Jemaah haji Malaysia meninggal dunia ketika tawaf umrah pertama, punca disebabkan serangan jantung. Seorang jemaah haji Malaysia, Mohd Zahir Ismail meninggal dunia sebaik habis melakukan ibadah tawaf umrah.
“Pak cik orang yang baik. Dia orangnya lucu, selalu buat kelakar,” itu ungkapan Pauziah Othman, 58, apabila ditanya mengenai suami, Mohd Zahir Ismail yang meninggal dunia sebaik habis melakukan ibadah tawaf umrah.
ALLAHYARHAM MENINGGAL DUNIA MALAM RABU LALU SELEPAS REBAH DI MATAF, AKIBAT SERANGAN JANTUNG DI SAMPING ISTERI YANG SAMA-SAMA MELAKUKAN TAWAF UMRAH PERTAMA, SEBAIK TIBA DI MAKKAH DENGAN MENAIKI PENERBANGAN KT66 PADA MALAM SAMA.
Menceritakan lagi detik arwah sebelum rebah, Pauziah yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, ketika itu, dia dan arwah baru habis melaksanakan ibadah tawaf dan bergerak ke arah tempat untuk menunaikan solat sunat tawaf.
“ARWAH BERJALAN DI BELAKANG SAMBIL MEMEGANG SAYA. DIA ADA MENGADU BEBERAPA-KALI DIA ADA MENGATAKAN TERLALU PENAT DAN SAYA KATAKAN SABAR… KITA BUAT PERLAHAN-LAHAN. HINGGALAH HABIS DAN KAMI SEDANG BERJALAN UNTUK MELAKSANAKAN SOLAT SUNAT TAWAF,” KATANYA.
Pauziah sudah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham sejak 1996, tapi tidak dikurniakan cahaya mata.
“Saya terdengar ungkapan Allahuakbar sebelum rebah. Dia jatuh terlentang. Mak cik pun ikut jatuh sebab tangan arwah masih berpaut pada tangan mak cik. Walaupun orang ramai, tiada orang pijak sebab mak cik lindung dia masa itu,” katanya lagi kepada Petugas Media TH, di hotel penginapannya.
Allahyarham dan Pauziah melaksanakan ibadat tawaf bersama kumpulannya dan ketika kejadian, ramai jemaah Malaysia turut berada di tempat kejadian.
“Ketika itu, mata Allahyarham masih terbuka dan kemudiannya perlahan-lahan tertutup. Tak lama kemudian beberapa askar datang membantu dan kemudiannya Allahyarham dinaikkan ke atas buggy untuk dibawa ke klinik masjid,” cerita Pauziah dengan tenang, sambil berkali-kali meminta maaf kepada petugas media kerana tidak ada apa hendak diceritakan.
Berita kematian Allahyarham diketahui di klinik masjid apabila doktor yang merawat Allahyarham memanggil masuk lalu memberitahu bahawa dia sudah tiada.
“Agak terkejut juga sebab dia pergi secara tiba-tiba,” katanya lagi yang sama-sama mendaftar haji pada 2009.
Allahyarham adalah anak kedua daripada tiga beradik, menjaga ibunya yang sudah uzur tidak mampu bangun sendiri.
Dalam pada itu, Pauziah berkata, arwah suaminya seorang yang taat kepada ibunya, Zariah Musafa, 86.
“Arwah sering bergurau dengan ibunya. Malah, dia akan membersihkan ibunya terlebih dahulu sebelum ibunya memulakan solat,” katanya.
Tambah Pauziah, Allahyarham tiada sebarang rekod penyakit dan tidak merungut ketika menjaga ibunya dan dia sangat rapat dengan ibunya.
Berita kematiannya sudah sampai ke pengetahuan ibu melalui cucunya.
Jenazahnya disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidilharam, kelmarin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.
Allahyarham yang meninggal ketika melakukan tawaf dikafankan menggunakan kain ihram yang digunakan dan mukanya tidak ditutup.
Pauziah memberitahu bahawa beliau dapat mengiringi arwah sepanjang perjalanan dan menatap Allahyarham sehingga ke pintu masuk Tanah Perkuburan Syaraiee.
Sumber: Harian Metro
Baca artikel lain juga: Setelah Hampir 15 Tahun, Datuk Aliff Akhirnya Menunaikan Haji Bersama Anak Lelakinya.
Datuk K Tunai Haji Tahun Ini, Ramai Sebak Dengan Perkongsian Dari Datuk Siti Nurhaliza
Dapat Tunai Haji SPM 8A. Kegembiraan Berganda Buat Nur Safiyyah Nasuha Keluarga!
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my