Kanak-kanak lelaki 10 tahun kritikal tercekik ‘gummy mata.’ Seorang kanak-kanak dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, dikatakan rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata kira-kira jam 10 pagi tadi, doktor memaklumkan Mohamad Fahmi masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
“Doktor beritahu sekiranya dia tidak tunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan.
“Kami berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mangsa ini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.
Menerusi satu hantaran Siti Farhani di Facebook memohon doa orang ramai mengenai perkembangan anak saudaranya itu, mendapat perhatian dan perkongsian warga maya.
Gula-gula berkenaan dikatakan dibeli di gerai di luar kawasan sekolah berkenaan.
Katanya, guru memaklumkan Mohamad Fahmi tersedak sebelum mahu ke tandas.
Ketika berjalan ke tandas, kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum guru menghubungi ambulans.
“Guru ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Mohamad Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu.
“Ketika menerima pakaian Mohamad Fahmi dari pihak hospital, kami dapati sebiji lagi gula-gula itu dalam poket bajunya,” katanya.
Ibu dan bapa Mohamad Fahmi, Nuraini Mat Isa, 37 dan Mohamad Fakhruddin Fikri, 35, enggan mengulas kejadian buat masa ini.
Sumber: Berita Harian Online dan Fara Hani
Baca artikel lain juga: Nampak Ringan Tak Bahaya, Meja Lipat & Iron Board Boleh Ragut Nyawa Kanak-Kanak!
Terlanggar Cermin Kaca Hiasan Di Taman Awam, Budak 7 Tahun Cedera Parah!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my