Antara perkara yang sering dipandang remeh oleh ramai ibu bapa hari ini ialah hal mengasingkan tempat tidur anak-anak. Lantaran itu, kebanyakan ibu bapa ramai mengakui masih tetap tidur sebilik dengan anak-anak yang berusia di bawah umur 12 tahun.
Sewajarnya ibu bapa yang baik dan bertanggungjawab, tidak akan melengahkan waktu untuk mengasingkan tempat tidur anak bila sampai waktunya. Ini semua untuk kebaikan anak-anak tersebut agar terjaga auratnya, akhlaknya dan sekali gus memenuhi tuntutan syarak!
Untuk itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak dapat dipisahkan tempat tidurnya sebelum berusia 10 tahun. Jika masih gagal, mungkin cara yang dilakukan oleh Puan Aniey Yusoff yang juga merupakan ibu kepada tiga orang anak iaitu Alyaa, Affan dan Aimy ini boleh dijadikan panduan. Ikuti perkongsiannya.
“Alhamdulillah kakak Alyaa berjaya tidur dalam bilik sendiri selepas dia mendapat adik pada usia 2 tahun lebih. Nasib baik kakak Alyaa seorang yang sangat berdikari sejak dari umur setahun lagi. Jaga dia memang sangat tak banyak masalah.”
[su_highlight background=”#f6f5e7″ color=”#290e8d”]Tip Untuk Asingkan Tempat Tidur Anak [/su_highlight]
- Beri Anak Pilihan Hias Bilik Mereka
Semasa nak sediakan bilik tidur untuk kakak Alyaa, saya tanyakan pada dia cadar apa yang dia suka, nak lampu tidur atau tidak dan nak langsir warna apa. Sebab kakak masih kanak-kanak waktu ni dan dia tak kisah nak kartun apa sebab semua kartun dia sebut dan nak, maka ibu bagi tema Hello Kitty.
- Temankan Anak Tidur Sekiranya Anak Belum Berani
Pada 2,3 malam pertama ibu temankan kakak Alyaa sampai betul-betul lena. Bila dah tertidur baru ibu keluar dari bilik.
- Biarkan Anak Bersedia
Seminggu sebelum kakak Alyaa betul-betul tidur di dalam bilik sendiri, ibu selalu berpesan pada dia yang kakak akan tidur dalam bilik sendiri. Sepanjang proses siapkan bilik untuk dia, memang selalu bagi tau dia yang dia akan tidur di bilik sendiri..jadi mereka sangat teruja dan tak sabar-sabar nak tidur sendiri.
- Best Tau Ada Bilik Sendiri
Setiap kali bersembang dengan kakak Alyaa saya selalu bagi tahu dia, bahawa best tau ada bilik sendiri. Boleh solat dalam bilik, tukar baju dalam bilik dan boleh simpan semua barang mainan dalam bilik sendiri dan kakak sangat gembira. Biarkan anak selesa tidur umpama berada di syurganya.
- Puji Anak Atas Keberanian Dia
Bangun tidur keesokkan harinya saya puji kakak Alyaa sebab berani tidur sendiri. Sepanjang hari tu memang selalu la puji dia. Semangat kakak untuk malam seterusnya.
Semoga berjaya ibu-ibu semua!
Sumber : anieyyusoff.com
Jadilah Isteri Penyejuk Hati Suami. Salah Satunya Jangan Suka Merajuk Ye!
Isteri pilihan hati adalah penyejuk hati suami walaupun apa jua masalah yang mendatang. Biarpun onak duri, namun kebahagian rumahtangga tetap dijaga utuh. Ia sekali gus menyenari sebuah hubungan suami isteri yang erat dengan penuh kasih sayang. Bagaikan kasih suami membawa BAHAGIA, kasih isteri membawa ke SYURGA.
Ikuti panduan yang dari sebuah blog yang boleh dijadikan panduan bersama dalam melayari kehidupan rumahtangga. Biarpun sudah punya anak, namun kemesraan terhadap suami tetap manis sehingga hayat.
Tahun-tahun pertama perkahwinan adalah tempoh paling bahagia bagi pasangan suami isteri…. namun dengan selarinya peredaran waktu, kasih sayang yang dirasakan selama ini dirasakan semakin memudar.
Ada isteri yang merasakan suaminya sudah tidak menyayanginya lagi.
Tidak, jangan melulu menyalahkan suami.
Mungkin anda jugalah penyebabnya.
