Apabila hari raya tentu ramai tetamu seperti saudara mara dan kawan-kawan akan datang beraya. Jika tuan rumah ada bayi kecil tentu jadi habuan kena cium, peluk dan cubit pipi tanda geram lihat gebu dan comelnya bayi.
Memang itu lumrah yang biasa dibuat oleh tetamu jika melihay bayi. Tapi hakikatnya ia boleh mengundang padah jika salah seorang tetamu mungkin boleh menjadi penyebab bayi itu diserang jangkitan kuman.
Biarlah tak dapat duit raya pun untuk bayi, letaklah bayi dalam bilik apabila ada ramai tetamu yang datang. Bak kata perpatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
Ikuti perkongsian oleh Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah di laman facebooknya.
Tips menyambut Hari Raya bagi ibu ayah bersama bayi kecil
Alhamdulillah lebaran bakal menjelma.
Bagi ibu bapa yang baru menimang cahaya mata, pasti perasaan teruja nak bergambar raya dengan si kecil, ada pertambahan ahli keluarga baru, bercampur baur dengan perasaan berdebar kan?
Apatah lagi sekarang semakin banyak kes penyakit berjangkit seperti demam campak, diphtheria, dan sebagainya akibat ramai orang tidak memvaksinkan anak-anak kerana terpengaruh dengan golongan anti vaksin.
Bayi yang belum mendapat imunisasi yang lengkap, terutamanya bayi pramatang, amat terdedah kepada jangkitan kuman, dan jika jatuh sakit, amat mudah mendapat komplikasi seperti radang paru-paru, jangkitan selaput otak iaitu meningitis, malah keadaan mata mereka boleh menjadi teruk iaitu retinopathy of prematurity semakin merosot.
Saya ingin kongsikan sedikit tips bagi ibu ayah yang ada bayi baru lahir, dan juga orang ramai menjelang hari raya ini.
TAK PERLU KE TEMPAT ORANG RAMAI JIKA BAYI KURANG DUA BULAN
1) Jika ada bayi baru lahir, terutamanya kurang dari 2 bulan, imunisasi bayi anda belum lengkap lagi.
Ads
Sebaiknya tidak perlu ke tempat yang ramai orang berkumpul bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman. Kita tidak tahu siapa yang sudah divaksin, siapa yang tidak divaksin, siapa yang sedang sakit dan sebagainya
Faham, raya setahun sekali. Tetapi bayi anda juga kecil sekali seumur hidup sahaja. In shaa Allah tahun depan kita boleh raya sepuas hati ya?
TETAMU TAK PERLU DUKUNG BAYI KECIL
2) Jika tetamu datang ke rumah, sebaiknya mereka tidak perlu mendukung bayi kecil anda. Pakaian dari luar belum tentu bersih. Mungkin sudah terkena asap kenderaan dan sebagainya.
Sebaiknya biar si ibu sahaja yang mendukung bayi. Anggap sahaja bayi itu permata berharga di dalam kaca display ya.
SEDIAKAN HAND SANITISER
3) Ibu ayah boleh sediakan hand sanitiser untuk para tetamu, letakkan di sebelah katil bayi. Untuk lebih comel, letakkan tanda “Sila cuci tangan anda jika anda sayang saya ” dengan satu smiley face.
Kita tak tahu tangan pengunjung sudah menyentuh dan bersalaman berapa ramai orang lain, sebelum mereka mahu menyentuh pipi comel bayi kita yang masih merah ini, kan?
TETAMU KENA PASTIKAN SIHAT SEBELUM BERTANDANG KE RUMAH YANG ADA BAYI KECIL
Ads
4) Para tetamu juga, mesti mengambil tanggungjawab jika ada batuk, selsema sama ada diri sendiri mahu pun anak-anak, jauhkan diri dari bayi kecil pada jarak sekurang-kurangnya 5 meter. Paling baik, jangan masuk langsung ke dalam bilik yang ada bayi kecil.
Iyalah takut terbatuk di wajah bayi itu, terkena jangkitan, kasihan bayi itu.
Batuk biasa pada kita, jika terkena pada bayi pramatang, boleh menyebabkan jangkitan paru-paru yang serius hingga perlu alat bantuan pernafasan di ICU!
TETAMU ELAK CIUM BAYI
5) Para tetamu, elakkanlah mencium bayi baru lahir pada wajah mereka, terutamanya jika anda ada batuk dan selsema. Ini bagi mengelakkan jangkitan kuman.
