Bila tengok pada luaran seperti seorang ‘gengster’, dengan memakai rantai leher besi, bersinglet dan muka yang garang! Namun bak kata pepatah omputeh, ‘dont judge a book by its cover’, walaupun luarannya begitu namun siapa sangka lelaki ini ‘anak mak’!
Terkenal di laman Tiktok, Muhammad Mikhael Sathayah, 39, dengan ibu, M Muniamah, 73, yang digelar ‘mak titew’ sangat erat biarpun berlainan agama kerana pemuda berasal dari Tambun, Perak itu memilih memeluk Islam.
Gelagat menghiburkan Muhammad Mikhael yang turut mengelarkan diri ‘muka gengster’ mendapat perhatian warganet sejak beberapa bulan lalu di platform tersebut.
Pemuda itu kerap berkongsi video bersama ibu tersayang dengan konten menarik dan lucu malah dia turut memakai baju serta sarung kaki berwarna merah jambu biarpun berimej ‘gengster’.
Muhammad Mikhael berkata, biarpun mereka berlainan agama, ibunya tetap menerima ketentuan itu dengan hati terbuka malah hubungan mereka kekal erat dan saling menghormati.
Menurutnya, keputusannya memeluk Islam pada 2018 diterima ibu malah wanita itu turut menggalakkan dia menjadi Muslim yang baik biarpun keputusannya mendapat pelbagai reaksi orang sekeliling.
Katanya, sebelum ini dia merasai kekosongan dalam jiwa biarpun secara luaran tampak berjaya dan bekerjaya dengan pendapatan lumayan namun dia sebenarnya sentiasa mencari erti kehidupan.
“Sebelum ini, saya bekerja di kelab malam selama 10 tahun sejak usia 18 tahun. Ketika itu memang tidak pernah melihat matahari, pergi kerja jam 6 petang, pulang pula awal pagi menghampiri Subuh.
“Kehidupan ketika itu terasa kosong serta tidak bahagia terutama selepas pemergian ayah pada 2003. Saya mencari dan mengejar dunia, semakin hari semakin kosong hati saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, hatinya mula terjentik dengan Islam sejak 2008 selepas mendalami beberapa agama apabila mendengar satu suara ‘aku yang cipta kamu, tapi ini aku berikan pada kamu terima sajalah’ sebelum dia menemui jalan ‘penamat’ pada 2018.
Ads
Dalam tempoh 10 tahun, anak bongsu daripada dua beradik itu melawan dan berperang dengan dirinya agar tidak memilih Islam tetapi mengakui sepanjang tempoh itu, dia sudah mengalami perubahan positif seperti meninggalkan tabiat beli nombor ekor, minuman keras selain semakin menyayangi ibu dan berasa tenang setiap kali mendengar azan serta mahu ke masjid.
“Tetapi saya masih lawan perasaan itu, berperang dengan diri. Saya cakap saya tidak akan memeluk Islam. Selepas berhenti kerja di kelab, saya kerja di taman tema di Tambun dan rezeki saya mencurah dan dinaikan pangkat.
“Satu hari hidayah kedua datang apabila berlaku kejadian yang saya anggap hampir meragut nyawa berikutan berasa sangat sakit di dada hingga saya merasakan itu adalah saat pengakhiran hidup.
“Ketika rebah dan mahu menghubungi ambulans, azan Maghrib berkumandang dan saya cakap kalau saya tak mati, saya nak masuk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah. Rasa sakit itu kemudiannya beransur hilang,” katanya yang kini sudah berhenti kerja dan menjadi pencipta kandungan sepenuh masa.
Muhammad Mikhael berkata, selepas itu, dia sempat berfikir jika ia hanya mainan perasaan sebelum tekad sepenuhnya memeluk Islam selepas seminggu kejadian berlaku.
“Saya rasmi melafazkan dua kalimah syahadah dengan tenang di pejabat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 20 September 2018.
“Sebelum ke pejabat agama, saya beritahu mak terlebih dahulu hasrat masuk Islam. Mak terdiam serta terkejut, tetapi kemudian senyum dan beri kebenaran,” katanya.
Menurutnya, pilihannya ini turut membawa kepada cakap orang sekeliling yang mengatakan ibunya sudah tiada anak, bukan seorang ibu yang baik dan terlalu memanjakannya namun semua itu tidak dihiraukan dan wanita tersayang terbabit tetap menerimanya.
