Diakui menyediakan menu kacang pedas bilis yang ranggup rasanya dan mempunyai rasa yang manis-manis pedas, bukanlah mudah.
Terkadang terkurang bahan kisarannya hingga menyebabkan bukan sahaja rasanya kurang menyelerakan malah warnanya juga tidak menyerlah.
Jadi apa kata mencuba resipi yang dikongsikan ini, tengok pun dah cukup menyelerakan.
Jom cuba
Resepi kacang pedas bilis( cara saya ye)
bahan-bahan
– 1 kg kacang tanah
– rm 5 ikan bilis
-3 senduk lada mesin(ikut orang la nak jenis pedas ke tidak)
– 10 ulas bawang putih(blend)
– minyak secukupnya
-gula secukupnya
– garam secukupnya
– 2 sudu makan gula merah
– 3 biji gula batu
-1/2 cawan air
cara-caranya
1. Goreng kacang tanah dengan minyak yang banyak dan api yang slow ( makan masa la ye)
2. Nak garing (jangan smpai pahit) angkat dan toskan miyak
3. Goreng pulak ikan bilis sampai garing dan toskan
4. Keluarkan minyak tadi dan tinggalkan dalam sesenduk je dalam kuali tu dan uolls tumiskan bawang putih tadi sampai kuning-kuning sikit…masukkan lada mesin, gula, garam ,gula merah dan gula batu dan air,api slow kacau sampai dia likat dan pekat(sambil-sambil tu rasa la ,apa-apa yang kurang tambah)
5. Bila dah cukup rasa semua uolls tutup la api dan biarkan sejuk…
6. Bila dah betul-betul sejuk baru la uolls gaulkan kacang dan bilis dalam lada tu tadi…. masukan dalam tapis untuk toskan minyak dan simpan dalam bekas bertutup…. siap.
sumber : Faizah Md Zain via MAHN
Cara Masak Kari Daging Pekat Tanpa Santan Stail Mamak Yang Cukup Simple Tapi Sedap, Memang Padu!
Resipi yang satu ini sangat mudah dan sesuai kalau ada yang teringin nak makan kari. Lupa nak beli santan? Tak ada masalah kerana kali ini admin kongsikan resipi kari daging tanpa santan.
Jom lihat resipi dari puan Zurina Zulkefli ini. Kuahnya pekat dan sedap. Nak makan bersama nasi atau roti pun menarik ni.
Selamat tengahari, buat pertama kalinya hari ini saya masak lauk kari daging. Lauk permintaan suami, makan tgahri sampai malam pun takpe katanya. Jimat. So, untuk kari ni saya tak guna santan dan saya masukkan semua bahan yg ada kt dapur jadikan satu lauk. Saya jamin sedap. Huhu
Resepinya mudah sahaja, ada di setiap gambar.
Saya tahu ramai orang muda yg berkurung di rumah skrg rajin nk mencuba masak pelbagai menu, sila la mencuba kari ni. Macam rasa makan kat mamak.
Kari pekat tanpa santan.
Bahan-bahan
Bahan2 nya adalah:
✓ 2 biji bawang merah
✓ 2 tangkai daun kari
✓ 1 biji tomato
✓ 2 biji kentang
✓ 1 lobak merah
✓ 3 tangkai lada kering
✓ 4 tangkai cili hijau
✓ 3 ulas bawang putih (ditumbuk)
✓ 2 hirisan halia (ditumbuk)
Dua serbuk utama untuk kari
Cara membuat:
✓ Panaskan minyak masak di dalam periuk, lansung tumiskan bawang putih, halia, bawang merah, lada kering, cili hijau, dan daun kari
✓ Kemudian masukkan tomato dan masak sehingga tumisan menjadi lembap
✓ Masukkan air asam jawa. Kalau takde asam jawa, boleh guna yogurt
✓ Masukkan semua serbuk rempah ke dalam masakan. Gaul rata. Sukatannya seperti:
– 1 paket rempah kari daging
– 3 sudu kecil serbuk cili
– 1 sudu kecil serbuk kunyit
– 1 sudu besar rempah jintan dan biji ketumbar yg ditumbuk
✓ Masukkan daging, lobak merah dan kentang. Gaul sebati dengan rempah.
✓ Biarkan jus daging keluar pada suhu api paling kecil.
✓ Tutup periuk dan biarkan selama 10 minit
✓Jus daging telah keluar dan masukkan semangkuk kecil air. Biarkan dan api masih suhu paling kecil.