Mari kita semak kembali apa yang kebanyakan suami sukakan dan mahukan daripada isterinya.
Berikut adalah 17 perkara yang isteri perlu beri perhatian dalam menambat hati suami:
1. Mengambil berat tentang penampilan suami
Ada suami gemar diberi perhatian akan hal-hal remeh yang berkaitan dengan dirinya.
Dia akan senang jika isterinya mencadangkan baju apa hendak dipakai, mengenakan kancing bajunya, mengemaskan tali lehernya, mengelap kasutnya, memotong kukunya dan sebagainya.
Walaupun suami anda bukan jenis yang begini, tiada salahnya anda mencuba dan lihat kesukaannya.
Dari situ anda akan mengetahui apakah suami anda jenis suka dimanja atau suka berdikari.
Kita tidak tahu bagaimana ibu melayaninya dahulu.
Anda kena lebih baik daripada layanan yang diterima daripada ibunya.
Berasa banggalah melihat suami anda segak setiap hari.
Jangan berfikiran negatif, bimbang suami ditackle orang, sebab sekiranya anda ikhlas, keikhlasan itu akan dibalas dengan kejujuran yang lahir dari lubuk hatinya, bukan berpura-pura.
Lagipun anda mendapat pahala berbuat begitu.
Ini bukan hendak menjadikan anda hamba.
Sesetengah isteri memang merasakan begitu.
Padahal perkara ini ada disebut dalam hadis,
Ya Fatimah, barangsiapa wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya serta memotong kumisnya dan mengerat kukunya, Allah akan memberinya minum air dari sungai-sungai di Syurga, diringankan baginya sakaratul maut, akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman Syurga, Allah mencatatkan baginya bebas dari api Neraka, dan selamat dari Titian Sirat.”
2. Menambat hati suami dengan bersegera pergi jika dipanggil
Pernahkah anda ‘dipanggil’ suami ketika sedang memasak atau melakukan pekerjaan lain?
Anda wajib memenuhi ‘panggilannya’ itu.
Tinggalkan semua pekerjaan dan tunaikan ‘permintaannya’.
Tapi jangan tengah goreng ikan, anda pergi berlari tunggang-langgang kepadanya untuk ‘tugas’ baru.
Minta dia tunggu sebentar.
Kemaskan diri dan pergilah kepadanya.
3. Menambat hati suami dengan sentiasa berhias untuk suami
kebanyakan lelaki cukup cerewet dengan kebersihan.
Mereka akan bosan apabila isteri menyambutnya dengan rupa dan rambut yang kusut masai, anak-anak yang comot dan rumah yang ‘bak kapal pecah’.
Sesibuk mana pun anda, persiapkan diri sebaiknya tatkala menyambut kepulangan suami. Hadiahkan dia senyuman.
Kalau dia bermasam pun tak mengapa, anda sudah mendapat pahala sedekah dengan memberikannya senyuman.
Rugi ke senyum?
4. Layan suami seperti raja
Sesetengah suami suka dilayani seperti raja.
Dia suka jika isterinya membantu mengelap peluhnya, menyediakan keperluannya untuk mandi dan berdiri ketika ia hendak pergi atau kembali.
Ungkapan-ungkapan seperti, ‘Bang, nak makan dulu atau nak mandi dulu atau nak tidur dulu?’ cukup untuk membuat suami tersenyum dan mengurangi penatnya.
5. Ucapkan terima kasih setiap pemberian suami
Lelaki kadang-kadang suka dipuji.
Jangan lupa hargai setiap barang pemberiannya meskipun tidak seberapa nilainya.
Sekadar ucapan terima kasih dari seorang isteri ketika menerima pemberian, sangat bermakna dan membekas di hati suami.
Kalau rasa tak suka dengan pemberian itu, ucapkan dulu terima kasih, baru beritahu.
Misalnya, “Terima kasih bang, belikan Nor kain, cantiknya, Nor suka. Tapi kalau lain kali abang nak beli Nor nak warna kelabu pulak”
Suami tak akan tersinggung, malah faham bahawa dia masih belum mengerti kegemaran isteri dan akan cuba memperbaikinya.
6. Jangan berleter!
Suami akan bosan jika isterinya ‘cerewet’ dan selalu bertanya, hendak ke mana, acara apa, bila balik, kenapa lambat balik, jumpa siapa tadi dan sebagainya.
Banyak tanya tu lebih kurang macam berleter juga.