“Saya sangat berterima kasih kepada mak yang sentiasa bersama saya sehingga kini, mak hadiahkan saya sejadah dan temankan saya ke masjid.
“Walaupun kami berlainan agama, mak tunggu di luar masjid. Saya kata panas tetapi mak kata tak apa.
“Saya dapat beli rumah sebelah rumah mak sebab saya tak mahu tinggalkan mak. Rezeki mak, saya nak berjiran dengan mak.
“Persepsi yang mengatakan mak hilang anak, kami tidak boleh bersama seperti sebelum ini ternyata salah. Hakikatnya kami masih bersama asalkan saya tahu batas agama. Bagi saya, mak segala-galanya dan saya sangat menyayanginya,” katanya.
Bercerita lanjut, Muhammad Mikhael berkata, dia mengakui hidayah kedua sangat jelas dan terang namun perjalanannya sebagai Muslim masih terlalu panjang.
Ads
Katanya, tahun pertama bergelar mualaf dia tidak menunaikan solat dan semuanya berubah selepas berpuasa sepanjang tahun kecuali pada hari yang dilarang dalam agama.
Mengakui dirinya kini tenang dan jiwanya juga tidak berasa kosong, dia juga masih berusaha menjadi Muslim yang baik dan sentiasa mendalami Islam.
“Saya berterima kasih kepada rakan, Cef Tarmizi, Abang Fitri dan Abang Ijan yang banyak membimbing dan menghadiahkan sejadah serta al-Quran kepada saya,” katanya yang turut menghargai bantuan rakannya, DJ Fluffy berikutan banyak membantu di saatnya susah dan senang.
Berhubung video TikToknya, Muhammad Mikhael berkata, dia hanya menjawab soalan pengikutnya dan tidak menyangka akan tular hingga mendapat perhatian pelbagai pihak.
“Saya memang tidak pernah cerita dalam TikTok mengenai agama, jadi apabila ramai bertanya, saya ambil keputusan bercerita dan mungkin juga sudah sampai masanya. Saya akan menjaga imej Islam dengan baik termasuk dalam konten.
“Memakai baju merah jambu itu pada mulanya untuk menghiburkan rakan yang berasa lucu melihat saya pakai ‘t-shirt’ merah jambu ke ‘gym’ dan wajah gengster itu juga hanya imej saja,” katanya.
Sumber : Harian Metro
https://youtu.be/dUpt50y0xaQ
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihann (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.
Dalam tempoh PKPP dilaksanakan, lebih banyak kelonggaran akan diberikan untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi prosedur opearasi standard (SOP) secara berterusan. Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan.
Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana.
Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup.
Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa sambutan Hari Raya Aidiladha akan dibenarkan.
“Saya nak sampaikan berita baik. Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.
“Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.
Berikut antara ringkasan dari teks ucapan dari Perdana Menteri: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP 10/06/20 – 31/08/2020
1. Rentas negeri dibenarkan
2. Gunting rambut dibenarkan
3. Pasar pagi/petang/siang/malam dan gerai-gerai yang bukan restoran dibenarkan.
4. Dobi layan diri, kolam mancing dibenarkan.
5. Aktiviti sukan yang tak melibatkan sentuhan badan dibenarkan.
6. Berbasikal dan konvoi motorsikal dibenarkan.
7. Sukan yang ada sentuhan tidak dibenarkan lagi.
8. Pelancongan domestik dibenarkan.
9. Sempadan negara masih ditutup.
10. Sambutan Hari Raya Aidiladha dibenarkan.
11. Solat berjemaah dilonggarkan dengan membenarkan lebih ramai. Akan diumumkan nanti.
12. Sekolah akan dibuka secara berperingkat. Pengumuman akan dibuat nanti.
13. Waktu operasi perniagaan seperti biasa dengan norma baru.
14. Pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat karaoke, taman tema, kenduri, rumah terbuka masih belum dibenarkan.
Setiap orang punya cara dan kaedah tersendiri dalam menyimpan. Ada yang suka menyimpan di bank, ada juga yang lebih memilih untuk menyimpan di rumah. Tetapi kalau menyimpan di rumah ini banyak implikasinya. Selain boleh hilang, kadang-kadang tanpa sengaja digunakan untuk membeli keperluan lain.
