Wajah penuh keibuan ini nyata sangat mesra dengan siapa sahaja biar pertama kali bersua muka.
Penulis menelusuri isi hati insan bernama Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali mengenai kehidupannya yang pernah bergelar Wanita Pertama ke-4 apabila suami kesayangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri.
Dan kini sekali lagi, beliau menyandang gelaran tersebut bila mana suami kesayangannya sekali lagi dilantik sebagai orang nombor satu negara sekali gus bergelar PM ke-7.
penulis berpeluang mengabadikan kenangan bersama Idola dan Ikon Wanita, Tun Dr Siti Hasmah
Jujur mengakui tidak pernah menyiapkan diri sebagai isteri perdana menteri, sebaliknya jawatan doktor yang disandangnya banyak membantunya.
“Cabaran sentiasa ada tetapi tidak banyak sebab saya sudah biasa berkecimpung dengan masyarakat. Meskipun mereka masyarakat yang berpenyakit tetapi saya mudah mesra dengan mereka dan sebagai isteri pemimpin itu yang penting sekali.
“Bermesra dan bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung dapat menjaga watak atau karakter kita supaya bukan sahaja bagi gambaran yang baik tetapi secara tidak langsung menjaga nama baik suami. Jika kita buat sesuatu nanti orang akan menyebut itulah isteri kepada orang itu ini. Gambaran sebegini sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat.
Risiko tidak diterima oleh masyarakat memang buruk terutama bagi isteri kepada pemimpin. Alhamdulillah sepanjang suami saya menjadi pemimpin, yang buruk itu tiada, apatah lagi yang boleh menjejaskan suami. Baik ketika suami bergelar menteri sehinggalah menjadi orang nombor satu Negara.
“Bukan kerana saya sudah siapkan diri untuk itu tetapi jawatan doktor yang saya sandang itu banyak membantu. Masyarakat sangat hormat pada doktor kerana kita membuat kebaikan. Keduanya, bagaimana kita berusaha dengan masyarakat dengan berhubung rapat dengan mereka. Kalau kita tidak tegur, sombong dan wajah itu akan menunjukkan penampilan kita. Justeru, sebagai doktor sudah bersiap sedia bagaimana mahu kerjasama dengan masyarakat.
“Tidak kira suami menjadi pemimpin atau tidak, tetapi status isteri yang disandang itu, kita kena bersiap sedia dalam segala hal,”ulas Tun Hasmah sambil memberitahu tanggungjawab isteri pemimpin kena sentiasa berada di belakang suami dan memberi sokongan sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan kerana itulah tugas utama seorang isteri.
Sentiasa di belakang suami
Ads
Jujur mengakui bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin, namun berkat sokongan suami dan keluarga, beliau berjaya mengharunginya.
“Bergelar isteri pemimpin dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai doktor, bukan perkara yang mudah. Apatah lagi, saya perlu berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimana cara kita yakinkan untuk membantu mengubati penyakit mereka itu yang penting. Alhamdulillah, saya melalui perjalanan sebagai doktor dan isteri pemimpin negara dengan baik.
“Sebagai ibu pula, lebih-lebih lagi apabila kita sebagai pegawai kerajaan. Kena bijak atur masa sebagai isteri, ibu dan tidak lupa wanita berkerjaya. Soal masa tidak timbul kerana tidak ada banyak masalah. Waktu dulu nak cari pengasuh mudah. Dulu ada ipar duai di rumah yang boleh diharap untuk bantu jaga anak-anak. Begitu juga dengan pembantu rumah yang tua dan berumur yang memang boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Memang mudah dan tidak perlu peningkan kepala seperti sekarang.
“Kami dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Mazhar dan Maizura. Yang sulung, Marina ada pemikiran sendiri dan sedikit mengikut jejak langkah ayahnya. Berdikari dan tegas dalam pendirian. Yang kedua, Mirzan lebih minat pada kewangan dan pandai uruskan bidang tersebut. Yang ketiga, Melinda pula sepenuh masa suri rumah yang menjaga anak-anak sepenuh masa. Dia sangat low profile.
“Yang keempat, Mokhzani pula bijak dalam pengurusan dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas. Dia ada karakter seorang pengurus yang cekap baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Mukhriz pula lebih menjurus kepada saya. Tetapi bab tanggungjawab dia banyak ikut jejak langkah ayahnya. Dia lembut tetapi tegas. Yang keenam Mazhar dan yang ketujuh, Maizura masih bujang dan ada cita-cita sendiri.
