Seperti pepatah ‘bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan’, begitu jugalah dengan alam perkahwinan. Tiada perkahwinan yang dapat lari daripada cabaran dan dugaan yang datang dari pelbagai cabang. Malahan tidak dinafikan, ada juga ‘pengacau’ yang hanya menunggu masa untuk meruntuhkan sesebuah rumah tangga itu. Jadi anda rasa, wajarkah untuk mengadu konflik rumah tangga di media sosial?

Percaya tak kalau sesebuah perkahwinan itu boleh musnah hanya melalui hujung jari? Itulah ‘kuasa’ keyboard warrior yang mungkin ramai tidak sedari. Nak tahu kesannya? Jom tengok perkongsian dari Asyikin Md Isa ni.

Kesan mengadu di media sosial

Pendapat yang mengelirukan

Keburukan paling utama apabila berkongsi masalah di media sosial adalah ia membuka ruang yang luas untuk menerima pendapat dan pandangan yang salah. Lebih membahayakan apabila anda yang sedang dalam kekeliruan disogokkan dengan pendapat mengelirukan. Keadaan ini akhirnya boleh membuatkan anda dan pasangan lebih cenderung menggunakan emosi dalam pertimbangan hal berkaitan rumah tangga berbanding akal yang waras.

Sering kali pendapat diberikan di media sosial ini adalah daripada individu yang turut pernah melalui pengalaman sama. Jadi sedikit sebanyak boleh menyebabkan apa yang dikatakan individu itu lebih menjurus kepada emosi.

Sebaiknya jika perasaan, emosi dan fikiran anda sedang bercelaru, elakkan daripada berkongsi masalah secara terbuka. Ini adalah perkara yang perlu anda lakukan sekiranya anda masih mahu mencuba untuk memperbaiki keadaan dan hubungan dengan pasangan.

IKLAN

Menimbulkan salah faham

Di dalam kitaran media sosial anda, pastinya terdapat ahli keluarga anda sendiri, bukan? Jadi apabila anda mengadu masalah yang dihadapi, ia secara tidak langsung akan menimbulkan keaiban kepada pasangan dan menjadikannya topik perbualan individu di sekeliling anda.

Selain mendatangkan keaiban, perbuatan mengadu di media sosial ini juga boleh menyebabkan salah faham dan buruk sangka apabila ada yang menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Tidak mustahil untuk konflik rumah tangga yang dilalui menjadi lebih kronik kerana ‘cakap-cakap’ individu di sekitar anda.

Kemelut semakin kronik

IKLAN

Kita tidak boleh membaca fikiran individu lain. Mungkin ada antara rakan anda yang tampak sangat prihatin mengenai masalah yang anda hadapi. Tetapi pada dasarnya dia mempunyai niat lain. Jadi boleh anda bayangkan apa yang mungkin akan berlaku?

Tak boleh bayangkan? Beginilah, dalam keadaan anda sedang beremosi dan menerima tekanan daripada pelbagai pihak, kebiasaannya anda tidak akan boleh berfikir dengan waras. Jadi apabila dalam masa sama, ada pihak yang tidak bertanggungjawab menghasut anda untuk membuat keputusan yang mungkin akan anda sesali, ia secara tidak langsung hanya menjadikan konflik rumah tangga anda lebih buruk. Elok-elok rumah tangga anda masih boleh diselamatkan, terus hancur berkecai, haaa…kan naya tu?

Tip mengendalikan konflik rumah tangga

IKLAN

Jadi bagaimana cara terbaik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga yang timbul?

  • Berkomunikasi secara berhadapan, tidak kira sama ada anda mempunyai masalah ataupun tidak. Ramai pasangan tidak menyedari, kurang berkomunikasi boleh menjadi punca utama konflik. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang lebih banyak menghadap gajet.
  • Elakkan bergantung kepada komunikasi atas talian semata-mata bagi mengelakkan kekusutan menjadi lebih serius. Adakalanya memilih untuk berkomunikasi atas talian lebih mengusutkan keadaan.
  • Jangan melarikan diri apabila berdepan dengan sebarang isu atau masalah. Hindari daripada menggunakan ‘orang tengah’ untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Jika masih memerlukan bantuan ‘orang tengah’, pilihlah individu yang anda percayai bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Saluran yang betul

Sebenarnya tidak salah untuk anda berkongsi atau meluahkan apa yang anda alami. Perbuatan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan dan mengurangkan tekanan yang anda lalui saban hari.

Tetapi sebaik-baiknya, berkongsi atau luahkanlah kepada individu yang anda percayai seperti rakan baik atau ahli keluarga. Atau jika anda malu dengan rakan atau keluarga anda, pilihlah untuk berkongsi dengan pakar kaunseling yang bertauliah. ‘At least’ mereka boleh memberikan pandangan dan nasihat yang lebih berkualiti dalam membantu anda mengharungi masalah rumah tangga anda.

Malahan dalam Islam sendiri menganjurkan setiap masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh diluahkan kepada individu yang layak untuk membantu menyelesaikannya seperti kaunselor, ustaz atau ustazah, peguam mahupun kawan rapat serta hakim ketika berada di dalam kamar mahkamah.

Hentikanlah berkongsi dekat media sosial ye? Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada anda.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI