Ketika kita asyik ‘berperang’ tak ada idea nak masak. Malah ada yang kata, asyik masak hingga bajet dua bulan habis untuk sebulan PKP, berat badan naik dan seronok mencuba pelbagai resipi. Tahukah anda, diluar sana ada keluarga yang susah. Tiada pendapatan dan upah setelah tiada kerja ekoran KPK. Sesungguhnya mereka menahan lapar!
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, begitulah kisah yang dipaparkan menerusi FB, Taufiq Razif, sebagaimana sebuah keluarga itu tidak mempunyai pendapatan setelah tidak bekerja. Lebih menyedihkan, terpaksa memberikan anaknya susu pekat manis untuk menggantikan susu formula. Meruntun jiwa kisah ini.
Ikuti perkongsian ini.
Bergenang air mata saya bila si ayah kepada 3 beradik ni bagitahu yang dia terpaksa ‘tipu’ anak anaknya demi nyawa mereka.
Si bapa kepada 3 beradik ni kerjanya pemotong kayu. Pendapatan si bapa ni bergantung kepada jumlah kayu yang berjaya dipotong setiap hari. Kalau sehari tak bekerja, maka sehari la si bapa dan seisi keluarga kena berlapar.
Hari ni kiranya dah berbelas hari dah la si bapa ni tak bekerja sebab Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) ni kan.
Entah berapa hari la mereka berlapar sebab masa sampai je ke rumah mereka, mereka kata memang dah tak ada apa dah kat dapur.
ISTERI DALAM PANTANG
Lagi membuatkan saya sebak bila si bapa ni bagitahu isterinya tengah pantang dan baby yang tengah terbaring tu baru berumur sebulan dan kena masalah kuning yang lama baru baru ni. Mungkin Prolonged Jaundice la kot. Baru je keluar wad beberapa hari lalu.
Tapi yang paling buatkan saya tak dapat tahan perasaan sebak bila si bapa ni bagitahu sebab tak ada duit langsung, si bapa terpaksa bancuh susu tin untuk anak yang kedua ( yang tengah pegang kertas bertulis Dana Kecemasan Influencer Club tu )
Bila si anak tanya, si bapa kata “inilah susu yang awak selalu minum tu” . Padahal tu susu tin je. Sedihnya bila si bapa tu kata dia terpaksa ‘tipu’ anaknya sendiri sebab dah tak ada duit langsung dah untuk beli susu formula buat anaknya.
ADA YANG LAGI LEBIH SUSAH
Wahai sahabat sahabatku semuanya.
Di saat kita rasa kita lah manusia paling malang. Mungkin jualan kita jatuh. Mungkin bisnes kita lingkup. Mungkin kita rasa seluruh dunia seolah olah tak berpihak pada kita ketahuilah di luar masa masih ada ribuan orang lagi yang lebih teruk keadaannya daripada kita.
Tiba tiba saya jadi teringat pada satu Hadis Nabi ni. Ada Nabi ajar kita satu cara untuk tenang bila dalam kesempitan iaitu dengan cara melihat orang yang lebih susah daripada kita.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat kepada orang yang berada di atas kamu kerana yang demikian itu lebih patut bagi kamu supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kamu.” (Riwayat Bukhari)
Betul lah, untuk rasa tenang ni memang kena sensitif dengan kesusahan orang lain di luar sana. Barulah kita rasa ” Ya Allah. Kecil rupanya ujian yang Engkau berikan padaku dibandingkan ujian yang Engkau beri pada yang lain “
Tolong sampaikan mesej ketenangan ni pada semua yang terlibat dengan PKP ini ya. Semoga Allah berikan kita semua ketenangan yang kita perlukan di saat semua orang sedang bergelut dengan masalah ekonomi dan kesusahan.
Sebak.
Sumber: Taufiq Razif