“Jangan Buat Andaian & Spekulasi Bukan-Bukan..” – Bapa Yakin Menantu Alami Gangguan, Tak Simpan Dendam

Share

Selepas kecoh tentang kejadian menyayat hati melibatkan pemergian ibu dan anak di Johor semalam, orang ramai mula sangka suspek yang juga suami mangsa mungkin terlibat dalam penggunaan barang terlarang. Bagaimanapun, polis hari ini mengesahkan lelaki tersebut negatif sekaligus menamatkan spekulasi bahawa individu itu telah ‘dikuasai’ bahan berkenaan.

Dalam pada itu, bapa kepada Allahyarhamah Hajar Nursyahirin iaitu Rosman Ahmad mendedahkan bahawa besannya telah berkali-kali datang untuk memohon maaf selepas insiden tersebut berlaku. Dipetik dari Harian Metro, dia akui tidak ingin memendam rasa amarah selain sudah maafkan anak menantu serta keluarganya.

“Sejak semalam, dia (bapa suspek) jumpa saya dan berkali-kali minta maaf.

“Saya maafkan saja sebab bukannya kita boleh menghakimi sesuatu benda yang kita tidak tahu,” katanya.

Malah, dia juga sempat bertanya kepada besan sama ada anak menantunya ada mengalami tekanan. Bagaimanapun, tiada sebarang masalah yang berlaku.

“Saya ada tanya apa masalah peribadi anak dia, dia (besan) kata memang tidak ada. Tetapi, saya dapat tahu dia berhenti kerja sebelum ini sebab dapat projek cuci kapal di Desaru.

“Kita orang dah berumur ini fikir, mungkin kawasan itu ‘keras’, jadi mungkin apa yang berlaku pada dia dan apa yang dia buat pada anak saya, bagi saya bukan dia, mungkin juga gangguan,” tambahnya.

Pada masa sama, Rosman juga berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang berlebihan. Jelasnya, dia tak mampu halang orang ramai untuk menilai sesuatu perkara. Namun, lelaki itu akui anak menantunya adalah seorang yang baik.

“Itu hak mereka (orang ramai) nak bercakap, tetapi kita lebih tahu menantu kita. Memang daripada apa orang ramai cakap itu beri kesan kepada keluarga terutamanya besan saya.

“Cuma saya harap orang ramai jangan buat andaian dan spekulasi yang bukan-bukan. Saya yang mentuanya pun tidak fikir begitu sebab saya kenal dia baik,” jawabnya.

Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, Johor Bahru jam 8.10 malam tadi.

Sumber : Harian Metro