“Jangan Makan Seorang Diri.” Rupanya Ini Sebab Kena Makan Bersama Keluarga, Ini Nasihat Ustazah Asma Harun.

Share

Budaya makan bersama keluarga kini semakin kurang dalam masyarakat ekoran kesibukan rutin harian.

Lebih menyedihkan ada segelintir keluarga tidak ambil peduli waktu makan untuk seisi keluarga.

Masakan tidak dihidangkan di atas meja sebaliknya anak ‘layan diri’ untuk ambil makanan.

Suasana makan bersama keluarga seakan makin dilupakan. Cakna mengenai hal ini, penceramah dan pendakwah bebas tanah air, ustazah Asma Harun , menyuarakan pandangannya menerusi Instrgram miliknya baru-baru ini mengenai isu makan seorang diri.

Ikuti perkongsian beliau.

AMATLAH RUGI MEREKA YANG MAKAN TAPI MENGABAIKAN PERKARA PENTING INI

Hari ini, berapa ramai keluarga yang meja makan di rumahnya menjadi tempat yang sunyi. Anak-anak turun makan hanya apabila lapar kerana masing-masing sibuk dengan gajet dan ‘games’ mereka.

Ibu ayah pula selalu sibuk dengan kerja dan urusan seharian, sehingga tidak kisah pun jika tidak sempat meluangkan masa untuk makan bersama keluarga.

Suasana rumah sendiri seolah beku dan kaku. Masing-masing hanya buat hal sendiri, tidak peduli siapa sudah makan dan siapa yang belum. Meja makan yang seharusnya menjadi tempat berbual mesra dan bertukar cerita, kini seolah sepi tanpa suara.

Bayangkan jika ini berterusan, anak-anak akan terdidik menjadi seorang yang hanya fikir tentang diri sendiri. Tiada lagi rasa kebersamaan antara ahli keluarga.

Allahuakbar.

Renungkanlah sebuah hadis Rasulullah SAW yang sangat menekankan tentang kelebihan makan bersama-sama.

Daripada Wahsyi bin Harb, daripada ayahnya, daripada datuknya beliau berkata:

أَنَّ أَصْحَابَ النَّبِيِّ، صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نَأْكُلُ وَلَا نَشْبَعُ، قَالَ: «فَلَعَلَّكُمْ تَفْتَرِقُونَ؟» قَالُوا: نَعَمْ، قَالَ: «فَاجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ، وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ»

Maksudnya: Para sahabat Nabi SAW berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan dan tidak merasa kenyang.” Baginda bersabda: “Kemungkinan kalian makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab, Ya. Baginda bersabda: “Hendaklah kamu makan bersama-sama, dan sebutlah nama Allah, maka kamu akan mendapat berkat daripadanya.”

(HR Abu Daud, hadis hasan)

 

Subhanallah.

Tidak kiralah makanan itu banyak atau sedikit, jika dinikmati beramai-ramai pasti ia terasa jauh lebih cukup disebabkan oleh nilai keberkatannya.

Sahabat, mari hidupkan budaya makan bersama ahli keluarga agar kasih sayang yang terbina lebih mekar dirasa. Semoga rezeki yang dikongsi itu sentiasa diberkati oleh-Nya. 

Moga ia menjadi ikhtibar buat kita. Semoga budaya makan bersama keluarga kembali ‘dihidupkan’ .

Sumber: ustazahasmaharun

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

 

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club