“Kami (ahli keluarga) semua tidak tahu mereka bertolak awal sehari ke sana. Kakak memaklumkan dia sekeluarga akan bertolak ke rumah mentuanya pagi esok (hari ini) sebab anaknya cuti sekolah pada hari berkenaan.
“Malah keluarga ipar di sana pun tidak tahu yang lima beranak terbabit bertolak awal.
“Mungkin lepas suaminya habis kerja awal pagi mereka terus bertolak ke Felda Lui dengan menaiki kereta Perodua Myvi,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, di sini, semalam.
Syaidatul berkata, ahli keluarganya hanya mengetahui mengenai kemalangan terbabit selepas dihubungi pihak Hospital Muadzam Shah, Pahang, kira-kira jam 7 pagi.
“Kami dimaklumkan kakak dan suaminya meninggal dunia dan pihak hospital minta kami datang ambil tiga anak mereka yang cedera ringan.
“Apabila tiba di hospital anak saudara menangis dan ahli keluarga cuba menenangkan mereka.
“Menurut anak sulungnya sewaktu kereta hilang kawalan dia masih sedar dan ibunya sempat mencampakkan Arfan ke tempat duduk belakang bagi menyelamatkan anak bongsunya itu.
“Aryan sempat menyambut adiknya sebelum kereta berkenaan berlanggar dengan lori,” katanya.
Syaidatul berkata, jenazah Muhammad Noor dibawa ke Felda Lui untuk dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumah ahli keluarganya.
“Manakala jenazah kakak kami dibawa pulang di sini (Gong Merawang) untuk solat jenazah di rumah kedua orang tua kami dan mayat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Marang, di sini, selepas solat Isyak.
“Tiga anaknya turut dibawa pulang bersama kami kerana mereka lebih rapat dengan ahli keluarga di sini. Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan ahli keluarga abang ipar mengenai penjagaan tiga anak arwah ini,” katanya.
sumber : Berita Harian