✓ Akhir sekali perasakan dengan garam. Sedia dihidang dengan nasi panas.
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Masak Pulut Guna Rice Cooker Jer Tak Perlu Kukus. Lapik Penutup Periuk Guna Kain, Mudah & Pulut Pun Berkilat!
Tiba-tiba teringin nak makan pulut, nak-nak lagi sekarang musim buah durian kan. Sedapnya kalau dapat makan pulut dengan durian yang diletak santan.
Sebenarnya mudah je nak masak pulut ni walaupun tak ada periuk pengukus yang khas tu.
Jom cuba tip yang dikongsikan Puan Siti Asrien Mohd Hassan yang diberikan oleh rakannya. Cukup mudah!
Panjangkan pahala seorang kawan..
Tips/cara dari seorang kawan utk tanak pulut dengan rice cooker.
Basuh beras bersama sedikit garam,utk dapat efek berkilat..basuh 3/4 kali basuhan..
Sukat air guna jari telunjuk,separuh dari line pertama jari…(jari diatas beras)
Lapik tutup periuk menggunkan kain/tuala kecil dengan kedap..xboleh longgar..(supaya wap panas xkeluar)
Tekan COOK dan tunggu sehingga masak dan bertukar ke WARM…Jangan bukak tudung periuk langsung sehingga masak..insyaAllah pulut cantik.
*edit-lepas WARM pun jgn terus bukak biar 5-10 min baru bukak penutup..bagi pulut masak dengan wap panas..
Dah setahun lebih guna tips/cara ni tanak pulut…buat tapai pun senang,xpyh kukus…
Menang Pertandingan Memasak, Bukti Pengorbanan Ibu Buat 2 Remaja Ni!
Disebalik kejayaan dan usaha gigih seorang anak dalam memajukan diri pasti akan ada figura seorang ibu atau ayah dibelakangnya yang tanpa jemu memberi dorongan dan semangat agar terus berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi, sama ada aspek pendidikan mahu pun minat anak-anak.
Umpamanya perkongsian kisah kejayaan adik Nursyafiqah Binti Mohd Azmi,14 dan adik Jaymee Ong Miin Li,15 yang telah melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai antara pemenang di dalam Pertandingan Memasak Sekolah Menengah 2021 yang dianjurkan oleh MAGGI baru-baru ini.
Ayuh kita ketahui kisah dua remaja ini yang difahamkan disebalik kejayaan mereka memenangi hati juri di dalam pertandingan tersebut, hakikatnya ada insan yang begitu hebat berada dibelakang mereka memberi sokongan tanpa berbelah bahagi.
Siapakah insan itu?
Ketahui dengan lebih lanjut perkongsiannya dan diharapkan kisah ini sedikit sebanyak dapat menyuntik inspirasi buat anda sekeluarga.
“Rapat Seperti Teman Sejati…’- Nursyafiqah
“Sejak kecil lagi, saya memang minat memasak terutamanya menyediakan pencuci mulut atau roti. Saya harap saya akan dapat mencapai cita-cita saya untuk membuka sebuah bakeri.”
“Sepanjang tempoh pertandingan tersebut, saya menghadapi pelbagai cabaran dan hampir berputus asa. Namun begitu, sokongan dan semangat dari keluarga terutamanya ibu membuatkan saya merasakan ingin lakukan yang terbaik hingga akhirnya membuahkan kenangan manis buat diri saya,” ujar Nursyafiqah yang merupakan pelajar di SMK Intan Perdana, Negeri Sembilan dengan bersemangat.
Kenal Erti Sabar
“Sepanjang proses anak menyertai pertandingan tersebut, kami berdua sentiasa bersama. Bonding antara saya dan anak perempuan semakin erat. Kami sentiasa melakukan aktiviti memasak bersama, dan secara tidak langsung hubungan semakin rapat seperti seorang teman sejati,” ujar ibu Nursyafiqah, iaitu Puan Aiza
“Saya sentiasa ada disisi anak untuk membantunya. Contohnya semasa dia memasak hidangannya iaitu Telur Gulung Korea (Korean Egg Roll), saya akan jadi jurukamera untuk dia. Masa rakam video, ada part yang tak jadi, macam telur yang dimasak terkoyak, melekat di kuali dan macam-macam lagi adegan yang memerlukan rakaman dilakukan semula.