Jika geram sangat dengan kecomelan bayi itu, boleh saja pegang sedikit di tangan atau badan bayi, dan doakan bayi itu mengikut sunnah Rasulullah SAW:
“Dan aku meminta perlindungan untuknya kepada-Mu dan juga untuk anak keturunannya dari syaitan yang terkutuk”
Ads
Hadith Riwayat Al-Bukhari (3/110 –As-Sindi) dan Muslim (15/128 Nawawi)
Lebih selamat, pahala pun dapat, kan 🙂 Doa ini adalah dari Surah Ali Imran ayat 36.
PASTIKAN BAYI DIVAKSIN IKUT JADUAL
6) Pastikan anak-anak kita divaksinkan mengikut jadual imunisasi Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan mereka mendapat perlindungan yang secukupnya dari jangkitan kuman yang merbahaya seperti batuk kokol, demam campak, rubella dan sebagainya.
Pencegahan adalah lebih baik dari merawat.
BIARLAH KITA DIGELAR PARANOID ASALKAN BAYI SELAMAT
7) Para ibu yang tersayang, usah bimbang digelar paranoid kerana mahu melindungi bayi kita, ya.
Mungkin ibu bimbang ada suara yang berkata “macam dia seorang yang ada bayi!”, tapi memanglah kita seorang sahaja yang ada bayi kita kan!
In shaa Allah kita hanya mahu yang terbaik untuk bayi kita.
Teruskan penyusuan susu ibu untuk memberikan imuniti pasif kepada permata hati kita, di samping mengambil langkah-langkah penjagaan di atas demi keselamatan dan kesihatan anak-anak kita in shaa Allah.
Walaupun di musim perayaan, jika anak-anak ada sebarang simptom tidak sihat seperti demam yang berpanjangan, sesak nafas, batuk yang berlarutan dan sebagainya, segeralah bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan.
Semoga Allah melindungi keluarga kita sentiasa in shaa Allah, amin.
Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Pakar Mata,
Ibu kepada 3 anak pramatang
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Bersyukurlah jika kita dianugerahkan anak yang sering mengingatkan kita tentang kealpaan kita.
Anak yang mengingatkan kita tentang solat.
Anak yang mengingatkan kita tentang bahasa pertuturan kita.
Anak yang mengingatkan kita supaya bersabar.
Anak yang mengingatkan kita tentang riak dan kesombongan kita.
Anak yang mengingatkan kita tentang pakaian kita.
Anak yang mengingatkan kita untuk bersyukur dengan rezeki yang ada.
Anak yang mengingatkan kita untuk membantu orang yang memerlukan.
Dan anak yang mengingatkan kita tentang kematian.
Anak adalah ujian dan anak juga adalah rahmat buat kita. Kita bukan sahaja mendidik anak, anak juga banyak mendidik kita untuk menjadi insan yang lebih baik dan bertakwa.
Lapangkanlah dada menerima peringatan dan nasihat daripada anak walaupun anak itu adalah anak kecil kerana bukankah didikan kita jugalah yang menjadikan anak sebegitu?
Noor Afidah Abu Bakar
Sumber: Parent Connect Consultancy
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Kebersihan adalah sebahagian agenda utama yang diambil berat oleh seorang suri rumah bagi memastikan kediaman yang dihuni selamat dan selesa untuk famili. Pun begitu, untuk memastikan rumah sentiasa bersih serba serbi, memanglah bukan suatu pekerjaan yang ringan untuk dilakukan.
Bagi memudahkan urusan itu, ada antara kita terpaksa menggunakan bahan-bahan pembersih untuk memudahkan kerja. Bagaimana pun, beberapa produk yang ada di pasaran mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan alahan pada sebahagian orang.
Oleh itu, ada baiknya kita bertukar kepada menggunakan bahan alami yang lebih selamat. Jom semak!
1. Almari kayu
Jika almari kayu terlihat kotor, segeralah bersihkannya dengan menggunakan campuran minyak sayur-sayuran dan baking soda. Gosokkan segera pada permukaan kayu dan anda akan lihat hasilnya cukup luar biasa. Almari kayu akan terlihat berkilat dan cantik seperti baharu.
2. Tilam
Sekali lagi, gunakan baking soda yang dicampurkan dengan minyak assensial untuk bau yang lebih segar. Caranya cukup mudah, tuangkan adunan tersebut di atas tilam yang terkena kotor dan kemudian beruslah dengan perlahan. Setelah anda puas hati, jangan lupa untuk gunakan penyedut hampa gas bagi memastikan tiada sisa-sisa serbuk baking soda yang tertinggal.
3. Cermin
Caranya cukup mudah dan berkesan. Ambil surat khabar lama dan basahkan. Kemudian gumpal untuk mudah dipegang dan barulah digosok pada permukaan cermin. Hasilnya anda akan lihat serta-merta, cermin berkilau dan cukup bersih.
