Kasih seorang ayah… Demikian yang ingin diungkapkan oleh seorang Guru bernama Siti Zulaikha selepas melihat perlakuan seorang ayah.
Menurut Guru ini, beliau melihat rutin seorang ayah selepas menghantar anaknya ke sekolah cukup membuatkannya terharu.
Pelajar berkenaan bersekolah di Sekolah Menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kisah yang dimuat naik oleh guru berkenaan kemudiannya mencuri perhatian netizen di laman sosial.
“Sepanjang bertugas menjaga pintu sekolah pada waktu pagi, itulah pertama kali saya melihat seorang ayah berdoa di luar sekolah setelah menghantar anaknya. Sungguh terharu.
“Air mata cikgu menitis terus. Selepas mencium pipi dan dahi anaknya, lelaki itu terus menadah tangan berdoa.
“Sudah tentu si ayah mendoakan kejayaan anaknya dalam menuntut ilmu,” tulisnya dalam laman akaun Facebooknya.
Melihat situasi itu, Siti Zulikha turut tersentuh dengan rutin yang dilakukan oleh lelaki tersebut kerana dirinya juga mempunyai anak.
Dia berharap apa yang didoakan oleh ayah tersebut turut diterima oleh anak-anaknya.
Perkongsian yang dimuat naik oleh Siti Zulikha di laman sosial Facebook telah dikongsi netizen sebanyak lebih 2,500 kali.
Sumber: Sinar Harian & Siti Zulaikha (FB)