Berita gembira buat warga Johor. Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, Johor akan menjadi negeri pertama yang menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Menurut laman rasmi, theroyaljohor , tawaran itu dilakukan menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JDTC) yang dilancarkan pada 3 November lalu.
Dalam pada itu, baginda bertitah, kerajaan negeri menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini.
“Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta. Kerajaan Negeri Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira AS$190 juta ke negeri ini,” titah baginda.
Titah baginda lagi, projek-projek berkenaan dijangka akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun akan datang.
Dalam kenyataan di laman rasmi berkenaan, baginda memberitahu bahawa dalam masa terdekat Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan akan dinaik taraf sebelum dibuka kepada umum.
Terdahulu, pengumuman itu telah dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata, hasrat Johor itu akan dicapai dengan penubuhan JTDC.
View this post on Instagram
Sumber: theroyaljohor