Jangan Cepat Menghukum & Marah Jika Anak Lambat Faham. Amal Tip Yang Dikongsikan Oleh Guru Ini. Ibu Bapa Take Note!

Share

Ibu bapa mana yang mahu anak-anak mereka membesar menjadi orang yang gagal dan bermasalah.

Dalam mendidik dan mengajar mereka, kena ada caranya. Sabar adalah sangat penting terutama jika anda mempunyai anak-anak yang agak lemah dalam bab pembelajaran.

Kerana itu ada antara sesetengah ibu bapa yang jenis hilang sabar akan menganggap hukuman atau denda adalah jalan penyelesaian bagi membentuk anak-anak.

Apatah lagi jika mendapat anak yang lambat ‘pick up’ , berulang kali benda yang sama masih tidak memahami.

Walhal, dengan mengambil jalan mudah  begini, anak-anak lagi memberontak dan hubungan itu akan menjadi semakin jauh.

Ikuti perkongsian guru ini Mohd Fadli Salleh kepada ibu bapa cara betul mengajar anak-anak dirumah tanpa perlu marah atau menghukum mereka.

 


JANGAN MENGHUKUM/MARAH-MARAH ANAK HANYA KERANA MEREKA TIDAK FAHAM.

Ramai ibu-ibu pm aku bertanya cara yang betul untuk ajar anak di rumah terutamanya mata pelajaran Matematik.

Mereka bertanya, perlukah sediakan rotan? Kebanyakan mereka bila mengajar anak akan bertukar menjadi singa secara tiba-tiba. Ada juga meluahkan tidak dapat menahan marah apabila benda yang sama dan diulang tapi anak tak faham-faham.

Maka cubitan adalah ‘hadiah’ yang anak mereka dapat akibat kesalahan dan ketidakfahaman mereka itu. Baik tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Tarik nafas, dan baca perkongsian aku sampai noktah terakhir.

Mengajar ini perlukan kesabaran yang cukup tinggi. Tekniknya ada pelbagai jenis. Teknik yang terbaik (pada aku) ialah gabungan kelembutan, ketegasan, dorongan dan juga sedikit paksaan.

Begini tuan-tuan, bila mengajar tentang sesuatu topik, kesabaran itulah paling penting. Kelembutan dalam tunjuk ajar itu perlu,memujuk mereka agar faham dengan bahasa yang lembut agar mereka bertambah minat dan suka belajar.

Bila ketegasan itu perlu?

Bila anak mula main-main dan tidak tumpu perhatian. Bila anak mula mendengar sambil mengacau adiknya atau sambil memandang kawan yang naik basikal di luar rumah.

Di sini ketegasan perlu. Perlu untuk dia menumpukan perhatian. Sebaik tumpuan dia berikan, kembali ajar dengan lembut dan sabar.

Jika dia salah, jangan dimarah. Ulanglah walau berpuluh kali. Bila dia tidak faham, jangan cepat cubit atau rotan, namun sabarlah memberi penerangan dengan cara paling mudah sesuai dengan aras pemikiran mereka.

Namun jika mereka malas, di sini kegarangan perlu. Hukuman ringan pun boleh dikenakan jika mereka malas. Kalian minta anak-anak buat 5 soalan, lepas siap satu dia mula malas dan nak main, hah, di sini perlu menjadi singa.

Menjadi singa bila mereka malas, bukan semasa memberi penerangan dan tunjuk ajar.

Bagaimana anak nak faham jika mereka belajar dalam ketakutan? Kasihan dengan mereka asyik dicubit asyik dirotan hanya kerana sesuatu perkara yang otak mereka masih tak mampu nak faham.

Apakah benar mereka tak boleh nak faham atau mereka tidak mampu faham akibat belajar di bawah tekanan?

Atau mungkin juga cara penerangan dan tunjuk ajar kita yang kurang betul membuatkan anak-anak susah nak faham.

JANGAN MENGHUKUM/MARAH-MARAH ANAK HANYA KERANA MEREKA TIDAK FAHAM.

Jangan!

Aku selalu menekankan pada murid-murid,

“Cikgu tak marah jika awak salah, namun cikgu sangat marah jika awak malas.”

Murid aku, jika 20 soalan aku beri dan mereka salah semua, tiada satu dendaan atau hukuman aku beri pada mereka.

Namun jika tidak siap kerja, nahas!

Sama juga bila aku mengajar dan memberi penerangan panjang lebar, bila ditanya mereka tak faham dan tak boleh jawab. Aku dengan lembut dan sabar akan mengulang-ulang dan ajar semula.

Namun bila aku mengajar mereka tidak tumpu perhatian, pandang luar kelas, main pemadam, bercakap dan sebagainya, nahas!

Bila masa perlu memaksa anak?

Bila tidak melibatkan pemahaman. Yakni melibatkan hafalan.

Anak tak hafal sifir dan rumus, aku sokong jika kalian dan jadi singa. Nak marah atau nak hukum sekali pun (dengan hukuman ringan sahaja).

Hat tu tak apa. Ini kerana hafalan dan kefahaman adalah dua benda berbeza. Jauh berbeza.

Hafalan memerlukan usaha untuk mengingat. Bila banyak kali diulang-ulang pasti akan ingat. Maka, murid yang tidak dapat menghafal sifir dan rumus sebenarnya bukan kerana mereka tidak boleh, tetapi kerana mereka malas.

Orang yang malas, tiada ubat di hospital bang. Ubatnya hanya rotan. Hehe.

Kefahaman pula memerlukan mereka berfikir, menghadam setiap penerangan dan tunjuk ajar. Jika mereka tidak mampu faham, mungkin saja kerana yang mengajarnya kurang bagus. Mungkin juga topik tersebut terlalu tinggi dengan akal mereka.

Tidak semestinya kerana mereka malas. Sebab itu, di sini perlunya kesabaran yang sangat tinggi. Jangan menghukum anak yang tak faham. Jangan!

Ingat ya mak-mak semua. Jangan asyik nak menyinga saja.

Ada tempat kita perlu berkeras, ada tempat kita perlu dengan lembut dan penuh sabar memberi tunjuk ajar.

Begitulah.

#MFS
– Berkongsi yang banyak, tidak menyorok yang sedikit. Itulah guru –
.