Selalunya orang akan tunggu cuti panjang untuk pulang ke kampung, barulah rasa puas hati duduk lama-lama ziarah ibu ayah. Kan? Kalau balik hujung minggu sahaja, masa terlalu terhad belum kira masa yang diambil di atas jalan untuk sampai.
Namun lain pula cerita dengan anak jiran yang seorang ini, apabila dia kerap pulang menziarahi ibu bapanya di kampung tanpa perlu menunggu cuti yang panjang.
Mari ikuti kisah yang dikongsikan semula oleh saudara Zairi Ibrahim daripada perkongsian Cikgu Abd Ghani Haron untuk sama-sama kita renung sebagai satu tauladan.
AJAIB KERAP BALIK KAMPUNG!
Sebuah renungan untuk kita.
Semasa membeli kuih untuk menyorok (bahasa Kedah untuk sarapan), saya terlihat seorang anak jiran saya yang tinggal di Seremban manakala orang tua masih di kampung.
Saya menegurnya, “Kerap balik kampung, tak menunggu raya atau cuti sekolah?”
SERIBU AMAL JARIAH DILAKUKAN TIDAK AKAN SAMA DENGAN SATU KUNJUNGAN…
Dia berkata, “Cikgu, walau seribu rakaat solat sunat saya kerjakan, walau beribu sedekah jariah saya berikan, walau seribu kebaikan saya tunaikan ketika saya berjauhan dari orang tua saya,
“tidak akan sama dengan satu kunjungan melihat emak ayah saya yang telah tua, tak akan sama dengan senyuman mereka berdua bila melihat saya melangkah ke pintu rumah,
“tak akan sama dengan renungan puas emak saya melihat saya menyuap nasi berlauk asam pedas, gulai batang pisang yang dimasaknya.
“Kepenatan, keletihan meredah hujan dan panas dalam perjalanan yang jauh, ratusan ringgit terkorban untuk petrol dan tol adalah pengorbanan yang tak ternilai pada sisi Allah hanya kerana untuk menggembirakan mereka berdua.
“Itu saya rasa lebih baik dari berehat di rumah di depan TV, memenuhi hobi dan sukan atau melangut di kompleks perniagaan di hujung minggu.”
SubhanALLAH…
JANGAN BERKIRA WANG RINGGIT UNTUK MENZIARAHI IBU BAPA
Jawapannya bagai satu tazkirah yang cukup bermakna untuk menjelas betapa besarnya ganjaran bagi pengorbanan seorang anak, bahkan ia melebihi jihad.
Pada anda yang berjauhan dengan ibu bapa, ambillah iktibar dari hal ini.
Jangan berkira wang ringgit, penat lelah untuk balik berziarah ibu bapa. Jangan tunggu raya, jangan tunggu cuti sekolah tetapi carilah ruang sekerap mungkin.
Jika tidak pun, buatlah panggilan untuk bercakap sepatah dua sebaik ada kesempatan.
LEBIHKAN ZIARAH IBU BAPA BERBANDING ORANG LAIN
Lebihkanlah memberi keutamaan untuk berziarah ibu bapa dari ziarah yang lain. Bagi anak yang tinggal dekat pun, kunjungilah ibu bapa seketika.
Emak saya dahulu yang tinggal berdekatan dengan rumah saya, akan bertanya jika satu hari saya tidak mengunjunginya.
Maka setiap hari saya In Shaa ALLAH, akan ke rumahnya walau sekadar berpusing motor di laman rumahnya dan dia mendengar bunyi motor saya, cukuplah.
Hanya orang yang telah tua akan merasai betapa mereka merindui anak-anak yang tidak terzahir dengan cara memeluk cium seperti zaman mereka kanak-kanak, tetapi memadailah dengan mengisi pandangan di mata tuanya.
RENUNG-RENUNGKAN LAH…
Saya bentangkan kepada anda untuk memikirkan dan mungkin anda boleh menyelami lebih jauh dengan membaca nukilan saya.
Pada yang masih ada ayah bonda, ziarahlah mereka sekerap kesempatan yang ada sementara kamu boleh melihat mereka.
Kepada ibu bapa kita yang telah pergi meninggalkan kita untuk selamanya, maka basahkan lidah mu dengan Zikrullah dan niat hadiahkan kepada mereka.
Semoga bermanfaat.
*Terima kasih kepada penulis asal,
Almarhum Cikgu Abd Ghani Haron yang memberi kesedaran kepada kami. ~Al-Fatihah~
Sumber: Facebook Zairi Ibrahim / Abd Ghani Haron
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan kod KELGST5 di sini