Kisah nyata yang dikongsikan oleh Doktor Ahmad Samhan apabila setibanya di sebuah rumah pesakitnya untuk melakukan homevisit, cukup menyentuh hati dan tidak kurang juga ramai yang sebak membaca perkongsiannya.
Kisah yang diceritakan adalah tentang betapa kasih sayang seorang ibu itu walaupun sedang bertarung nyawa, masih fikirkan anak-anak. Seorang demi seorang nama anak-anaknya disebut-sebut.
Sungguh, setiap curahan rasa kasih dan sayang dari wanita bergelar ibu ini begitu tulus tanpa batasan.
“Doktor boleh datang tak rumah saya tak malam ini?”
“Malam ini? Dah nak jam 10 malam dah ni. Kalau saya datang esok boleh?”
“Mak saya tenat doktor. Kalau boleh nak sangat doktor datang sekarang”
“Baiklah, saya singgah ambil isteri di hospital. Nanti saya terus pergi rumah puan”
Baru saja aku bersiap untuk ambil isteri baru pulang kerja,terima panggilan untuk pergi homevisit.
Setiba di sana, aku dan isteri terus melangkah ke nombor rumah yang diberi. Setelah melangkah masuk, kelihatan sekujur badan terbaring di atas katil.
Seorang wanita 70-an dengan badan yang kurus dan sesekali memanggil satu persatu nama anaknya.
Sesekali anak menyahut. Cuma anak bongsunya tiada kerana berada di luar negara dan tak dapat pulang kerana wabak covid.
Pesakit ini menghadapi masalah buah pinggang tahap akhir. Doktor memang tak nasihatkan untuk buat dialisis atas faktor umur dan tahap kesihatan.
“Yah, mana yah”
“Yah, ada tepi mak ni”
“Man dah sihat ke?”
“Man sihat dah mak,” sahut anak lelaki.
Ketika aku letakkan stetoskop di dada, sempat untuk aku ajarkannya mengucap. Keadaannya nazak.
“Siti balik nanti bagitau mak sayang dia?”
“Iya,mak. Nanti Yah bagitau”
Mulutnya terkumat kamit menghabiskan kalimah tauhid.
Tiba-tiba dia terdiam.
Tangannya sejuk. Aku periksa denyutan nadi. Bacaan tekanan darah dan kemasukkan udara dalam paru-paru.
Semuanya terhenti.
Aku maklumkan pada semua anak-anaknya yang ibunya sudah pergi. Pergi buat selama-lamanya. Aku selimutkan kepalanya dengan kain.
Begitulah kasih sayang seorang ibu. Walaupuan sedang bertarung nyawa,masih fikirkan anak-anak.
Setelah penat membesar dan mendidik anak-anak, kini tiba masanya untuk berehat. Tanggungjawab menjadi seorang ibu sudahpun selesai.
Dari dalam perut, dicurahkan dengan kasih sayang. Dibesarkan dengan penuh kesabaran. Dah berumahtangga pun,masih bertanya khabar. Itulah kasih sayang tanpa syarat seorang ibu.
Rehat wahai ibu. InsyaAllah, syurga buatmu.
Sumber : Dr. Ahmad Samhan
-menagih kasih ibu-
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club