4. Meja makan
Jika permukaan meja makan adalah diperbuat daripada batu mar-mar pastikan anda membersihkannya dengan air yang di campur bersama dengan hirisan limau berserta garam. Hasilnya cukup luar biasa berkilat dan kesegaran limau memberi aroma yang cukup menyenangkan.
Selain itu, untuk ibu-ibu menjaga permukaan perabot kayu terutama yang agak sensitif dan tidak mahu ia calar, cuba tip mudah ini: 1. Minyak zaitun dan cuka
Campurkan 1/2 bahagian minyak zaitun bersama 1/2 bahagian cuka. Sapukan campuran kedua-dua bahan ini pada permukaan perabot kayu yang tercalar. Anda akan mendapati perabot kayu kelihatan seperti baru semula.
2. Kantung teh/ tea bags
Rendamkkan kantung teh lebih kurang 2 – 3 minit di dalam air panas yang mendidih. Setelah itu, celupkan pemutik kapas ke dalam permukaan air rendaman teh itu tadi. Kemudiannya, gunakan teknik ‘dabbing’ pada permukaan perabot kayu yang calar. Lap lebihan air teh yang pasti mengalir ketika melakukan proses ini. Ulangi cara ini sekerap yang boleh dan anda akan mendapati kesan calar mulai pudar dan seterusnya hilang.
3. Marker pen
Pastikan anda mencari warna marker pen yang seakan-akan sama warnanya dengan perabot kayu anda. Calitkan sedikit marker pen pada permukaan yang calar dan setelah dakwat marker pen mengering, sembunyikan bahagian tersebut dengan penggunaan wax atau varnish.
4. Kacang walnut
Hanya terus gosokkan kacang walnut pada permukaan perabot kayu yang terjejas itu sebanyak beberapa kali. Perhatikan lama-kelamaan permukaan calar itu tadi semakin menggelap dan menghilang. Ini ajaib bukan?
5. Biji kopi/ serbuk kopi
Celupkan pemutik kapas ke dalam serbuk kopi yang dibiar sedikit lembap (dicampur dengan air panas terlebih dahulu). Pemutik kapas itu tadi kemudiannya diaplikasikan pada kesan calar yang ada di atas permukaan perabot. Biarkan selama 15 – 20 minit dan lap dengan segera permukaan kayu itu tadi dengan menggunakan kain yang kering. Kaedah ini berkesan membuatkan perabot kayu anda kelihatan ‘menggelap’ dan seterusnya menyamarkan kesan calar.
6. Jus lemon
Campurkan perahan lemon segar bersama minyak zaitun dalam kuantiti yang lebih kurang sama rationya. Dengan mengunakan lint cloth, ambil sebahagian besar campuran itu dan gosok terus pada bahagian calar perabot sehingga ia mulai hilang.
Sumber: Impiana
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Berkenalan sejak dibangku sekolah lagi, pasangan ini membuktikan tiada istilah cinta monyet. Jodoh yang kuat membawa mereka ke jenjang pelamin. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata.
Menelusuri relung hati insan seni bernama Mohd Razlan Mohamed Yusof atau sinonim dengan panggilan Lan Solo mengakui dia dan isteri, Nur Sheila Hassim atau mesra disapa Sheila Razlan yang saling memahami dan sama-sama bekerja keras. Itu yang mengutuhkan kubu rumah tangga mereka sehingga kini.
“Selain menjadi suri dalam hidup saya, Sheila juga merupakan pengurus bagi kerjaya saya. Tak dinafikan, pengorbanan Sheila cukup besar untuk rumah tangga kami. Dia terpaksa melebihkan saya dibandingkan dengan anak-anak. Ada masanya dia terpaksa melepaskan anak-anak pada famili bagi menguruskan saya.
“Baik dalam rumah tangga mahupun kerjaya, kami berdua sama-sama bertatih dari bawah untuk menjadi seperti sekarang. Syukur kerana segala pengorbanan isteri berbaloi. Alhamdulillah, walaupun kini bergelar penyanyi solo namun tawaran tidak putus-putus. Inilah dinamakan rezeki anak-anak.
“Rezeki bila berkeluarga tu berbeza sangat-sangat berbanding saya waktu bujang dulu, kerana itu saya berasa sangat bersyukur. Saya selalu minta pendapat, berkongsi segala masalah saya bersama isteri saya dan dia sentiasa sokong saya susah senang saya dan bila kita usaha InsyaAllah kita akan dapat hasilnya itu nanti,” jelas Lan Solo lagi yang bakal berkolaborasi dalam satu projek bersama bekas anggota asal Kumpulan Kristal tidak lama lagi.
Tambah Lan lagi, dia percaya pada rezeki dan beruntung dapat isteri yang boleh berkerjasama menguruskan kerjaya.