Mana ada suami yang suka isterinya berleter.
7. Menambat hati suami dengan menemaninya makan
Jika anda menghidangkan makanan untuk suami tetapi tidak menemaninya makan, sama halnya seperti memberi makan kucing.
Ini pun ada disebut dalam hadis.
Sebaik-baiknya temanilah dia meskipun sekadar satu suapan, tak pun duduk sambil minum-minum sementara menanti dia selesai.
Thabit al-Banni berkata,
Terdapat seorang wanita dari Bani Israel yang buta sebelah matanya, yang sangat baik pekertinya terhadap suaminya. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai suaminya selesai makan. Pada satu malam, pelitanya kehabisan sumbu, lalu diambil rambutnya untuk dijadikan sumbu. Esok harinya, matanya yang buta kembali melihat. Allah memuliakannya kerana rasa hormatnya kepada suami.”
Inilah cara paling ampuh untuk menambat hati suami, bermula dari dapur.
8. Tingkatkan ilmu pengetahuan
Suami senang dengan kefasihan isterinya dalam berkata-kata, bijak dalam bertindak dan menjadi partner yang baik dalam berdiskusi.
Tingkatkan kualiti intelektual anda dengan banyak membaca buku dan gali pelbagai informasi.
Hal ini jadi lebih penting jika anda suri rumah sepenuh masa.
Sesetengah suami memang memandang rendah sedikit isteri yang berstatus begini.
Jadi anda kena tingkatkan pengetahuan dengan mengambil tahu mana-mana yang patut.
9. Jangan terlalu kuat membangkang
Jangan kuat membangkang pendapat suami.
Kebanyakan suami tak suka pendapatnya dibangkang.
Walaupun agak salah, sebaik-baiknya terima dahulu.
Kalau nak membangkang pun tengok nada suara dia dan perhati nada suara anda.
Ingat, anda ibarat perdana menteri dan dia raja.
Mana ada raja yang boleh terima kalau asyik dibangkang oleh perdana menteri.
Isteri yang kuat membangkang memang sengaja mencari kebencian suami.
Anda tinggal sebumbung dengannya. Sudah tentu anda perlu sependapat dengannya dalam semua isu.
Kalau tak sependapat pun, simpan sendiri dan keluarkan balik sedikit-sedikit mengikut kesesuaian masa dan tempat.
Pendek kata, seboleh mungkin, sentiasa tunjukkan anda sependapat dengannya.
10. Jadilah bidadari yang menenangkan fikiran
Suami mahu isterinya sebagai penenang fikiran.
Jadi, berperananlah sebagai bidadari, bukan duri yang asyik menyucuk perasaan suami sehingga rumahku menjadi nerakaku.
Kalau isteri sudah tidak bersifat penenang, suami akan mencari pengganti.
11. Sambut kepulangan suami dengan ketenangan
Kalau anda ingin suami berlama-lama dirumah, jangan sambut kepulangannya dengan pelbagai masalah anak-anak dan urusan dapur yang remeh-temeh.
Mulailah pembicaraan yang menyenangkan, kerana suami perlukan freshener setelah seharian dengan masalah di tempat kerja.
12. Sediakan tempat tidur yang eksklusif
Tempat tidur bukan sekadar menyimpan rahsia-rahsia suami isteri, melainkan juga tempat ternyaman mereka untuk saling mencurah perasaan dan saling membuktikannya dengan perilaku.
Jadikan ia kamar yang eksklusif dan peribadi.
Kebanyakan suami tidak suka tempat tidurnya dimasuki orang tanpa izinnya.
Kreatif sedikit dalam menghias bilik tidur ini.
Berikan warna-warna yang digemari oleh suami.
Susun kembali bunga supaya tidak jemu memandang. Untuk lebih romantik letakkan gambar-gambar perkahwinan disini.
13. Elakkan gangguan
Pantang bagi kebanyakkan suami jika tidurnya terganggu.
Jauhkan anak-anak darinya ketika dia sedang tidur.
Tunggu dia terjaga dahulu sebelum memblander atau menumbuk sambal.
Kecilkan suara tv.
14. Isteri yang manja tapi bukan mengada-ngada
Suami suka isteri yang pandai bermanja-manja tapi jangan sampai mengada-ngada.
Disitulah cantiknya perhubungan suami dan isteri.
Isteri yang pandai bermanja-manja bukan sahaja mendapat semua yang dikehendakinya, malah menyenangkan suami dan membuatkan suami teringat-ingat.
