Kanak-kanak termakan keropok ada racun tikus, Muhammad Akil Syauqi, 3 tahun, meninggal dunia. Salah seorang daripada dua kanak-kanak yang kritikal selepas termakan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pagi Rabu.
Memetik Sinar Harian, perkara itu disahkan ibunya, Nurain Hasnorizal, 25, ketika dihubungi pada Rabu. Nurain berkata, anak sulungnya, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.40 pagi.
“BETUL, ANAK SAYA SUDAH MENINGGAL DUNIA.
“SEKARANG SAYA TENGAH TUNGGU PROSES BEDAH SIASAT,” KATANYA SEBAK.
Kanak-kanak itu meninggal dunia ketika menerima rawatan. Urusan bedah siasat akan dijalankan dan jenazah difahamkan akan dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim bagi disemadikan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, dua beradik Muhammad Akil dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.
Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun tujuan bagi perangkap monyet.
Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian Harian Metro
Baca artikel berkaitan: Ibu Kanak-kanak Dua Beradik Termakan Keropok Ada Racun Tikus Rayu Doakan Anak Kembali Sembuh
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my