Siapa yang tak nak bahagia. Bagi yang mendirikan rumahtangga sudah tentu inginkan kehidupan bersama pasangan sehingga akhir hayat.
Jadi pelbagai cara untuk bahagia. Bukan sahaja setia, bertanggungjawab dan saling melengkapi tetapi saling berkomunikasi.
Bayangkan jika jarang bersembang dengan pasangan, tentu nampak ada jurang. Nak kongsi rahsia pun dengan pasangan rasa tak selesa.
Sebagaimana perkongsian doktor ini, Ahmad Samhan dalam coretannya, berpesan bahawa suami isteri harus duduk bersantai untuk bersembang agar rumahtangga kekal harmoni.
Ikuti perkongsiannya.
Dalam kesibukan menguruskan keluarga dan anak-anak, kadang kita terlupa untuk menjadi suami isteri. Lupa untuk bersembang. Lupa untuk ada masa berdua. Hanya berdua. Lupa untuk mengimbau kenangan manis bersama.
Setiap hari kita melalui rutin yang sama. Pergi dan balik kerja kemudian luangkan masa bersama anak-anak. Esok ulang perkara yang sama. Kita tiada masa untuk bersembang dari hati ke hati. Antara kita dan dia yang dicintai. Apa lah agaknya yang kita harapkan dari pasangan? Bagaimana kita boleh bantu? Adakah dia selesa dengan kita? Apa lagi yang perlu dibaiki dalam hubungan ni? Bahtera perkahwinan yang dibina pasti dilambung ombak. Jika tidak kukuh dan bersedia dengan rempuhan pasti karam sebelum tiba di destinasi. Hala tuju sesebuah perkahwinan itu perlu jelas. Suami perlu jelas. Isteri pun perlu jelas. Jika salah seorang tidak maka sangat sukar untuk kita mencapai matlamat.
Suami adalah ketua nakhoda. Kalian adalah pemimpin. Tanpa sokongan dari seorang isteri mustahil untuk kalian pandu bahtera ini.
CARA MASA UNTUK BERSEMBANG
Cari masa berdua dan berbicaralah dengan si jantung hati. Pegang tangannya dan pandanglah kedalam matanya,
“Apa lagi yang abang perlu baiki sebagai suami dan ayah?”
“Adakah sayang faham kenapa abang begitu dan begini?”
“Abang banyak kekurangan tapi kenapa sayang tak pernah tegur?”
“Apa kita sama-sama mahukan dalam perkahwinan ini?”
“Apa lagi ibadah kita yang perlu kita baiki untuk lebih dekat pada Allah?”
“Apa harapan kita pada anak-anak?”
“Kalau abang pergi dulu, ini perancangan abang untuk sayang dan anak-anak.”
PENTINGNYA KEJUJURAN DALAM RUMAHTANGGA
Semuanya perlu dibincangkan dengan teliti. Bila semua jelas, masing-masing akan faham peranan sendiri. Cinta lebih erat dan sayang pula makin menggebu.
Manis bila sekali sekala kita boleh membuka ruang bicara dan dapat mengungkapkan keinginan hati juga perasaan tanpa ada ketakutan.
Masing-masing bebas menyampaikan kisah diri, keinginan curahan hati, harapan dan nasihat kepada pasangan tanpa ada rasa takut atau khuatir.
Kadang kita takut nak menyampaikan hakikat atau keinginan kerana takut respon dia akan mengecewakan.
Mungkin akan dianggap remeh, berlebihan atau melukakan lalu akhirnya mengecewakan.
Memilih untuk diam menyebabkan kita dan pasangan tak dapat berkomunikasi. Bila semua didiam dan dibiarkan akhirnya nanti pada satu waktu akan meledak menjadi tegangnya rumahtangga.
Kejujuran dan ketelusan dalam hubungan itu penting supaya tiada prasangka. Masing-masing letakkan kepercayaan namun jangan sesekali hancurkan.
Jangan malas untuk berbicara kerana InsyaAllah ianya akan membuahkan sebuah hasil yang sesuai dengan harapan.
Tolong kongsikan pada pasangan masing-masing betapa pentingnya cari masa berdua untuk berbicara dari hati ke hati. Hanya kau dan dia. Berdua.
Berbicaralah!
Kredit: Dr.Ahmad Samhan