Peluk pinggang pasangan dari belakang ketika dia tengah memasak ataupun membasuh pinggan di dapur juga adalah salah satu cara anda menunjukkan romantik pada pasangan.
Sambil memeluk ungkapkan kata-kata cinta di telinganya. Lihat betapa lebarnya senyuman pasangan anda. Berkasih sayang antara suami dan isteri bukan hanya sekadar di dalam bilik tidur semata-mata.
Tidak kira masa atau tempat asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Jangan tak tahu, membantu pasangan di dapur juga satu aksi romantik.
Bertambah semangat untuk memasak. Pastinya aksi romantik ini jika dilakukan akan mewujudkan rasa kasih dan cinta berpanjangan daripada pasangan. Seterusnya boleh mengukuhkan hubungan suami isteri.
Beberapa perkara di bawah ini juga dianggap sebagai romantik spontan dan boleh dijadikan panduan bagi pasangan yang mahu terus hidup bahagia bersama pasangan. Baca dan cuba praktikkan untuk keharmonian rumah tangga.
1. Aksi cuit mencuit
Bagi membangkitkan keghairahan dalam hubungan intim, baik suami atau isteri tidak boleh terlalu serius, sebaliknya perlulah ada aksi cuit mencuit yang boleh mewujudkan rasa lucu dalam hubungan. Tidak salah sesekali cuit pinggang, punggung ataupun pipi pasangan. Misalnya ketika menonton televisyen ataupun pasangan sedang memasak. Namun biarlah ia dilakukan dalam tempat yang sewajarnya kerana bimbang pasangan tidak selesa diperlakukan begitu.
2. Kenyit mata
Boleh juga melakukan aksi spontan seperti mengenyit mata padanya. Misalnya ketika menghantar pasangan ke pejabat, sebelum berlalu apa kata anda mengenyit mata padanya sambil melemparkan senyuman manis. Sudah pasti dia akan tersenyum kegembiraan dan akan terkenang kenyitan mata yang mengandungi maksud tersendiri.
3. Memegang tangan pasangan sekali skala
Tunjukkan aksi romantik spontan dengan memegang tangannya setiap kali keluar bersama. Pegangan dan sentuhan ini menunjukkan rasa kasih sayang anda kepadanya. Ataupun ketika melintas jalan, anda dengan spontan memegang tangannya. Boleh juga dilakukan ketika sedang menonton, ataupun minum petang bersama. Kalau boleh sentuhan berserta dengan ciuman ini juga boleh mempamerkan rasa sayang berpanjangan daripadanya.
4. Sesekali berbisik di telinga
Perkara yang jarang dilakukan namun sekiranya dilakukan secara spontan boleh menimbulkan kesan mendalam. Apa kata sesekali anda seperti berbisik di telinganya dengan hembusan nafas yang lembut. Ungkapkan kata-kata manis dan manja di telinga dan pasti pasangan akan terasa geli dengan bisikan yang dilakukan. Kalau boleh lakukan secara spontan dan ini pasti akan membuatkan pasangan ketagih dan sentiasa mengharapkan agar anda melakukannya lagi.
5. Suap makanan di mulut
Apa kata ketika sedang menikmati hidangan, anda secara spontan menyuap hidangan ke mulutnya. Walaupun nampak seperti kebudak-budakan tetapi jika dilakukan pasti membuatkan pasangan anda terharu. Jangan suap keterlaluan cukuplah sekadar satu dua suapan sahaja. Lebih seronok jika dilakukan di tempat terbuka dan boleh tunjukkan kepada orang lain bahawa andalah pasangan paling bahagia dalam dunia.
6. Ciuman di dahi
Apa kata anda amalkan aksi romantik spontan dengan mengucup dahinya. Lakukan sebelum masuk tidur, ketika mahu pergi kerja ataupun sebaik pulang daripada bekerja. Ciuman penuh kasih sayang ini mampu memberi seribu makna kepada pasangan.
Boleh juga diamalkan selalu bagi menghangatkan lagi hubungan sedia ada. Anda juga boleh membalasnya dan ternyata kebahagiaan menjadi milik anda berdua selamanya.