Kalau dah suami teringat-ingat, takkanlah dia nak cari lain.
15. Jangan kuat merajuk
Jangan kuat merajuk dan tarik muka masam terutama tatkala suami sedang berserabut dengan masalah.
Merajuk tak bertempat ini hampir sama dengan mengada-ngada.
Anda kena ingat, merajuk jawapanya adalah pujuk.
Jika suami sedang serabut dengan masalah, bolehkah dia memujuk?
16. Beri pendapat bila ditanya sahaja
Dan jangan pula banyak tanya, biarkan suami isteri meminta anda memberi pandangan.
Sebab pandangan anda yang tidak tepat dan bertentangan dengan pendapatnya akan membuahkan perasaan geram.
Setakat geram tidak mengapa, kalau dia marah sudah tentu dia tidak akan meminta pandangan anda lagi pada masa akan datang.
17. Jangan memperkecilkan kemampuan suami
Selalu merangsang prestasinya.
Kalaupun ia lemah dan ada masalah jangan perkecil-kecilkan kemampuannya itu.
Dorong dia dengan kata-kata motivasi dan letakkan dihatinya bahawa anda sentiasa percaya suatu hari nanti masalah itu dapat diatasi.
Usahakan rawatannya tanpa berputus asa.
Penutup:
Kebahagian rumah tangga adalah bergantung kepada kedua-dua belah pihak, baik dari pihak si isteri mahupun suami.
Semuanya memainkan peranan yang penting.
Yang penting kedua-dua belah pihak berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pasangan masing dan berusaha mengekalkan keharmonian serta kehangatan dalam rumah tangga.
Sumber: akuislam.com
Wow, Enaknya Resipi Puding Kastard Susu Buah-Buahan. Pasti Anak-Anak Terpikat!
Puding kastard dengan kuah susu dan koktail buah-buahan campuran ini seringkali menjadi pilihan hidangan pencuci mulut sama ada untuk sebarang majlis atau untuk hidangan minum petang seisi keluarga.
Rasa pudingnya yang enak, kuah susunya yang manis berlemak di samping buah-buahan yang berwarna warni mampu membuka selera sesiapa sahaja, terutamanya anak-anak.
Apa kata sesekali cuba buat puding istimewa ini.Cara-cara membuatnya tidaklah sesukar mana, anda pasti berpuas hati dengan hasilnya.
Bahan-Bahan (Puding):
1 tin susu cair jenama IDEAL
1 tin tepung kastard Bird Custard (ikut sukatan tin susu)
4 tin air
Setengah tin gula pasir
Cara Membuat:
1.Larutkan semua bahan didalam kuali.
2.Setelah larut, barulah letakkan kuali tersebut diatas dapur dan buka api.
3.Guna api yang paling perlahan dan kacau selalu adunan tersebut sehingga ia nampak pekat dan berkilat.
4.Kemudian,masukkan ke dalam bekas-bekas kecil atau boleh juga masukkan ke dalam loyang.
5.Biarkan puding sejuk seketika dan simpan didalam peti sejuk.
Bahan-Bahan (Kuah Susu):
2 tin susu cair jenama (IDEAL)
1 tin susu pekat
1tin @ 3/4 tin gula pasir (ikut kemanisan)
1/2 tin air
1 tin buah-buahan koktail
Cara Membuat:
1.Campurkan semua bahan-bahan tersebut ke dalam periuk kecuali buah-buahan koktail didalam tin.
2.Kacau sebati atas dapur dengan menggunakan api yang paling kecil, cukup sekadar memanaskan kuah susu dan tidak perlu sehingga kuah susu mendidih.
3.Setelah suam,masukkan air dan buah-buahan koktail dan simpan didalam peti sejuk.
Tip ekstra:
Simpan semalam di dalam peti sejuk semalaman dan jangan letak ais pada kuah susu kerana ia akan membuatkan kuah susu cair.
Boleh juga campurkan dengan buah-buahan segar seperti strawberi, kiwi, peach dan sebagainya.
Sebut Nama Pasangan Dan Anak Dalam Doa Selepas Solat, Setiap Hari. Barulah Cipta Keluarga Bahagia
Setiap pasangan suami isteri inginkan sebuah kehidupan keluarga yang bahagia. Begitu juga dengan anak yang bijak dan mendengar kata.
Berikut panduan yang boleh dijadikan hala tuju untuk membentuk keluarga bahagia.
