Setiap tahun pasti akan ternanti-nanti ootd seorang selebriti ini yang mana tidak pernah gagal memperagakan busana raya yang pelbagai dengan konsep baju yang cantik dan pemilihan warna yang bersesuaian. Siapa lagi kalau bukan pelakon jelita, Rozita Che Wan!
Memetik laporan Berita Harian, untuk tahun ini keseluruhan baju Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta sebanyak 17 pasang dengan pelbagai warna dan semestinya sedondon bersama keluarga.
“Ada antara baju raya saya tahun ini adalah koleksi dibuat tahun lalu. Ini disebabkan saya tidak sempat menggayakannya kerana sibuk di lokasi penggambaran.
“Keseluruhan baju raya dalam 17 pasang, tahun ini. Ada pelbagai warna dan kami anak beranak memang suka berbaju sedondon. Saya bersyukur kerana ada antara baju ini adalah pemberian pereka fesyen,” katanya.
Tambahnya lagi, untuk raya kali ini mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri di kampung halaman Che Ta di Alor Setar, Kedah berbanding meraikan lebaran di Kuala Lumpur.
“Selalunya kami sekeluarga raya di Kuala Lumpur. Kami pulang ke Alor Setar pada raya pertama. Saya sengaja pilih balik pada pagi raya pertama kerana tidak mahu menempuh kesesakan di lebuh raya.
“Tahun ini seronok sikit kerana adik-beradik saya balik kampung kecuali Ayu Raudhah yang sedang sarat ketika itu,” jelasnya.
Walaupun pada luaran Che Ta dan suaminya, Zain Saidin kelihatan dan dianggap seperti ibu bapa moden, namun akikatnya pelakon yang terkenal dengan imej bulu mata palsu ini masih kukuh nilai tradisional dalam dirinya sekaligus menerapkan budaya balik kampung pada tiga cahaya matanya.
“Kalau balik utara, mereka akan ikut sama. Anak-anak memang suka balik kampung terutama Aaisyah Dhia Rana kerana seronok dapat jumpa sepupu-sepupunya.
“Mana tidaknya, saya ada tujuh beradik dan bercampur keluarga serta pembantu, memang meriah rumah mak saya.
“Kalau dari sekarang tidak mengajar anak-anak balik kampung, jumpa saudara mara dan bersalaman, nanti tak nak beraya ikut isteri bila berumah tangga nanti.
“Saya tak mahu anak-anak saya bersikap sedemikian,” katanya yang pernah anjurkan rumah terbuka di kampung, namun rutin itu terpaksa dihentikan kerana keletihan melayan tetamu yang tidak henti-henti berkunjung.
Sumber : Berita Harian