Tentu sayu hati dan wajah ayah bonda dimain di mata terkenang orang tua di hari raya. Namun perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung merentas negeri demi mengelak penularan covid-19.
Walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB dilanjutkan hingga 9 Jun ini dengan kebenaran menziarah ketika musim perayaan dalam negeri, ini tidak bermakna kita menyalahgunakan kelonggaran sepanjang musim perayaan kerana tindakan itu boleh mengakibatkan peningkatan kes covid -19.
Begitu juga peringatan yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai amalan kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada Aidilfitri tahun ini. Beliau menjelaskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mengeluarkan dasar atau prosedur operasi standard (SOP) tambahan menjelang Aidilfitri ini. KKM bukan mengeluarkan dasar tetapi lebih berbentuk nasihat kepada individu dan keluarga supaya jangan amalkan kunjung-mengunjung dan menziarahi kubur pada tahun ini.
“Memang ada kelaziman kunjung-mengunjung dan ziarah kubur setiap kali menjelang hari raya.
“Tetapi, kali ini di luar kelaziman dan kita kena lihat cara bagaimana kita merayakan Aidilfitri kali ini dengan cara tiada kunjung-mengunjung atau menziarahi kubur.
“Apa yang penting kita kena putuskan jangkitan dan kalau boleh beraya secara tertutup iaitu sesama keluarga saja dan kurangkan aktiviti berkunjung dan kalau boleh jangan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.
“Hanya tahun ini saja dan jika kita boleh patuh kepada nasihat KKM, kita boleh putuskan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat kita.
“Sebab Covid-19 masih ada di dalam komuniti, jadi kalau kita terdedah dan membawa pulang virus ke rumah dan kita menjangkiti mereka yang berisiko tinggi.
“Jadi kami menasihatkan kepada setiap individu, keluarga dan masyarakat untuk pastikan kita jaga kita, kita jaga keluarga kita dan kita jaga masyarakat.
“Ini adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya di pihak kesihatan dan kerajaan, tetapi setiap individu dan keluarga perlu ambil iktibar dan jaga diri sendiri,” katanya.
Sumber: Harian Metro