“Bagi saya semua itu adalah proses pembelajaran untuk Nursyafiqah mengenal erti sabar dalam melakukan sesuatu. Pun begitu, biasalah anak-anak remaja ini perlukan galakan berterusan daripada ibu ayahnya.
“Ada satu masa itu, saya lihat dia menangis seakan putus asa sebab masakan yang disediakan tidak mencapai apa yang dia inginkan.
“Berdepan dengan situasi tersebut, saya sebagai ibu mengambil langkah positif dengan memberikan semangat dan motivasi kepadanya. Alhamdulillah, akhirnya semua kepayahan yang dilalui di akhiri dengan kemanisan. Siap juga projek video kami,” cerita Puan Aiza panjang lebar.
Pengalaman Itu Guru Sejati
Menyentuh tentang pendekatan bagaimana dia menanam minat memasak pada anak perempuannya, ibu ini akui semua itu dipengaruhi oleh persekitaran kehidupan keluarga.
“Seingat saya semasa dia di sekolah rendah lagi, dia suka lihat saya memasak. Kemudian bila sudah meningkat usia, kami sekeluarga suka pula menonton rancangan memasak di kaca TV.
“Antara program masakan yang kami suka tonton adalah seperti rancangan 5 Rencah 5 Rasa, rancangan Master Chef Australia, Bake with Anna Olson dan sebagainya. Mungkin sebab itu juga dengan sendirinya minat memasak sedikit demi sedikit berputik dalam dirinya,” ujarnya lagi.
Puan Aiza juga mengakui bahawa pendedahan yang diberikan akan menjadi pengalaman cukup berharga dalam hidup anaknya.
“Pengalaman itu adalah guru sejati. Hanya orang yang berjiwa besar dan berani akan memperolehinya.
“Saya ingat lagi, masakan pertama yang Nursyafiqah sediakan adalah Nasi Goreng Telur yang diperasakan dengan MAGGI CukupRasa. Menu yang disediakan hangus tapi dengan yakinnya dia bawa juga bekal ke sekolah untuk jamu dengan kawan-kawan.
“Selain itu dia pernah buat roti kopi ala-ala Roti Boy untuk hari jadi ayah dia. Hendak dijadikan cerita, roti tersebut menjadi juga tapi yang kelakarnya kembang sebesar loyang,” ceritanya sambil tertawa mengingatkan kejadian itu.
Jadikan Lebih Berdisiplin
“Kebaikan lain yang dapat saya lihat bila anak kita didedahkan dengan pertandingan yang melibatkan minat mereka, nyata mereka akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Selain itu, dari sudut disiplin pun saya nampak peningkatannya. Dia semakin rajin mengemas semula dapur selepas memasak.
“Tidak dengan itu, kreativiti dalam mencipta menu yang biasa kepada yang luar biasa semakin dapat dilihat. Saya yakin semua ini memberi kebaikan kepadanya.
“Nasihat saya kepada ibu-ibu di luar sana, jangan takut untuk biarkan anak kita masuk ke dapur untuk menggunakan peralatan-peralatan memasak, memetik api gas, memegang pisau ataupun memotong bawang dan sayuran.
“Kita bagi ruang untuk mereka mencuba dan apa yang penting kita sentiasa mengawasi dan memberi tunjuk ajar serta panduan yang betul berkaitan keselamatan di dapur,” jelasnya yang turut mengakui setelah anaknya mengikuti pertandingan memasak, kini semakin rajin memasak untuk keluarganya.
“Untuk Berjaya Perlu Usaha…”- Jaymee Ong Miin Li
Sedar atau tidak, peranan wanita bergelar ibu sentiasa diiktiraf oleh anak-anak sebagai pembakar semangat dan inspirasi memperolehi kejayaan. Kehadiran insan bergelar ibu di sisi ibarat satu anugerah yang tiada galang gantinya bagi setiap anak-anak kita.
Hal ini turut dirasai oleh Jaymee Ong Miin Li dalam usahanya menempa kejayaan di dalam sebuah pertandingan memasak yang disertainya baru-baru ini.
“Menyertai Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI 2021, banyak pengalaman yang bermanfaat saya perolehi dan yang paling berharga adalah bila saya dan ibu saling bertukar-tukar pandangan dan sama-sama mencari idea untuk menentukan menu yang akan dipertaruhkan di dalam pertandingan tersebut.
