Kacang Botak Sebiji Sebiji Bentuknya Bila Siap Dimasak. Juadah ‘Legend’ Ramai Yang Suka. Ni Resipinya!

Share

Enaknya makan kacang botak yang digoreng rangup dan berasa memang boleh makan sebalang tanpa sedar. Begitulah hendak digambarkan betapa sedapnya juadah warisan nan satu ini.

Bahkan kacang botak ini juga sering dikaitkan sebagai menu legend untuk dijamu kepada tetamu di hari perayaan. Ini menunjukkan kacang botak ini cukup istimewa dan ramai menggemarinya.

Jadi buat anda yang ingin mencuba untuk menyediakan sendiri kacang botak sebagai juadah kudap-kudapan seisi keluarga, bolehlah mencuba resipi yang dikongsikan oleh Zurull Iffah Zaini ini. Pasti puas hati!

Ini perkongsiannya.

Kacang Botak Warisan resepi daripada arwah mak saya turun temurun sentiasa menjadi kegemaran saya adik beradik. Sekarang saya dah berkahwin, suami pula yang jadi peminat kacang botak saya. Ketagih. Kacang Botak yang lain tak sesedap yang saya buat katanya.

Ok, kacang botak ni lain orang lain caranya ya. Macam saya, resepi ni agak renyah. Tak macam resepi lain yang lebih simple. Renyahnya tu tang nak uli2 supaya kacang tersalut sebiji demi sebiji. (Tapi tak susah pun tau. Layan je buat Tu) Tak melekat-lekat. Dan tak rasa telur sangat. Salutan pun jadi licin (botak).

Kalau nak cuba, silakan. Resepi ada di setiap gambar. Saya halalkan resepi Kacang Botak Warisan ini dunia dan akhirat. Semoga kita semua beroleh keberkatan di bulan yang mulia ini. Amin…

Untuk perasa gula dan garam tu boleh ekjas ye ikut citarasa masing-masing. Untuk 1kg kacang tanah, saya dapat dua balang kecil ni

Bahan-bahan yang diperlukan:

1kg kacang tanah
1/2kg tepung gandum
20 tangkai cili kering (ikut tahap kepedasan masing-masing. Saya suka pedas) cili ni rebus dulu ye
Sebiji bawang besar (memang besar sebesar penumbuk) kalau sederhana besar, gunalah 2 biji ye
3-4 ulas bawang putih (atau ikut citarasa kalau nak lebihkan pun boleh takde masalah)
10 sudu besar gula pasir
3 sudu besar garam
2 biji telur ayam sederhana besar

Cara-cara memasak

Langkah pertama:

Kisar cili, bawang merah, bawang putih, gula, garam dan telur.

Langkah kedua:

Tabur kacang 1/2kg dulu ke dalam dulang (kalau ada talam bulat besar lagi bagus sebab boleh tabur terus 1kg). Buang segala bendasing atau kacang yang dah buruk/rosak. Tinggal kacang yang elok-elok aje tau. Kacang tak perlu basuh dan jemur ye. Just buang benda-benda asing dalam tu je.

Langkah ketiga:

Tuang separuh daripada bahan yang dikisar tadi ke atas 1/2kg kacang. Simpan separuh lagi untuk 1/2kg kacang lagi ye.

Langkah keempat:

Gaul bahan-bahan kisar tadi biar sebati dengan kacang. Kalau nak lebih salutan kena add on lagi bahan kisar dari awal ye. Lagi banyak salutan lagi sodap

Langkah kelima:

Ayak tepung ke atas kacang yang bersalut bahan kusar. Agak-agak jelah kuantiti tepung tu untuk kita gaulkan nanti.

Langkah keenam:

Uli/gentel tepung bersama kacang sehingga jadi seperti ini. Biar sebiji-sebiji macam tu barulah jadi licin dan botak

Langkah ketujuh:

Inilah rupa bentuk kejadian setelah selesai diuli. Kacang sebati dengan salutan tepung sebutir demi sebutir.

Langkah kelapan:

Panaskan minyak yang banyak. Api biar sederhana dan minyak biar betul-betul panas.

Sentiasa kacau untuk elakkan kacang hangus dan hangit. Nak tau dah masak atau belum, tunggu sehingga aroma kacang botak berbau satu dapur dan bunyi meletup-meletup kacang. Dah boleh toskan.

Langkah kesembilan:

Hasil setelah digoreng. Sebiji-sebiji ,sebutir-sebutir kan? Kan?

Langkah kesepuluh:

Taburkan kacang ke atas dulang yang dilapik dengan tisu serap minyak. Biar sejuk dan boleh masukkan ke dalam balang.

Sumber : Zurull Iffah Zaini

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club