“Kak Long, Yas Sakit Sangat,”- Anggota Badan Adik Terbakar, Kakak Nekad Jaga Sampai Pulih!

Share

Anak sulung memikul tanggungjawab yang amat besar dalam keluarga. Apatah lagi bila ibu ayah telah tiada, siapa lagi yang boleh diharapkan dalam adik beradik selain kakak atau abang yang sulung meskipun mereka masih muda untuk menggalas tanggunjawab menjaga adik-adik.

Ini sebagaimana kisah ujian hidup yang ditempuh oleh Puan Nurul Shahida, di mana kisahnya tular di aplikasi Tiktok.

Difahamkan dia sebagai kakak sulung mengambil tugas menjaga tiga adiknya sejak ibu, Siti Aminah Abdullah meninggal dunia kerana kanser rahim pada 2008 manakala bapa, Baharudin Dollah meninggal dunia kerana komplikasi darah tinggi dua tahun selepas itu sebagaimana memetik perkongsiannya bersama Harian Metro.

Buat follower Keluarga, sila guna kod promo KELGSP5 untuk pembelian British Polo Yuna Handbag Set dengan harga lebih murah hanya di GO SHOP 

 

Alami Kecederaan Melecur

“Kak Long, Yas sakit sangat,” itu rintihan Mohammad Alias Baharudin, 24, yang meruntun hati kakaknya, Nurul Shahida, 30.

Mohammad Alias atau Yas kini terlantar di rumah kerana mengalami kecederaan melecur dari atas punggung hingga ke kaki, kedua-dua tangan selain muka dan leher selepas terbabit insiden kebakaran di tempat kerjanya di Perak, bulan lalu.

Nurul Shahida berkata, dia mengambil tugas menjaga tiga adiknya sejak ibu, Siti Aminah Abdullah meninggal dunia kerana kanser rahim pada 2008 manakala bapa, Baharudin Dollah meninggal dunia kerana komplikasi darah tinggi dua tahun selepas itu.

Menurutnya, biarpun sudah mempunyai keluarga sendiri namun naluri sebagai kakak sulung melebihi segalanya walaupun dia terpaksa membahagikan masa menjaga adik ketiganya itu.

“Ayah meninggal dunia ketika saya masih belajar di sebuah politeknik dan sejak itu Yas terpaksa dihantar ke rumah anak yatim selama tiga tahun manakala adik bongsu dijaga ibu saudara dan adik kedua pula sudah merantau mencari kerja.

“Selepas tamat belajar saya mengambil Yas dan adik bongsu tinggal bersama di rumah kami di Sik, Kedah dan sejak itu melalui susah senang bersama dengan ihsan keluarga dan jiran.

“Selepas berkahwin saya ikut suami (Mohd Afif Fahmi Mat Jamil, 30) berpindah ke Langkawi dan turut membawa mereka bersama,” katanya yang tinggal di Temoyong di sini, ketika dihubungi.

Nurul Shahida memuat naik kisah adiknya dan menceritakan ujian yang menimpa sejak kehilangan ibu bapa di Tik Tok.

Tindakan wanita itu mengundang sebak warganet apabila dia menceritakan adiknya berulang kali memohon maaf dalam keadaan menahan kesakitan kerana bimbang membebankannya.

“Yas berterima kasih kerana menjaganya dan hati saya ketika itu hanya Allah SWT sahaja yang tahu kerana saya tidak akan biarkan ketiga-tiga adik saya melalui ujian seorang diri.

“Kini Yas semakin pulih namun masih memerlukan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar termasuk mencuci kesan terbakar setiap tiga hari.

“Saya bersyukur suami dan anak memahami situasi saya ketika ini, malah majikan Yas juga selalu bertanya khabar, memberi sokongan dan bantuan sepanjang Yas di hospital,” katanya.

Berhubung video Tik Tok yang dimuat naiknya itu, Nurul Shahida berkata, dia hanya menjadikan ‘kisah’ itu sebagai kenangan keluarga mereka.

“Saya buat video itu ketika di hospital kerana sedih dan risau melihat keadaan Yas. Mungkin kerana penat saya terlalu fikirkan yang bukan-bukan termasuk jika Yas tinggalkan kami dan saya bersyukur keadaannya semakin baik,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Alias berkata, dia juga sangat berterima kasih dengan kakaknya yang menjaga dan menguruskannya sepanjang dia terlantar di hospital selama hampir sebulan.

Katanya, anggota badannya terbakar 35 peratus dan kulit di paha serta lengannya diambil untuk ditampal di kawasan yang melecur.

“Saya risau membebankan Kak Long kerana dia ada anak dan suami yang perlu diberi perhatian. Saya berterima kasih kerana dia tidak pernah mengeluh menjaga termasuk ketika saya memakai pakai lampin buang.

“Alhamdulillah, sekarang semakin baik cuma saya tak boleh duduk terlalu lama dan sukar nak tidur malam kerana badan gatal tetapi tak boleh digaru kerana tidak baik untuk kesan melecur itu,” katanya sambil memberitahu itu ujian paling getir.

Sumber : myMetro

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club