Selain itu, timbul juga masalah lain. Menerusi perkongsian Lily Noorly Mohd Noor, dia menasihatkan orang ramai untuk tidak mencampurkan wang kertas dengan duit syiling kerana wang kertas tersebut akan mengalami kerosakan.
Menurutnya, wang rakannya yang bernilai hampir RM1000 itu semuanya mereput.
Ikuti perkongsiannya di bawah ini.
“Allahuakhbar. Sekadar perkongsian bersama terjadi pada sahabat baik sendiri. Niat menabung akhirnya leboq macam tu ja. Semua duit2-duit dia mereput. Qelai. Hancoq bila nak cuba bukak lipatan.
“Kalau ada sesiapa yang simpan duit dalam tabung tin bercampoq duit syiling rasanya elok dielakkan. Nak kata apa lagi dah kan. Hampir Rm1k leboq mcm tu ja. Bawak pi bank tak tau la bank nak terima ka dak be strong sahabat.
Edit: Alhamdulillah Alhamdulillah. Terima kasih yang share dan bagitau boleh tukaq dan bank terima. Dia akan bawak p bank. Mudah-mudahan dipermudahkan dan dapat balik ganti. Dia kata kalau tau jadi macam ni memang tak akan simpan macam tu.
Wanita yang ayu, lemah lembut dan sopan antara kriteria-kriteria biasa yang selalu kita dengar. Apatah lagi tidak ramai wanita yang sanggup melakukan kerja-kerja lasak seakan lelaki.
Namun tidak bagi gadis genit ini yang berusia 21 tahun ini. Nor Syazwani Nor Azman, gadis yang bertubuh kecil ini membuktikan bahawa wanita boleh melakukan kerja setanding lelaki.
Dengan berat badan 40 kilogram tidak menjadi penghalang untuk gadis manis ini mengangkat dan memunggah buah kelapa sawit boleh tahan beratnya bagaikan berat tong gas!
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
Di Sebalik Populariti Kerjaya Sebagai “Mr. Pilot”.
NEKAD KERJA DI KEBUN
Dengan hanya memperolehi upah sekitar RM400 sebulan, dia tidak pernah merasa ralat memilih bekerja di kebun mandi peluh, gadis ini tekad untuk melakukan kerja di kebun yang kebiasaan dilakukan oleh orang lelaki tambahan pula tidak mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran.
Melihat kerja lasak ini yang memerlukan tenaga yang kuat dan mampu mengangkat mengangkat setandan buah kelapa sawit yang dianggarkan seberat 25 kilogram, Syazwani memberitahu tiada makanan istimewa seperti vitamin tambahan. Sebaliknya makan apa yang dimasak oleh ibunya.
“Selain membuat kerja pemunggahan buah kelapa sawit, saya juga sedang belajar menuai daripada bapa saudara dan mahu menjadi sebahagian kemahiran jika bekerja di ladang.
“Sakit-sakit badan selepas bekerja di ladang adalah normal dan kebiasaan saya meminta ibu mengurut badan supaya segar semula.”
BANTU AYAH BUAT DAN BAIKI RUMAH
Katanya lagi, jika tidak ke kebun dia akan mengikut bapanya, Khairul Mohd Senawi, 43, yang terbabit dalam kerja pembinaan seperti membina dan membaiki rumah di sekitar kawasan berhampiran.
Syazwani memberitahu tidak pernah gayat apabila melakukan pembinaan rumah seperti memanjat bumbung rumah bagi memasang dan membaiki atap rumah.
“Saya sudah biasa melakukan kerja sedemikian selain tidak pernah berasa gayat.”
Bukan itu sahaja, gadis ini turut mahir menebar roti canai dan pernah membantu ibunya meniaga berniaga makanan di gerai berhampiran rumahnya.
IBU AKUI ANAK SUKA KERJA LASAK
Sementara itu, ibunya, Mastura Masran, 39, berkata, anak kedua dari sembilan beradik itu memang gemar melakukan kerja lasak.
Katanya, dia tidak hairan anaknya boleh melakukan kerja yang sering dibuat orang lelaki kerana dia juga pernah membantu orang tuanya di kebun .
“Kebiasaan anak gadis yang tinggal di tanah rancangan Felda akan membantu ibu bapa bekerja di ladang.”