Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bayangkan hanya dalam tempoh empat bulan semuanya berubah. Jika empat bulan lalu mereka sekeluarga masih boleh gembira melancong bersama, namun hari ini isterinya hanya terlantar tanpa boleh melakukan apa-apa. Segala urusan termasuk memandikan dan membersihkan isteri wanita ini dilakukan oleh suaminya.
Kaki dan tangannya mengering dan kehitaman. Ustaz Zaheer Zainal yang menziarahi wanita berkenaan berkata, asnaf ini menangis mengenangkan nasibnya.
“Dalam masa empat bulan kaki dan tangannya bertukar hitam. Lebih menyedihkan sebelah tangannya mereput dan terpaksa dipotong.
“Menurut cerita asnaf itu, sakitnya berpunca dari bakteria yang sangat aktif dan ganas. Dia ini mengidap kencing manis kronik. Sehingga kini, doktor masih mencari cara untuk merawat asnaf ini.
Kata Ustaz Zaheer lagi, melihat isterinya menangis, si suami turut menangis mengenang nasib isterinya yang amat mengejutkan ini. Suami inilah tempat bersandar si isteri yang tak mampu mengurus diri sendiri.
Penulis sebak mendengar cerita Ustaz Zaheer. Pastinya lebih sebak mereka yang menanggung ujian ini.
Allahuakhbar, bantulah mereka mendapat jalan kesembuhan. Bersamalah kita doakan keluarga ini tabah.
Alhamdulilah, asnaf miskin ini menerima bantuan dari Zakat Selangor sejak tahun 2018 iaitu menerima bantuan kewangan bulanan (RM400 sebulan) serta makanan bulanan
Melihat kepada penyakit kencing manis kronik dan juga jangkitan kuman pada kedua-dua belah tangan dan kedua-dua belah kakinya, bantuan perubatan akan dipertimbangkan untuk mereka. Alhamdulillah, syukur.
Bersamalah kita doakan semoga beliau terus tabah dengan ujian ini. ?
Sumber: Lembaga Zakat Selangor