“Jaga Anak Bukan Seperti Jaga Anak Patung Atau Kucing” Hannah Delisha & Suami Belum Sedia Miliki Zuriat

Share

Meskipun mencecah 3 tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon genit Hannah Delisha, 27, mengaku bahawa dia dan suami belum bersedia untuk menimang cahaya mata.

Memetik laporan Kosmo!, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, menjelaskan untuk bergelar seorang ibu adalah satu tanggungjawab besar dan mahu lebih bersedia untuk memiliki zuriat pertama.

“Saya dan suami telah pun berbincang tentang perkara ini (memiliki zuriat). Untuk memiliki anak memerlukan tanggungjawab yang sangat besar. Jaga anak bukan seperti menjaga anak patung atau bela kucing.

“Menjaga kucing pun memerlukan tanggungjawab, apa lagi anak.

“Kami mahu pastikan sudah betul-betul bersedia. Sebab saya tahu apabila ada anak nanti, kami kena betul-betul tumpukan perhatian dan masa untuk anak sebaik mungkin.

“Apabila saya sudah tidak terlalu sibuk nanti, insya-Allah baru saya akan merancang untuk memiliki zuriat. Tapi apa-apa pun semuanya berbalik juga kepada keizinan Allah SWT,” jelasnya.

Tambah pelakon 28 Hari Mencari Cinta itu, dia dan suami tetap merancang untuk memiliki cahaya mata namun bukanlah pada waktu terdekat.

“Sejujurnya memang saya merancang untuk memiliki cahaya mata. Saya bukan kahwin, terus untuk dapatkan zuriat secepat mungkin.

“Saya rasa kagum melihat ibu yang bekerjaya, namun pada masa sama dapat menjaga dan memberikan tumpuan pada anak. Perkara itu bukan mudah.

“Saya melihat bagaimana ibu saya membesarkan saya dengan kepayahan sebagai seorang ibu tunggal. Memang sangat susah sebab pada masa saya dia perlu bekerja,” ujar Hannah.

Dalam pada itu, Hannah memberitahu kedua-kedua keluarganya sangat memahami perkara tersebut. Malah berkongsi mahu dikurniakan empat cahaya mata.

“Alhamdulillah kedua-dua belah pihak memahami dan tidak meletakkan tekanan pada saya dan suami untuk segera memiliki anak.

“Kalau mereka bertanya sekali pun, saya hanya cakap doakanlah yang terbaik untuk kami.

“Namun jika diberikan rezeki lebih, empat orang cahaya mata pun dah ‘cantik’,” kongsinya.

Untuk rekod, Hannah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Imam Shah yang juga asal Singapura pada 2021 secara rahsia.

Sumber: Kosmo!