Jahit baju pengantin perempuan miliki berat lebih 200 kilogram, mempelai menangis sebab sanggup terima tempahan. Bagi perancang perkahwinan Haffsyah Jamalong, bukan semua individu memiliki susuk badan normal. Kalau semua orang tidak mahu membuat majlisnya siapa lagi yang akan buat.
Haffsyah berkata, dia pernah mengurus kira-kira 3,000 majlis perkahwinan sebelum ini, namun bersyukur kerana menimba pengalaman yang cukup berharga apabila berpeluang untuk mengurus majlis perkahwinan pengantin perempuan yang memiliki berat lebih 200 kilogram.
Pemilik butik andaman Flora Bridal House di Bandar Baru Uda itu yang mesra dengan panggilan Kak Ila berkata, dia antara 50 perancang perkahwinan yang menyertai pameran pengantin di Plaza Angsana pada September tahun lalu terserempak dengan seorang wanita yang memiliki tubuh besar di tepi gerai pameran.
Menurutnya, apabila disapa, wanita itu menyatakan dia masih gagal menempah perkhidmatan perancang perkahwinan walaupun sudah berkunjung ke pameran itu berulang-kali dan berasa agak rendah diri dengan keadaan fizikalnya itu.
Katanya, walaupun menyedari keperluan wanita itu adalah berbeza berbanding pengantin yang memiliki susuk badan normal, dia sanggup memikul cabaran berkenaan kerana tidak sanggup menghampakan impian bakal pengantin itu.
“Pengantin berkenaan adalah Nur Aqilah Erman dan Muhammad Afiq Jusoh. Selepas menerima tempahan, cabaran utama saya adalah dalam soal menyediakan pakaian kerana dia sudah mencuba lebih 300 pakaian di butik saya, namun kesemuanya tidak sesuai dan kecil hingga dia mula gelisah.
“Oleh itu, selepas berbincang dengan keluarga dan pasangannya, kami mengambil keputusan untuk reka busana tradisional baharu baginya iaitu baju kurung songket Johor dan baju Melayu bagi pasangannya serta corak kedua-dua pakaian itu bercirikan Jawa.
“Selalunya kami menggunakan enam meter kain bagi pengantin wanita, namun kali ini mencecah 13 meter dan kami mendapati dia lebih sesuai memakai baju kurung berbanding gaun mahupun baju kebaya,” katanya yang berusia 43 tahun.
Haffsyah berkata, dia juga menanggung kos bagi menjahit baju yang mencecah RM2,000 dengan syarat ia dipulangkan semula ke butik andamannya.
Menurutnya, dia yakin ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pengantin perempuan itu yang kehilangan ibu dalam tempoh beberapa bulan sebelum perkahwinan.
Katanya, dia juga bersyukur kerana mendapat kepercayaan pasangan pengantin bagi menawarkan khidmat katering bagi 500 jemputan.
“Saya juga mengurus solekannya di majlis pernikahan, namun baju kurung rona putih dipakainya dihadiahkan oleh kakak Nur Aqilah.
“Majlis persandingan di Dewan Raya di Jalan Undan, Taman Perling pada hari sama iaitu 18 Mei lalu, pengantin perempuan memakai busana kami sediakan serta solekan.
“Menyedari fizikalnya, kami juga menasihatinya supaya tidak meletakkan platform di kerusi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengaibkan pengantin,” katanya yang turut menaja kad perkahwinan, kek, lukisan inai dan gubahan hantaran percuma untuk hari bersejarah pengantin itu.
“Saya selesa dengan sikap kedua-dua mempelai yang tidak banyak kerenah.
“Mempelai juga menangis gembira kerana tidak sangka ada perancang perkahwinan sanggup menawarkan perkhidmatan,” katanya.
Paparan kisah berkaitan pengalaman perancang perkahwinan mengurus majlis pasangan itu menerusi Facebook semalam menerima lebih 17,000 reaksi daripada netizen.
Sumber: Harian Metro Online dan Flora Bridal House
Baca lagi artikel lain: Kasih Seorang Ayah! Ramai Sebak Tengok Ayah Pengantin Sanggup Dukung Anak Redah Banjir Untuk Bernikah
Belum Sempat Goreng Ikan, Tong Gas Meletup! Bakal Pengantin Melecur Hampir Seluruh Badan
Ibu Di Usia 64 Tahun Kembali Jadi Pengantin Baharu, Usahawan Terkenal Luah Syukur
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my