Sebagai orang lama dalam bidang seni, Datuk Aznil Hj Nawawi dilihat seorang yang cukup berhemah dan bukan jenis yang mudah melenting.
Tidak hairanlah jika membaca setiap statusnya di laman instagramnya, jarang atau sukar ada yang memberikan komen berunsur negatif atau dengan kata-kata kasar.
“Kalau yang singgah di instgram saya, mesti dengan gaya bahasa yang hormat dan baik. Alhamdulillah memang tak de yang negatif. Kalau ada sekali pun saya akan tegur dengan baik dan mereka reply balik sambil meminta maaf. Tetapi setahu saya tiada.
‘Dibandingkan instafemes yang lain, memang takut baca tulisan dan komen dari netizen. Sangat menakutkan tak dapat dibayangkan jika anak saya membaca komen sedemikian. Beribu-ribu yang instafemes terpaksa padam komen negatif. Tetapi saya syukur kerana tidak mengalami situasi sedemikian.
“Walaupun anak bongsu saya ini mempunyai instagram tapi saya yang pantau termasuklah posting dan juga approve. Lagipun anak saya hanya pegang telefon pada hujung minggu sahaja,” ujar Pak Nil sambil mengakui anak bongsunya cukup manja dengan kakak dan abangnya.
Ditanya mengenai pembabitannya sebagai duta bagi Festival Lola Baba, akui bapa tiga anak inilah pertama kali dia menerima tawaran untuk sebuah festival.
“Jujurnya ini adalah julung kalinya saya bersetuju menjadi duta bagi sebuah festival walaupun sebelum ini pernah beberapa kali tawaran diberikan.
“Saya bersetuju kerana sejak dulu lagi saya dan kanak-kanak mempunyai ‘chemistry’ dan serasi dan golongan ini sentiasa berada dekat di hati saya. Ini juga satu festival yang bukan sahaja untuk kaum Melayu bahkan termasuk kaum India dan juga Cina. kehadiran saya dapat memberikan ‘wajah’ kepada festival ini.
“Tambah istimewa, anak bongsu saya juga terlibat sama pada acara ini walaupun pada awalnya saya tidak tahu penganjur melantiknya sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba.
“Sebagai presiden, anak saya adalah sebagai contoh kepada kanak-kanak lain seperti berani untuk naik pentas, bercakap dan beri pendapat.
“Tetapi itulah kadang-kadang anak-anak kita berani tetapi cara kasar dan kena ada susila dan sopan. Malah anak saya ini jenis yang tahu apa pakaian yang sesuai untuk majlis baik formal atau biasa.
“Saya selalu beri tunjuk ajar selain dia belajar dari pemerhatiannya. ,” ujarnya sambil memberitahu Festival itu akan diadakan pada 26 hingga 28 Oktober depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Tidak sekadar menjadi duta, Pak Nil juga akan berada di booth selama tiga hari bagi sama-sama memeriahkan festival.
“Saya memang suka benda-benda berkaitan pelajaran dan ilmu agama dan itu semua boleh diperoleh melalui festival ini selain makanan, pakaian dan sebagainya. Itu sebab saya mahu anak-anak datang ke sini untuk enjoy dan dalam masa yang sama saya mahu mereka timba pengalaman dan benda baru di sini.
“Saya juga terbabit dengan program Lalak Land yang mana kanak-kanak boleh menunjukkan bakat mereka di pentas. Ini adalah platform yang cukup sesuai untuk anak-anak tonjolkan diri dan sekali gus membantu festival ini berjaya pada masa akan datang. Ini adalah pengalaman yang cukup luar biasa untuk anak-anak peroleh.