Jika Mahu Anak Jadi Hebat, Berhenti Menakutkan Mereka. Awas, Kesan Kata-Kata Ibarat Doa!

Share

Anak-anak ibarat kain putih, sebagai ibu bapa kitalah yang mencorakkannya. Semasa seseorang bayi itu lahir, mereka mempunyai potensi untuk menjadi seorang genius.

Jika seorang bayi itu tidak cacat maka dia mempunyai segala yang di perlukan untuk dia boleh menjadi cemerlang. Jika otaknya dirangsang dengan sempurna, dia pasti boleh mencapai tahap genius.

Menurut Dr Rozieta Shaary atau lebih dikenali sebagai Ibu Rose yang juga Parenting Guru, ibu bapa cemerlang yang mahu membina anak-anak yang positif perlu melihat anak-anak mereka yang masih kecil sebagai seorang yang berkebolehan, cekap dan berjaya bila dewasa nanti.

“Saya suka membuat andaian yang mudah difahami untuk menerangkan lagi perkara ini. Sekiranya kita andaikan anak kecil itu seperti sebuah kereta, maka semasa dia baru lahir, dia adalah ibarat sebuah kereta sport yang boleh meluncur laju dan mempunyai kapasiti enjin yang besar. Namun jika pemandunya tidak menggunakannya dengan sepenuhnya, tidak ada guna kuasa yang ada pada kereta itu.

Untuk menjadi juara , ibu bapa dan anak mesti dapat bertahan hidup di dalam dunia penuh cabaran ini. Ini memerlukan kekuatan disiplin yang tinggi terutamanya bagi ibu bapa. Ibu bapa mesti mengawal diri dan senantiasa memastikan diri memberi input yang baik kepada anak-anak.

Pertama, ibu bapa mesti mengawal perkataan yang keluar dari mulut. Jika mahu anak jadi berani, berhentilah menakutkan mereka. Jika mahu anak menjadi baik, berhentilah mengatakan mereka jahat. Jika mahu anak yang berdisiplin, berhentilah mengatakan mereka itu ‘ hyperactive’. Perkataan yang keluar daripada mulut kita akan memprogramkan otak anak-anak kita,” ujarnya lagi.

Bila perkataan itu terlalu kerap dia kaitkan kepada anak itu, maka anak itu akan mengambilnya sebagai milik dia. Dia akan mengaitkan imej kendirinya dengan perkataan itu. Bila itu sudah menjadi miliknya, maka menukarnya menjadi payah. Pada peringkat ini, ia bukan sekadar mental sahaja, tetapi jiwa juga terlibat.

“Terdapat ibu bapa yang tidak suka menggunakan perkataan positif kepada anak-anak mereka contohnya, comel, bijak, rajin, cantik dan sebagainya. Kononnya pada pendapat mereka, anak-anak yang selalu dipuji akan bengkak kepala mereka. Nanti, anak akan menjadi bongkak.

“Memuji sebenarnya tidak meninggalkan kesan negatif jika dilakukan dengan betul. Contohnya, jika anak itu bijak, katakan dia bijak dan kemudian tanya dia mengapa dia suka menjadi bijak. Semasa itu semaikan nilai-nilai murni untuk menjadi pendorong dia untuk menjadi bijak. Contohnya, dia menjadi bijak dan suka belajar kerana dia mahu menolong orang lain menjadi bijak juga. Walaupun pada usia yang masih kecil. Janganlah membandingkan kebijaksanaan dia kelembapan budak lain pula. Kemudiannya memuji dia melangit tinggi. Inilah yang membawa takbur.

Jika mereka tidak suka bergaul dengan orang lain, janganlah itu sahaja yang disebut berkali-kali. Jangan pula mengait perkara itu sebagai peribadinya. Gunalah perkataan yang boleh memprogramkan dia untuk suka bergaul.

“Contohnya, ” Fia, suka berkawan, nanti bila Fia dah kenal kawan, Fia suka bermain dengan dia, kan?” Ini menyediakan anak itu untuk menerima identiti asing ini dan menjadikannya hak dia. Gambaran ini disemaikan di minda mereka sedari kecil lagi,”ujar Ibu Rose lagi.

Mempunyai imej kendiri yang positif adalah perisai yang paling penting untuk berjaya hidup di dalam dunia yang penuh negatif ini. Oleh itu adalah amat penting bagi ibu bapa membina imej kendiri yang positif di dalam anak kecil mereka. Janganlah mengaitkan perkara-perkara yang negatif dengan diri anak-anak.