Jaga-jaga Scammer, Percutian Keluarga Terbantut Gara-gara Homestay Tidak Wujud!

Share

Dalam keterujaan kita ingin bercuti ke tempat-tempat peranginan, tentunya selain pilihan lokasi yang menjadi keutamaan pelbagai persiapan lain turut dilakukan bagi memastikan percutian berjalan lancar.

Seperti kebiasaannya kita pasti akan mencari hotel, resort, inap desa atau homestay yang selesa untuk kita sekeluarga dapat bermalam di lokasi percutian tersebut. Jika tiada tempahan awal dibuat, bimbang juga penginapan tersebut penuh dan ini tentunya boleh membantutkan sesi percutian yang dirancang.

Pun begitu, siapa sangka meskipun tempahan awal telah dibuat namun sampai masa dan ketikanya untuk checkin, penginapan yang ditempah tiada, hal ini pastinya menimbulkan tanda tanya dan misteri!

Ini sebagai mana yang dilaporkan di Sinar Harian apabila hasrat beberapa pelancong mahu menghabiskan percutian di Terengganu terbantut selepas mendapati lokasi rumah inap di sebuah kampung di daerah ini tidak wujud.

Seorang pelancong yang berjaya dihubungi, Masnawi Md Yusoff, 50 berkata, mereka sekeluarga mengalami perkara sama ketika ingin menyambung cuti di Terengganu setelah melawat beberapa lokasi di Kelantan.

“Saya menempah rumah inap ini secara dalam talian pada pagi Jumaat dan telah membayar sejumlah RM245 untuk menginap selama dua hari, dua malam iaitu pada 5 hingga 7 Jun.

“Saya tiba di situ pada Ahad lalu. Sebaik tiba di lokasi berkenaan, saya gagal menemui rumah inap yang telah ditempah. Saya cuba menghubungi ‘pemilik’ rumah berkenaan beberapa kali namun talian tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Masnawi yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan berkata, dia turut menemui beberapa individu yang tinggal berdekatan lokasi itu namun diberitahu rumah inap berkenaan tidak wujud di situ.

“Saya ada bercakap dengan penduduk yang tinggal di kawasan itu, mereka memberitahu homestay tersebut memang tiada.

“Lebih memeranjatkan, saya turut diberitahu, bukan sahaja saya yang menjadi mangsa malah sudah berbelas orang mangsa yang dipercayai tertipu dengan homestay yang tidak wujud itu,” ujarnya.

Kesal dengan kejadian itu, Masnawi bersama isteri dan dua anak mengambil keputusan untuk pulang ke Port Dickson setelah gagal mendapat lokasi untuk menginap.

“Saya cuba juga cari lokasi lain untuk menginap pada malam itu malangnya semua hotel dan homestay sudah penuh mungkin disebabkan musim cuti sekolah.

“Malam itu juga saya bertolak pulang dan tiba di Port Dickson pagi Isnin,” katanya.

Menurut Masnawi, selepas membuat bayaran penuh untuk penginapan, dia turut menerima emel susulan yang meminta tambahan bayaran sebanyak RM100 sebagai deposit untuk menginap di rumah itu.

“Saya abaikan sahaja emel itu dan tidak membuat bayaran tambahan sebab saya sudah jelaskan bayaran penuh.

“Kami sekeluarga rasa kesal dan telah melaporkan perkara yang berlaku kepada platform tempahan hotel dan penginapan yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Sufi Soulhi Mohd Sufian, 18, berkata, perkara itu disedari berlaku sejak awal cuti persekolahan yang bermula pada Jumaat minggu lalu.

Terbaharu, katanya, dia terserempak dengan sebuah keluarga yang turut mencari rumah inap yang sama pada malam Isnin.

“Saya keluar rumah sekitar jam 7.45 malam untuk menghantar barang dan terserempak dengan sebuah keluarga dari Kedah yang turut mencari homestay berkenaan.

“Saya sudah maklum kepada mereka bahawa tiada homestay yang seumpama itu beroperasi di kawasan ini. Sebelum ini pun sudah ramai orang mencari homestay yang sama,” katanya.

Muhammad Sufi Soulhi turut memuat naik status di laman sosial Facebook pada Isnin dengan harapan agar pelancong dari luar Terengganu yang ingin menempah rumah inap lebih berwaspada supaya tidak tertipu.

Sumber : Sinar Harian

Webinar Aku Tak Serik Bersalin merupakan webinar kehamilan dianjurkan untuk para ibu hamil yang menanti kelahiran cahaya mata. Membariskan ramai speaker-speaker hebat yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Antaranya Dr Maiza Tusimin, Dr Siti Sarah Aishah, Dr Tengku Puteri Zainab, Ustazah Fatimah Syarha, Encik Fhais Salim dan selebriti Ezzaty Abdullah. Jom daftar secara percuma di SINI!

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club