1 SOLAT awal waktu, PASTI keluarga akan bahagia. Beza orang yang sekadar solat dengan orang yang solat di awal waktu, ibarat langit dan bumi. Jauh bezanya. Dan Allah akan hujani rezeki pada rumah orang-orang yang jaga solat di awal waktu.
2 Wujudkan ta’lim dalam rumah sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Ta’lim adalah sesi berkumpul sekeluarga dan bercerita tentang Allah, kisah nabi, tafsir quran, atau hadis-hadis. Jadikan rumah kita sebahagian dari taman syurga.
3 Wujudkan tiga waktu ini dalam keluarga, sekurang-kurangnya sekali sehari: Solat berjemaah, Makan berjemaah, dan Bercerita/berbual. Dan dalam ketiga-tiga waktu ini, haramkan handphone dan TV.
4 Menguap atau melihat handphone ketika pasangan atau anak-anak sedang bercerita, adalah akhlak yang sangat buruk.
5 Sebut nama pasangan dan anak-anak dalam doa selepas solat, setiap hari.
6 Banyakkan menyebut “ya arhamar rahimin” (Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Supaya setiap anggota keluarga kita juga sentiasa ada dua sifat itu – penyayang dan pengasih.
7 Hindari sikap MALAS. Buang perkataan MALAS dalam kamus hidup. Allah benci orang yang malas, Allah menyempitkan rezeki orang yang malas. Kurangkan tidur, kurangkan makan, kurangkan social media, kurangkan berhibur. Kerana itu punca malas.
8 Tanda Allah sayang keluarga kita ialah bila setiap ahli keluarga mampu berlembut dan bertoleransi sesama sendiri. Kalau kita masih berkasar, kerap bertelingkah, kuat merajuk, pentingkan diri sendiri, maksudnya keluarga kita masih jauh dari Allah.
9 Orang yang paling kaya dan bahagia adalah orang yang kenal Allah, percaya Allah, RASA Allah sentiasa melihat, dan yakin setiap musibah dan nikmat itu adalah kerana kasih sayang Allah.
10 Apa ciri-ciri rumah yang Allah suka? Rumah yang sentiasa bersedia menyambut Rasulullah SAW sebagai tetamu. Bayangkan Rasulullah nak datang rumah kita petang ni. Adakah kita akan malu atau mengelak? Adakah kita akan sorokkan mana2 majalah, DVD, frame gambar? Adakah kita akan hulurkan Quran yang berhabuk (dah lama tak baca) kepada Rasulullah? Atau adakah kita dalam keadaan yang sentiasa bersedia untuk menyambut Rasulullah, dan yakin baginda akan suka berkunjung ke rumah kita? Tepuk dada.
11 Nafkah wajib seorang suami kepada isterinya ada tiga: Tempat tinggal, Makanan dan Pakaian. Suami isteri yang tinggal di rumah mak atau mak mertua atas sebarang sebab, bermaksud suami belum menyempurnakan nafkah tempat tinggal. Tapi kalau tiada pilihan, suami tetap perlu beri bayaran sewa (atau sumbangan setimpal) kepada tuan rumah, bagi menyempurnakan nafkah tersebut. Ini kewajipan. Dan kalau tak ditunaikan, suami akan menanggung dosanya, dan boleh jadi asbab rezeki keluarga sempit dan rumahtangga tak bahagia.
12 Rasulullah SAW tak pernah merungut apabila makanan yang disediakan isterinya tak sedap, kekurangan pada sikap/layanan isterinya, kenakalan anak-anak, sikap ego orang tua, rajuk/cemburu isterinya, atau sebarang kesusahan dalam rumahtangga. Rasulullah tak pernah merungut. Kerana merungut adalah salah satu tanda hati telah hitam.
13 Macam mana nak bersihkan hati yang hitam? Rajin basuh toilet, bersihkan rumah. Kerja-kerja “kotor” sebegini akan membersihkan hati dan menundukkan jiwa. Sambil bersihkan tandas, repeat dalam hati –
“Rajiah, kau bukan siapa-siapa, kau takde apa-apa, kau tak pernah buat apa-apa. Semua kebaikan yang ada pada kau, adalah kuasa dan pertolongan Allah semata-mata.”
