Namanya meniti di bibir masyarakat dek caranya berdakwah lebih moden dan terbuka terutama dalam menangani isu LGBT. Pencetus Ummah ( PU) Mohammad Amirul Amin Maula LokmanHakim, 28 tahun kini bertugas sebagai pendakwah bebas.
Jujur mengakui sangat sibuk dengan aktiviti dakwahnya menyebabkan masanya agak terhad dengan anak-anak. Begitu pun, PU Amin bijak ‘mencuri’ masa supaya anak-anak dan isteri tidak terabai.
“Biasanya saya memang sangat menitikberatkan disiplin masa pada anak-anak. Awal pagi saya akan peruntukkan bersama anak-anak. Selepas pulang dari bersenam, anak-anak sudah bangun, jadi saya habiskan masa dengan melayan mereka. Saya mengajak mereka bermain. Sama ada melukis, main bola dan sebagainya.
“Ada masa kami makan depan televisyen ramai-ramai sambil tengok kartun atau sebagainya, ada masa makan di meja. Tetapi satu yang saya amalkan adalah terapkan pada anak-anak, dahulukan orang tua untuk mengambil makanan dengan pelawa ibu bapa terlebih dahulu. Itu yang dipraktikan oleh ibu bapa saya dulu dan kini diturunkan pula pada anak-anak saya. itu cara kita mendahulukan orang lain.
“Kebiasaannya jika ada perkara yang mereka buat saya marah, saya akan denda mereka. manakala jika mereka berbuat baik saya akan bagi ganjaran dengan memberikan bintang. Selepas itu, saya berikan hadiah supaya ada sifat bersaing untuk membuat baik dan disiplin selain mereka rasa pendidikan itu saya benda yang membebankan,”jelas PU Amin sambil memberitahu peranan isteri sangat besar dalam mendidik anak selain ibu bapa yang menjadi mata dan telinga untuk anak-anaknya.
Mengakui pernah meninggalkan isteri dan anak-anak 2-3 bulan sewaktu melakukan penggambaran program, dia cukup berterima kasih dan bersyukur dengan peranan yang dimainkan oleh isterinya sewaktu ketiadaannya.
“Pernah dulu saya terbabit dengan penggambaran berbulan-bulan sehinggakan anak yang kedua dari kecil sudah besar, tetapi mereka berada dalam keadaan yang baik berkat asuhan isteri. Walaupun isteri sibuk dengan kerja, tetapi dia masih boleh memainkan peranan yang besar dan boleh dikatakan mampu menguruskan anak-anak. Sekarang ini dia bakal menyambung pengajian dalam bidang pendidikan untuk mendapat taraf tetap dalam kerajaan.
“Walaupun bebanan kerja dan tanggung jawab yang besar, tapi anak-anak berada dalam kawalan dan jagaan yang baik. Dalam keluarga isteri juga bantu menjadi tulang belakang dalam membina anak-anak.
Sesebuah keluarga tidak akan dibina dengan baik jika suami isteri tidak saling memainkan peranan masing-masing,” tegas PU Amin lagi sambil memberitahu dia dan isterinya berkahwin dalam usia yang masih muda dan ketika itu sedang menuntut di universiti.
Beliau yang bertemu jodoh ketika masih belajar mengakui berkahwin pada tahun 2012 dalam tahun kedua di Universiti Al-Azhar.
“Kami dikurniakan anak sulung ketika saya berada di tahun 4 dan menariknya sewaktu mengambil keputusan untuk berkahwin, keluarga tidak bersetuju. Mereka bimbang pengajian kami terabai sementelah waktu itu belum ada yang berkahwin ketika belajar. Jadi, kami buat satu janji akan dapat keputusan yang cemerlang dalam pengajian. Kebetulan kami memperoleh biasiswa dari pihak zakat Selangor.
“Selepas berkahwin, kami tinggal dan belajar bersama-sama sehingga dapat mencapai kejayaan yang cemerlang. Itu menjadi motivasi kepada pelajar lain yang ingin mendirikan rumah tangga. Untuk pasangan lain, elakkan dari menggunakan alasan berkahwin kerana mahu menghalalkan pergaulan, seks dan sebagainya.
“Sebaliknya kenal pasti terlebih dahulu pasangan sebelum serius. Kena ada ilmu rumah tangga, disiplin diri, dan sahsiah diperelok terlebih dahulu. Bila kahwin wajib keluar nafkah,. Justeru kena ada wang dan simpanan dan tidak menganiayai isteri mahupun keluarga kita.
“Itu benda yang wajib iaitu ilmu dan kewangan yang kukuh. Kena usaha untuk naik taraf kehidupan dengan memberi kesempurnaan dan kelengkapan yang membawa kita dekat dengan Allah. Jika kaya dan berjaya itu boleh dekatkan kita dengan Allah, maka kena berusaha ke arah terserbut.
“Jangan guna alasan elak maksiat sedangkan nafkah tidak diberi dan tidak pandai melayan pasangan dengan baik. Bebanan yang perlu ditanggung bukan sekadar menanggung masalah sebaliknya dia perlu menanggung ilmu yang banyak sebelum menanggung manusia,”tegas PU Amin sebelum menutup perbualan bersama penulis.