Tular di media sosial kini mengenai CABARAN #10YearChallenge menyaksikan pelbagai perkongsian baik orang biasa mahupun selebriti. Ia merupakan kegilaan terbaru masyarakat pada hari ini.
Cabaran ini memperlihatkan individu mengimbas kembali kehidupan dengan memuat naik foto sekitar 10 tahun lalu, pelbagai cerita dapat dilihat.
Begitupun, mereka diminta berhati-hati apabila memuat naik foto supaya tidak memuat naik gambar yang tidak menutup aurat ketika melakukan #10yearschallenge tersebut.
Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam kenyataannya berkata tindakan memuat naik foto lama yang menampakkan aurat tidak patut dilakukan kerana mengundang aib sendiri.
Katanya, biarpun aktiviti itu sekadar ‘suka-suka’, namun pemilik akaun media sosial perlu memikirkan bahawa ia boleh mengundang dosa jika aurat dilihat orang lain.
“Mungkin pada 2009 seseorang individu itu tidak bertudung dan kembali menutup aurat pada 2019. Jika foto lama disebarkan semula di Facebook, ia dikhuatiri menjejaskan taubat,” katanya.
Menurut Mohd Yusof, beliau tampil memberikan teguran untuk kebaikan semua pihak.
“Bagi saya, yang sudah-sudah itu biarkan ia berlalu. Walaupun foto itu gambar lama, lebih elok disimpan untuk diri sendiri daripada dikongsi di laman sosial.
“Bukan apa, mungkin orang lain tidak tahu keadaan kita sebelum ini dan mereka akhirnya tahu selepas foto itu dimuat naik di Facebook. Lebih baik kita berdiam diri dan sentiasa memperbaiki diri,” katanya.
Mohd Yusof pada masa sama menyarankan pemilik akaun Facebook menggunakan teknologi maklumat untuk perkara yang berfaedah.
“Jangan disebabkan kecanggihan teknologi hari ini, kita lupa perkara yang mengaibkan serta perbuatan dosa. Bagi saya ‘permainan’ itu tidak salah tetapi lebih elok jika gambar yang tidak mencacatkan,” katanya.
Selain Mufti, terdapat juga individu lain yang memberi pandangan yang sama. Antaranya PU Amin. Beliau yang turut melakukan cabaran tersebut memberitahu tidak salah berbuat demikian, namun berpada-pada.
“Tak salah nak throwback, tapi yang baik-baik sahaja diceritakan.
“Kisah silam yang tak baik haram diceritakan. Kerana Allah telah menutup keaiban diri kita, jangan kita sesekali membongkarnya,” tulisnya di Instagram
PU Amin turut berkongsi foto throwback dirinya sendiri sekitar 10 tahun lalu ketika sedang menuntut di Mesir.
“10 tahun lepas. 10 tahun lepas mana reti nak ambil gambar elok-elok. Tak ada potret, yang ada telefon kawan.
“10 tahun lepas semasa tahun 1 di Al-Azhar Mesir. Berat dulu 55kg, berat sekarang 58kg,” tambahnya.
Selebriti lain yang turut berbuat demikian adalah Abby Abadi. menerusi instagramnya, Abby turut memuat naik gambar dan bercerita mengenai pengalamannya 10 tahun lepas.
Sumber: Harian Metro & instagram