14 Setiap kali kita nampak keburukan atau kekurangan pada pasangan dan anak-anak, kene SABAR. Betulkan diri sendiri dulu. Kadang-kadang kekurangan itu bukan pada pasangan atau anak-anak, tapi pada diri sendiri yang gagal bersyukur, gagal mendidik dan gagal menjadi contoh yang baik. Orang yang betul-betul yakin dengan Allah, tak pernah pandang rendah pada orang lain, termasuk dirinya sendiri.
15 Setiap kali buat kebaikan, jangan harapkan pujian daripada pasangan, tapi harapkan Allah pandang dan Allah sayang. Sebab bila Allah sayang, automatik seluruh makhlukNya sayang pada kita.
16 Kekalkan mawaddah (romantik) dalam rumahtangga. Jalan pegang tangan, baring atas riba pasangan, peluk pasangan, pandang wajah pasangan dengan rasa cinta. Biarpun di hadapan anak-anak.
17 Ringankan mulut untuk ucapkan kata cinta, kata penghargaan, pujian dan dorongan kepada pasangan dan anak-anak setiap hari. Itu akan melembutkan hati dan mengeratkan hubungan.
18 Rasulullah SAW tak pernah pukul/rotan/kurung/ikat/meninggikan suara kepada pasangan dan anak-anak. Baginda bijak menggunakan kemahiran komunikasi dan tutur kata yang berhemah untuk selesaikan sebarang konflik dan stress. Kekerasan dan kekasaran fizikal hanya akan mengeraskan hati dan menjarakkan hubungan.
19 Cara hidup kita menentukan cara mati kita. Dan cara mati kita menentukan cara kita dibangkitkan semula nanti. So kalau nak kesudahan yang baik, betulkan cara hidup bermula sekarang!
20 Sentiasa buat kebaikan, walaupun kepada pasangan yang tak pandai menghargai, pasangan yang ego, pasangan yang jahil, pasangan yang tak membalas kebaikan tersebut. Kerana setiap kebaikan yang kita buat, pasti akan dibalas oleh Allah. Buat baik, sebab nak Allah sayang, bukan sebab nak pasangan sayang. Ingat, tiada satu pun kebaikan yang sia-sia!
21 Rumahtangga yang sejahtera adalah salah satu syurga dunia. Sesiapa yang tak berusaha untuk capai syurga dunia, tak akan mampu beroleh syurga di akhirat nanti. Maka penting untuk kita berusaha capai keluarga sejahtera, sebelum mati.
22 Suami yang rajin tolong basuh pinggan, bukan suami dayus. Suami yang rajin tolong sidai baju, bukan suami dayus. Suami yang tolong mandikan anak-anak, bukan suami dayus. Suami yang patuh cakap isterinya, bukan suami dayus. Tapi suami dayus, adalah suami yang tak mampu membimbing isterinya ke jalan Allah, tak mampu menjaga aurat isterinya, tak mampu membentengi isterinya dari azab api neraka.
23 Rumahtangga yang sentiasa ada solat dan zikir di dalamnya, pasti akan tenang dan bahagia.
24 Jarak sesuatu masalah dengan penyelesaiannya, ibarat jarak dahi dengan tempat sujud. Apa pun konflik dalam rumahtangga, kembali pada Allah.
25 Kualiti sesebuah keluarga terletak pada kualiti solat anggotanya.
26 Sentiasa bersedekah sesama anggota keluarga. Kerana sedekah itu lebih tajam daripada doa.
27 Keluarga adalah asas hidup. Kalau keluarga sejahtera, seluruh perjalanan hidup akan mudah.
28 Seorang suami perlu ada sifat “ghirrah”. (Bukan ghairah. Itu memang dah confirm ada ) Ghirrah bermaksud cemburu. Cemburu yang bertujuan untuk memelihara kehormatan isteri dan menghindar isteri daripada maksiat dan dosa. Contoh, kalau isteri nak keluar dengan kawan2, suami boleh izinkan. Dengan syarat, auratnya terpelihara, pergaulannya terjaga.
29 Doa bila rumahtangga dilanda badai atau musibah:
Surah At-Taubah, ayat 128-129.
Ini doa favourite Rasulullah SAW.
30 Doa supaya satu keluarga sentiasa jaga solat:
Surah Ibrahim, ayat 40.
31 Doa supaya Allah sentiasa pelihara ibu bapa kita, dan jadikan anak-anak kita taat:
Surah Al-Ahqaf, ayat 15.
32 Doa memohon zuriat, dan agar Allah sentiasa beri kesabaran ketika belum ada zuriat:
Surah Maryam, ayat 1-10.
Sumber: islamituindah.my