“Akhirnya kami bersetuju untuk memilih konsep kekeluargaan iaitu Pinggan Sarang Burung (Bird’s Nest Platter) untuk pertandingan ini. Kami berdua meluangkan masa memasak dan mencuba resipi-resipi bersama dan ianya cukup menggembirakan saya dan membuatkan saya teruja untuk melakukan yang terbaik dalam hidup,” ujar Jaymee yang merupakan pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, Pulau Pinang.
Tumpang Bangga
Ibu mana yang tidak bangga dan gembira bila mengetahui anaknya berjaya memperolehi kejayaan dalam sebuah pertandingan hebat seperti Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI 2021 yang disertai oleh kira-kira 1,000 pelajar-pelajar seluruh Malaysia.
“Reaksi pertama saya sebagai ibu apabila mengetahui Jaymee berjaya mendapat tempat sebagai antara pemenang untuk pertandingan tersebut, jujur saya katakan saya teramat gembira.
“Berita kemenangan tersebut terus saya sampaikan kepada keluarga yang lain. Saya juga amat bangga dan terharu kerana saya tahu kejayaan ini adalah atas usahanya sendiri,” ujar Puan Ong dengan gembira.
Nasihat Tanpa Jemu
Untuk mencapai kejayaan seseorang itu perlu berusaha, tabah, dan jangan putus asa. Atas sebab itu juga, Puan Ong tanpa jemu akan terus memberi nasihat dan bertindak sebagai motivator kepada anaknya agar terus berusaha dan lakukan terbaik untuk berjaya di dalam apa jua bidang yang diceburi sekali pun.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa untuk memberi dorongan dan semangat untuk anak-anak kita terus maju dalam hidup. Sama juga bila Jaymee memasuki pertandingan memasak. Saya berikan 100% galakan untuknya kerana saya percaya siapa yang berusaha pasti dia akan berjaya!
“Bermula dari proses penyediaan bahan hinggalah makanan terhidang di atas pinggan, semua itu ada proses-proses yang perlu dibuat dengan sabar dan sebaiknya agar hidangan yang dimasak bukan sahaja sedap malah nampak menyelerakan.
“Bukan sahaja Jaymee yang perlu banyak bersabar, malah kita sebagai ibu juga perlu bersabar dalam mendidik anak-anak. Maklumlah anak remaja bukanlah pakar sangat di dapur. Lagi-lagi bab untuk mengawal api, silap caranya masakan boleh hangus kalau menggunakan api terlalu besar dengan alasan untuk cepat siap masak,” ceritanya lagi yang turut menggalakkan anaknya untuk lebih berani mencuba sesuatu menu baharu.
Beri Ruang
“Sudah menjadi kelaziman Jaymee akan datang ke dapur semasa saya memasak. Dia akan memerhati dan sentiasa ingin tahu dan ingin bantu saya di dapur. Dia sangat teruja untuk belajar dan ingin memasak pelbagai menu.
“Dia mula membantu dengan belajar mengupas dan memotong dan mencincang bawang putih dan bawang merah. Saya ingat lagi, menu pertama dia memasak ialah Macaroni and Cheese. Mula-mula memasak, dia sukar mengawal api sehingga bawang putih menjadi hitam.
“Bila saya lihat dia suka memasak, jadi saya beri lebih ruang untuknya asah bakat di dapur. Akhirnya kini, adik-beradiknya sangat menggemari setiap menu yang disediakan oleh Jaymee. Mereka akan sentiasa makan makanan yang dimasaknya dengan berselera. Bahkan saya juga menggemari masakan yang disediakan olehnya. Manakala abangnya adalah pengkritiknya yang terbaik dan cara ini juga sebenarnya dapat membantu Jaymee lebih terbuka dan dalam masa yang sama memperbaiki rasa masakannya,” jelasnya lagi dengan turut menyarankan agar lebih ramai ibu memberi tunjuk ajar anak-anak ketika memasak dan tidak hanya memaksa anak-anak untuk membantu kita di dapur sebagai satu kerja rumah.
Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2021 menandakan tahun ke-25 MAGGI® bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan platform untuk generasi muda memupuk kemahiran kulinari dan pengambilan pemakanan yang seimbang di kalangan belia di Malaysia. Tema tahun ini adalah “Anda & MAGGI, Sajikan Kelainan Untuk Inspirasi Harian”.
Kenali pemenang-pemenang Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® dan resipi kemenangan mereka di https://www.maggi.my/ms/memupuk-generasi-muda/pertandingan-memasak-MAGGI-2021/