“Kakak Ok, Nak Jumpa Ayah, Nak Peluk.” Kanak-Kanak Positif Covid-19 Naik Ambulans Sendirian Pesan ibu jaga diri. Sebaknya!

Share

Kisah adik kecil ini viral bila mana menaiki ambulans keseorangan tanpa ditemani oleh ahli keluarganya. Apa yang menyentuh hati, si kecil ini baru berumur 5 tahun namun menampakkan kematangan tanpa sedikit pun berasa takut jauh sekali menangis biarpun tiada ibu atau ayah menemani dirinya ketika itu.

Kisah Nur Saffiya menaiki ambulans dari rumahnya yang terletak di Sepang semalam dikongsikan oleh ibunya Ira Hazwani. Saffiya disahkan positif Covid-19, sedangkan ibu dan adik perempuannya tidak dijangkiti virus berkenaan.

“Semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ambil Safiyya, saya tak dapat ikut untuk hantar dia.

“Kalau saya ikut, saya perlu bawa anak yang kecil sekali. Ini akan merisikokan anak kedua saya yang baru berusia tiga tahun,” kata Ira Hazwani lagi.

Saffiya dipercayai mendapat virus itu daripada ayahnya, yang disahkan positif selepas disaring di tempat kerja.

Ayahnya, Muhammad Ifwan ditempatkan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Dalam satu video yang dirakam Ira Hazwani, Saffiya kelihatan tenang dan bersemangat ketika mengucapkan selamat tinggal.


Kini mereka berdua dirawat di wad yang sama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Suami pada awalnya menjalani rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 6 Januari lalu.

“Selepas mengetahui Nur Safiyya positif Covid-19, pihak KKM keesokannya memindahkan suami ke HKL bagi memudahkan urusan penjagaan Nur Safiyya yang akan tiba pada 8 Januari,” katanya.

Katanya, dia dan anak keduanya sedang menunggu hasil ujian saringan kedua untuk tindakan lanjut.

“Terima kasih kepada anggota KKM yang sangat bertoleransi dalam situasi kami ini. Walaupun saya dan keluarga hanya keluar rumah untuk bekerja tetapi tetap dijangkiti.

“Harapan saya agar semua masyarakat duduk di rumah saja jika tiada urusan penting dan sentiasa amalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, perkongsiannya terpaksa melepaskan anak perempuannya berusia lima tahun menaiki van ambulans KKM sendirian selepas positif Covid-19 tular di media sosial.

Rata-rata warganet kagum dengan keberanian Nur Safiyya yang dilihat tenang menghadapi situasi itu walaupun dalam usia muda.

Meskipun tahu Saffiya akan tinggal bersama ayahnya, Ira Hazwani tetap risau untuk melepaskan anak perempuannya itu ke hospital menaiki ambulans seorang diri.

“Perasaan saya memang sedih dan risau, sebab dia baru umur lima tahun, kena pergi seorang-seorang naik ambulans. Takut tak jumpa ayah dia dekat sana.

“Tapi bila tanya dia, ‘Kakak okay ke naik ambulans seorang-seorang? Mama tak ada’

“Dia jawab, ‘Kakak okay. Kakak nak jumpa ayah. Nak peluk ayah.

“Sekarang dia dah bersama ayah dia,” kata Ira Hazwani.

Satu lagi video yang dirakam Muhammad Ifwan selepas itu pula, menunjukkan Saffiya teruja apabila dapat bertemu dengan ayahnya.

Ira Hazwani mengucapkan rasa terima kasih buat KKM kerana membantu Saffiya untuk diwadkan bersama Muhammad Ifwan.

“Terima kasih sangat pada KKM yang sangat-sangat bertoleransi dalam situasi kami ini, dan dapat satukan wad anak dan suami,” katanya lagi.

Sumber: Ira Hazwani & Berita Alhijrah

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club