Jasad Wanita Hamil, Ibu Mentua Hilang Akibat Banjir Ditemui Berpelukan

Share

Terkini, wanita hamil dan ibu mertuanya yang dilaporkan hilang semalam akibat banjir kilat semalam di Kampung Iboi ditemukan dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.

Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan itu ditemukan bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, pada jam 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, kedua-dua jasad mangsa ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya bongkah kayu dilanggar arus deras dan menghempap rumah mangsa.

“Mangsa dipercayai hanyut sebelum tersangkut pada kayu dan batu menyebabkan mangsa terperangkap di bawah timbunan kayu.

“Pasukan penyelamat ternampak kaki mangsa dan berjaya mengeluarkan mangsa pertama dan diikuti mayat kedua,” katanya ketika ditemui di lokasi mencari dan menyelamat (Sar) hari ini.

Sayani berkata, tumpuan kita seterusnya adalah melakukan pencarian remaja lelaki berusia 14 tahun, Khairul Ikhwan Nor Azman yang masih hilang.

Beliau berkata, operasi masih dilakukan di kawasan pencarian dan akan diperluaskan sekiranya masih belum ditemui.

“Kita turut menggunakan khidmat anjing pengesan (K9) JBPM untuk melakukan operasi pencarian hari ini,” katanya.

Terdahulu, suami kepada mangsa Salmah Mat Akib, Abd Rahman Said, 71, menerima panggilan dari menantunya memberitahu keadaan air yang semakin naik di kawasan rumah mereka kira-kira jam 4 petang.

“Bila sampai saya lihat jambatan tidak ada sebab sudah dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada,” katanya.

Beliau berkata isterinya yang terlantar kerana strok ditemani menantunya yang sedang mengandung anak sulung serta anak tirinya di rumah itu tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.

Kredit foto BERNAMA

Sementara itu, suami Nurul Hanis, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang hari ini bagi membawa isteri melakukan pemeriksaan kandungan.

Katanya, dia menerima panggilan daripada kakaknya mengenai kejadian banjir itu dan terus bergegas pulang, namun apabila sampai rumah yang didiami isterinya itu hilang dibawa arus deras.

“Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak saya untuk jaga dia sebab emak kena strok,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.

Khairul Ashraf berkata kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada minggu lepas dan isterinya sempat meninggalkan pesan supaya menjaga dirinya baik-baik.

“Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia,” katanya.

Sumber : Hmetro