuti perkongsiannya.
Saya kongsikan cara kendalikan beras supaya kandungan arsenik berkurangan dalam nasi yang dimakan di rumah.
1. Basuh beras sampai air basuhan jernih
, basuh dan basuh sampai jernih. Sambil selawat, tak sedar pun bahawa kita dudah membasuhnya sebanyak empat ke lima kali. Untuk makluman, arsenik ini larut air, makanya ia akan lebih banyak tersingkir jika kita membasuhnya berkali-kali.
Nutrisi memang akan hilang sedikit apabila kita membasuhnya berulang-ulang kali tetapi penyingkiran kandungan arsenik adalah lebih penting untuk kita utamakan.
2. Rendam beras
Rendam beras semalaman mampu mengurangkan kandungan arsenik lebih efektif berbanding dengan hanya membasuhnya berkali-kali. Anda boleh merendam beras selama satu malam dan mengurangkan kandungan air sewaktu menanak nasi pada keesokan harinya.
3. Lebihkan air sewaktu memasak
Gaya ini merupakan gaya yang sering digunakan oleh atuk nenek kita ketika menanak nasi pada dahulu kala. Mereka akan lebihkan air sewaktu menanak nasi dan ketika nasi sudah hampir masak, buang air yang berlebihan dan masak seperti biasa.
Kajian menyatakan jika kita masak dengan porsi beras dan air sebanyak 1:5, kandungan arsenik dapat berkurangan sehingga 50 peratus. Oleh itu, gunakan air yang banyak semasa menanak nasi dan buang air yang berlebihan untuk menyingkirkan kandungan arsenik tersebut.
4. Rendam beras, basuh berkali-kali dan lebihkan air sewaktu memasak
Buat ketiga-tiga langkah yang saya kongsikan sebelum ini dan kaedah ini merupakan cara paling terbaik untuk mengurangkan kandungan arsenik hingga mencecah 80 peratus.
Dengan cara masakan ini juga, kanji dari nasi akan keluar bersama-sama melalui air dan nasi kita akan menjadi kurang kanji dan rendah Glycemic Index (GI).
Saya kongsikan empat kaedah boleh dilakukan untuk mengurangkan kandungan arsenik dalam nasi yang dimakan oleh keluarga kita setiap hari.
Sungguhpun begitu, anda tidak semestinya perlu untuk melakukan semua kaedah seperti yang dinyatakan pada (4). Kalau dapat lakukan satu kaedah pun sudah memadai.
Kadang-kadang, kita tidak sempat untuk merendam beras selama semalaman dan terkejar-kejar untuk menyiapkan hidangan kepada keluarga. Membasuh beras sehingga air basuhan beras menjadi jernih pun sudah dapat mengurangkan sedikit kandungan arsenik kepada tahap selamat.
Yang penting, kita ada usaha untuk menghidangkan nasi yang terbaik buat keluarga kita. Sama-sama kita cuba ya, insyaAllah.
Sumber: Facebook Mazliana Mazlan