Setelah 11 minggu berlangsung program Gegar Vaganza, semalam berakhirnya program tersebut dengan menobatkan penyanyi, Jaclyn Victor sebagai juara!
Jaclyn yang memenangi wang tunai bernilai RM100,000 itu berhajat untuk membahagikan wang tersebut kepada dua orang anaknya, iaitu Jonah Joshiah Rivera, 7, dan Molly Marguerite Rivera, 5, sebagai simpanan masa depan.
“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Segala kepayahan selama 11 minggu ini berbaloi. Apa yang penonton nampak di kaca TV tak semudah yang dibayangkan.
“Dengan hadiah kemenangan ini saya hanya terfikir untuk berikan wang itu kepada dua orang anak saya untuk simpanan masa hadapan.
“Tak terfikir nak beli apa-apa lagi kerana mereka pun setakat ini dah cukup segalanya terutama mainan yang rasanya banyak dah tu.
“Jadi lebih baik duit ini masuk untuk tabungan mereka sahaja kerana sebelum ini pun apa-apa duit saya galakkan untuk mereka menyimpan,” katanya.
Selain wang tunai, Jaclyn turut menerima hadiah sebuah trofi serta percutian ke Paris.
Tiada perancangan terperinci selepas memenangi pertandincan berkenaan, Jaclyn yang merupakan seorang ibu tunggal itu memberitahu dia hanya mahu bercuti bersama anak-anaknya.
“Selepas ini, saya akan berehat dan bercuti bersama anak-anak kerana mahu luangkan masa lebih kepada mereka.
“Yelah, selama 11 minggu saya di GV9 saya kurang luangkan masa bersama mereka kerana terpaksa melakukan persiapan untuk persembahan, kongsinya.
Jaclyn berpisah dengan suami, Shawn Rivera sejak dua tahun lalu selepas lima tahun hidup bersama.
Sumber : Gempak