“Alhamdulillah kami sama-sama sentiasa berusaha tanpa rasa putus asa. Sheila sentiasa ada bersama saya ketika jatuh bangun dalam karier sebagai anak seni. Sheila bukan sahaja pengurus yang memahami, malah ibu dan isteri yang bertanggung jawab.
Bawa isteri mengerjakan umrah
Sibuk macam mana pun dengan urusan kerjaya saya, dia masih sempat ‘curi masa’ urusan hal didikan anak-anak. Senang kata, dia boleh berfikir benda lain dalam masa yang sama, sedangkan saya tak mampu berbuat demikian.
“Dalam membesarkan anak-anak, tak dinafikan Sheila lebih tegas saya pula jenis jarang bersuara. Tetapi sekali bersuara anak-anak takut. Memandangkan saya sibuk ke sana ke mari, jadi kalau ada masa terluang, hal anak-anak saya yang uruskan termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah. Inilah saja ruang yang ada untuk menikmati momen sebagai seorang ayah,” ujar Lan yang bakal membawa isteri kesayangannya ini mengerjakan umrah tak lama lagi.
Dari me time jadi our time
Melihatkan kesibukan sebagai pengurus dan juga isteri, penulis sempat menitipkan soalan sama ada Sheila ada ‘me time’ untuk melakukan aktiviti yang digemarinya.
“Sejak kahwin sedekad lepas, saya tak pernah ada me time. Sebab saya hanya ada Lan sebagai kawan. Kekok kalau dia tak ada. Kalau pergi meeting yang dia tak ada pun misalnya, saya akan wattsapp atau voice note untuk dia sama-sama bagi keputusan. Bukan saja saya, malah Lan pun tak pernah ada me time dia. Jadi me time adalah masa kami berdua. So jadi la our time,” seloroh Sheila lagi.
Jelas Sheila, kesibukan menguruskan kerjaya Lan tidak membuatkan dia mengabaikan tanggung jawab kepada rumah tangga dan anak-anak terutamanya.
“Kalau tak ada urusan,memang saya sepenuhnya bersama anak-anak. Apabila anak-anak masuk tidur dan siapkan kerja rumah, baru saya sambung balas wattsapp atau apa sahaja pasal kerja.
“Saya dan Lan sangat mementingkan komunikasi dan sentiasa berbincang. Jadikan pasangan keutamaan dalam apa jua situasi. Elakkan berkongsi masalah dengan sesiapa sahaja waima famili sendiri. Dugaan itu yang mengeratkan hubungan. Orang luar tak tidur sebantal dengan kita. Mereka tidak tahu apa, jadi kita tak perlukan orang luar untuk mencorakkan rumah tangga kita,” tegas Sheila lagi.
Lan sensitif tentang anak-anak
Pasangan ini juga pernah diuji ketika Sheila mengandungkan anak keempat apabila bayi tersebut dikatakan mempunyai masalah.
“Apabila xandra disahkan sumbing (klef), saya macam hilang upaya. Saya takut Xandra tak diterima. Jadi,saya korbankan masa kerja untuk bagi sepenuh perhatian pada bayi kami ni berbanding Lan dan anak-anak yang lain. Mujurlah masing-masing memahami dan Lan juga banyak membantu.
“Lan sebenarnya seorang yang sangat sensitif bila bercakap perihal anak. Bukan hanya perihal Xandra, malah hal kakak-kakak dan abang Xandra juga. Dia gigih belajar cara yang betul untuk susukan Xandra supaya Xandra dapat rasa sama seperti yang lain-lain.
“Malah, Lan juga bersengkang mata untuk 30 hari yang pertama untuk belajar apa jua perkara baru tentang Xandra. Bancuh susu, tukar lampin sehingga bila Xandra selsema, Lan belajar untuk sedut hingusnya,” ungkap Sheila lagi.
Lelaki lindungan kaabah
Ditanya mengenai kes kecurangan yang berlaku dalam rumah tangga selebriti sehingga membawa kepada penceraian, jelas Sheila sebagai isteri dia hanya mampu menjaga diri sendiri untuk pandangan suami.
“Selagi namanya lelaki, selagi tu la nafsu dia ada kat mana-mana. Jadi kes sondol menyondol ini bergantung kepada si suami itu sendiri. Setia atau tidak, nampak macam lelaki lindungan kaabah. Tapi apabila orang perempuan melintas pun, menjeling jugak! Fitrah lelaki kan,” ulas Sheila lagi.
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk, "Suami baru turun kereta bantu mangsa kemalangan. " Hasrat seorang penghantar makanan untuk membantu mangsa kemalangan di Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi bertukar menjadi tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah kereta mewah jenis BMW, awal pagi Ahad.