SAKIT DADA
.
Sakit dada diertikan sebagai kesakitan atau rasa tidak selesa pada bahagian dada. Ia berlaku apabila dada terasa berangin, terasa sesak dan dicucuk, berat atau rasa seperti ditekan.
Sakit dada juga merujuk kepada sakit pada bahagian dada, bahagian atas perut termasuklah sakit pada bahagian belakang atas badan, tekak, rahang, bahu dan kedua-dua lengan. Ia merupakan satu keadaan yang perlu diambil perhatian serius memandangkan ia boleh membawa maut.
.
PUNCA-PUNCA SAKIT DADA
.
Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan sakit dada ini berlaku. Oleh kerana simptom ini boleh merujuk kepada penyakit yang serius seperti serangan sakit jantung, maka anda dinasihati untuk berjumpa dengan doktor jika mempunyai simptom tersebut. Sakit dada tidak semestinya dikaitkan dengan seseorang yang mendapat serangan penyakit jantung. Ramai juga pesakit yang mendapat sakit dada ini tidak mengalami serangan jantung.
.
Antara punca-puncanya ialah :
.
1. Serangan jantung (penyakit koronari jantung) berlaku apabila terdapat saluran darah ke jantung tersumbat
2. Lain-lain jenis penyakit jantung seperti masalah injap jantung
3. Pedih ulu hati yang disebabkan oleh gangguan asid dari perut
4. Sakit di bahagian perut hingga ke dada
5. Sakit di bahagian luar dada seperti otot, sendi dan rusuk
6. Penyakit berkaitan dengan paru-paru seperti asma
7. Kecederaan pada dada disebabkan oleh kemalangan atau terjatuh
8. Gangguan emosi seperti kebimbangan, panik dan tekanan
9. Sakit belakang
.
RAWATAN UNTUK SAKIT DADA
.
Sakit dada yang berlaku di kalangan orang muda yang sihat biasanya tidak merbahaya jika kadar kesakitan berubah mengikut perubahan posisi badan.
.
Untuk mengesahkan seseorang yang mengalami sakit dada akibat oleh serangan jantung, doktor biasanya dapat mengetahui punca sakit tersebut dengan melakukan ujian ECG (ujian merekod fungsi jantung secara grafik) dan ujian darah.
.
Untuk masalah gastrik, selalunya pesakit akan dirawat dengan memberikan ubat gastrik dan ubat alkali untuk meneutralkan asid dalam perut.
.
Ada sesetengah sakit dada disebabkan otot dada yang tercedera mungkin disebabkan batuk yang terlalu kuat. Selalunya pesakit seperti ini boleh dirawat dengan penggunaan ubat tahan sakit. Malah jika ia tidak terlalu teruk, pesakit tidak perlu ambil apa-apa ubat dan ia akan baik dengan sendirinya.
.
Selain dari faktor di atas, sila dapatkan nasihat doktor anda bagi mengenalpasti jika ada tanda-tanda penyakit jantung. Ini kerana rawatan segera dan agresif dapat dibuat untuk menyelamatkan nyawa. Jika keadaan bertambah teruk, berjumpalah dengan doktor.
Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad