Dalam Negara

Kanak-Kanak 7 Tahun Raih 60 Pingat Pertandingan Catur, Mahu Banggakan Negara!

Share

Baru berusia tujuh tahun, si cilik Alisya Zehra Mohd Izuan yang baru berusia 7 tahun sudah memperoleh lebih 60 pingat buat dirinya menerusi kejuaraan menyertai pertandingan catur.

Ujar ibunya, Zahidahtul Kamaliah Saharun, 37 anak kecilnya itu sudah mula bermain catur seawal usia empat tahun apabila kerap ‘mengganggu’ abangnya, Muhammad Aiman Zarif, 11, bermain catur.

Apabila umurnya menjaukau usia lima tahun dia sudah mula menunjukkan potensi diri malah mula mengumpul pingat melalui acara itu.

Paling membanggakan, kanak-kanak cilik itu selaku Juara Catur Kebangsaan U8G turut bakal menyertai pertandingan di Greece daripada 12 hingga 18 April ini.

“Pada mulanya, jurulatih catur di sekolah Aiman iaitu Ismail Ahmad nampak potensi pada dirinya menyebabkan saya dan suami, Mohd Izuan Mustaffa, berusia 38 tahun, bersetuju untuk menghantarnya menjalani kelas peribadi dengan Ismail.

Zahidahtul yang juga guru berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu sudah menyertai lebih 70 pertandingan catur termasuk secara dalam talian.

“Antara pertandingan yang pernah disertainya adalah Annual Russian House Open Chess Tournament 2025, Pearl Point Shopping Mall 2025 dan 18th IGB Malaysian Chess Festival.

“Dalam kebanyakan pertandingan disertai, Alisya dinobat juara kategori bawah tujuh tahun atau kategori bawah 12 tahun,” katanya.

Menurut Zahidahtul, beliau dan suami sentiasa memberi sokongan kepada Alisya dengan menghantarnya ke kelas peribadi serta membawanya menyertai pertandingan catur hampir setiap minggu.

“Sebagai persiapan mewakili Malaysia, Alisya sedang menjalani latihan intensif dengan jurulatihnya yang dijalankan setiap Ahad bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang.

“Malah, Alisya juga membuat latihan menyelesaikan minimum 100 ‘puzzle’ setiap hari selain menyertai pertandingan catur dalam talian,” katanya.

Zahidahtul berkata, Alisya bertekad untuk mengumpul 100 pingat dan piala dalam pertandingan catur pada tahun ini. Malah katanya lagi, anak kecilnya itu berhasrat untuk bergelar Women Grand Master (dalam catur) yang pertama di Malaysia.

“Kami berharap Alisya dapat mengharumkan nama negara pada pertandingan antarabangsa bulan depan dan berjaya mencapai cita-citanya bergelar Women Grand Master,” katanya.

Kredit: Harian Metro