Dunia dikejutkan berita duka apabila seramai 179 orang terkorban dalam nahas pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216 yang terhempas di Muan International Airport, Korea Selatan, pada pagi Ahad. Hanya dua mangsa selamat dalam nahas pesawat.
Pesawat berkenaan yang berlepas dari Bangkok membawa 181 orang, meletup dan terbakar selepas melanggar tembok semasa mendarat.
Kata-kata mangsa yang terselamat dan mesej terakhir mangsa nahas
Selepas kejadian tragis itu, dua perkara yang mendapat perhatian dunia adalah kata-kata salah seorang daripada dua mangsa yang terselamat dan mesej terakhir mangsa nahas.
Memetik laporan agensi berita Yonhap, mangsa, seorang pramugara berusia 33 tahun yang hanya dikenali sebagai Lee, merupakan kru penerbangan pesawat Jeju Air mendedahkan dirinya hanya sedar setelah diselamatkan.
“Ketika saya sedar, saya sudah diselamatkan,” katanya kepada doktor, menurut Pengarah hospital itu Ju Woong, dalam satu sidang media.
Dalam pada itu, mesej terakhir nahas begitu menyentuh hati seluruh dunia apabila mangsa sempat menghantar kepada ahli keluarga sebelum nahas paling buruk di korea itu.
Media tempatan melaporkan mesej itu berbunyi,
“Perlukah saya buat wasiat?
Penerima mesej, dikenali sebagai Encik A, berada di lapangan terbang bersama keluarganya ketika kejadian. Dia berkata, “Saya tidak dapat menghubungi mereka selepas diberitahu ada masalah dengan pesawat.”
Dalam laporan lain, seorang penumpang memberitahu melalui mesej bahawa seekor burung tersangkut pada sayap pesawat, menyebabkan ia gagal mendarat.
Agensi berita News1 turut melaporkan mesej lain yang dihantar berbunyi, “Patutkah saya ucapkan kata-kata terakhir saya?”
Dunia berduka dengan insiden tragis ini. Ia melibatkan pesawat B737-800 milik Jeju Air itu berlaku ketika ia cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya Seoul pada Ahad.
Pesawat yang disyaki mengalami kegagalan gear pendaratan itu dilaporkan mendarat tanpa roda, menyebabkan ia tergelincir daripada landasan dan melanggar dinding pagar luar landasan.
Nahas yang berlaku sekitar 9 pagi itu menjadikan insiden ini sebagai tragedi penerbangan paling dahsyat di Korea Selatan dan ketiga paling maut yang melibatkan syarikat penerbangan Korea.
Sumber: Reuters & mirror & buletintv3