Kawalan Serangga Perosak Tanaman. Ibu-Ibu Boleh Buat Sendiri, Ini Caranya!

Share

Kalau ada sedikit tanah di laman rumah, biasanya kaum ibu akan menanam sebatang dua pokok-pokok herba atau sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri. Antara tanaman yang sering di tanam adalah seperti pokok serai, kunyit, cili padi dan sebagainya.

Selalu kita dengar dengan menamam sendiri akan memudahkan ibu-ibu untuk mendapatkan herba atau bahan masakan yang segar dan tidak dinafikan dapat juga berjimat dalam perbelanjaan barangan dapur.

Namun realitinya, pokok-pokok yang ditanam sering juga diserang serangga perosak dan ini menjadikan kualiti tanaman merosot. Jika dibiarkan, mana mungkin bahan-bahan yang segar dan berkhasiat dapat digunakan oleh kita dalam menyediakan hidangan untuk keluarga.

Keadaan tanaman yang diserang serangga-white fly

Penggunaan racun serangga adalah penyelesainyanya. Namun penggunaan racun serangga berasaskan bahan kimia dalam tempoh panjang memberi kesan kepada manusia, termasuk masalah kulit dan kemusnahan alam sekitar.

Justeru itu, sebaiknya kita memilih untuk menggunakan bahan organik yang lebih selamat dan turut berkesan melawan serangga perosak ini.  Dan tahukah anda, racun serangga ini boleh dihasilkan sendiri di rumah!

Nak tahu bagaimana caranya, jom hadam ilmu ini satu persatu.

Gambar hiasan

Penyediaan Bahan Larutan Stok/Asas
1 liter Air
1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
1 Sudu besar sabun basuh
4-6 Ulas bawang putih (ditumbuk)

Cara Memproses
1) Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air.
2) Tumbuk 4 hingga 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi, kacau dan tapiskan .

Untuk penyemburan:Campurkan 1 bahagian larutan stok dengan 4 bahagian air.

 

Jenis serangga perosak

1. Serangga jenis mengunyah

– Kumbang
– Belalang
– Kupu-kupu
– Ulat Bulu
– Siput
– Lintah Bulan

2. Serangga jenis menghisap (Pembawa virus dan penyakit)

– Aphis @ Aphid @ kutu Daun
– Koya Pianggang
– Teritip (Scaler)
– Kulat Putih

Bagi serangan serangga jenis mengunyah, campurkan beberapa 2-3 biji cili api/masak (hancurkan) atau lada hitam (ditumbuk)

Manakala serangan serangga jenis menghisap, anda perlu campurkan beberapa titis minyak listari (essential oil) atau halia (ditumbuk) atau serbuk kunyit. Bahan ini adalah campuran yang sering digunakan untuk penggemar herba dalam kuantiti yang sedikit.

Bagi yang berskala besar, boleh campurkan ekstrak bawang, tapis dan campurkan air sebanyak 1 liter. Kemudian sembur pada pokok dan sesuai untuk mengawal penyakit reput antraknos.

Serangan yang Berbeza
1) Campuran minyak kayu putih (Tea Tree Mixture)-untuk mengawal penyakit lecuh. Campur 5 ml minyak kayu putih ke dalam 10-20 liter air. Gunakan dengan cara basahkan tanah di sekeliling pokok (Soil Drenching).

2) Ekstrak halia-untuk mengawal penyakit kulapuk. Kisar 20 gm halia dalam 1 liter air. Tapis dan sembur 3 kali seminggu.

3) Ekstrak daun Neem (semambu)-untuk mengawal vektor seperti kutu daun, teritip dan lalat putih. Campurkan 2 kg daun Neem yang sudah di tumbuk lumat bersama dengan 30g sabun basuh. Tinggalkan semalaman dan tapis. Setiap 5 liter bahagian dicampurkan dengan 15 liter air dan semburkan ke pokok.

4) Ekstrak bawang putih-untuk kawalan vektor seperti kutu daun dan teritip serta lalat putih. Campurkan 100 gm bawang putih dicincang dalam 0.5 liter air. Tambahkan 10 ml minyak masak dan 10 gm sabun. Tinggalkan semalaman dan tapiskan. Untuk semburan, campurkan larutan campuran bersama air dengan nisbah 1 :200.

Hakikatnya, bahan yang ada di sekeliling kita amat mudah ditemui dan dengan kos yang rendah dan penggunaan racun serangga kimia dapat dielakkan. Hasil yang didapati akan lebih baik malah boleh tidak perlu risau akan kesan sampingannya.

 

 

sumber : Mini Kebun Belakang Rumah