“Cuma, sekarang ini memandangkan yang lain ada yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tinggal yang bongsu lebih rapat memandangkan dia masih bujang dan kebetulan tinggal bersama kami. Sebagai ibu saya sentiasa galakkan anak-anak dan demikian juga untuk yang bongsu ini. Saya bantu dan galakkan supaya dia tidak rasa ketinggalan dalam keluarga.
Ads
Saya ada tiga anak lelaki dan masing-masing ada karenah tersendiri. Kalau ikutkan anak yang paling nakal Mokhzani waktu kecil dahulu. Tetapi dia yang paling prihatin dalam banyak hal dan sangat melayan andai ada tetamu datang ke rumah. Mirzan pula pernah sekali dapat surat daripada ayahnya kerana malas belajar, selepas itu barulah dia berubah.
“Waktu kecil juga, jika ada yang membuat salah dan ayahnya mahu jatuhkan hukuman, semua anak-anak akan dipanggil supaya mereka dengar apa kesalahan dan denda yang dikenakan,” jelas Tun sambil memberitahu, dia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap anak-anak sebaliknya bersedia bila-bila masa untuk mereka datang bercerita masalah atau sebagainya.
Kena banyak sabar
Status dan pangkat yang disandang bagaimana pun bukanlah tiket untuk anak-anaknya bermewah dan hidup seperti di dalam sangkar emas. Sebaliknya, Tun menegaskan kepada anak-anak supaya kena usaha sendiri jika mahukan sesuatu.
“Apa jua kemudahan tidak akan datang bergolek jika tidak berusaha. Ini nilai-nilai mulia yang harus diajar pada anak-anak. Yang utama, hormat kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memberikan sesuatu kepada kita. Jadi kita kena balas dengan ucapan terima kasih. Kedua, kerja keras manakala yang ketiga amanah dan keempat jangan boros dan kena tahu uruskan wang ringgit dengan bijak.
“Selain itu kena juga praktik kan dalam diri anak-anak amal bakti dan kebajikan supaya dalam diri terbit rasa kesedaran dan keinsafan selain bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan lagi satu kena banyak bersabar.
Ads
“Saya berkahwin lambat. Waktu itu, umur 29 tahun tu kira lambat tetapi Alhamdulillah kami dikurniakan anak dan dapat membesarkan mereka dengan baik. Lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran. Saya dan suami sudah sepakat, apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kami akan hadir di konvokesyen mereka dan itu kami praktik kan pada semua anak-anak.
“Zaman dulu tidak sama seperti sekarang. Dulu waktu anak-anak tengah periksa, saya tidak terbang kerana ingin berada bersama mereka supaya mereka tidak risau. Seperti menantu-menantu lakukan kini bagi anak-anak mereka.
“Kalau nak dibandingkan ibu dahulu dengan kini jauh bezanya. Saya faham situasi ibu sekarang kerana era sudah bertukar, kalau zaman saya dulu tiada internet, sosial media dan sebagainya. Anak-anak dulu tekun dengan apa yang ibu cakap. Malah minat mereka juga simple tetapi sekarang sudah bertukar ditambah pula kini zaman informasi. Tidak perlu penat mencari, segalanya boleh diperoleh hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa sekarang profesional dan masa untuk anak-anak terbatas
“Tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kita. Walaupun sibuk wajib ambil berat pada anak-anak. Tiada alasan sibuk dengan kerja jika sayangkan masa depan anak-anak. Sungguhpun sekarang zaman informasi, elakkan membiarkan anak-anak terperuk atau terkurung dalam bilik dan melayani komputer.
“Kalau nak tengok televisyen kena di ruang tamu atau bilik keluarga. Ini bagi mengelakkan anak-anak bersendirian di dalam bilik tanpa bergaul dengan ahli keluarga yang lain,” cerita Tun lagi sambil mengakui momen paling indah dalam hidupnya adalah sewaktu melahirkan anak-anak dengan selamat dan membesar dengan baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi.
Suka muzik
Seperti mana wanita biasa lain, beliau juga mempunyai minat tersendiri terutama dalam bidang muzik selain suka membaca, menulis dan menonton.
“Kalau dulu saya suka bermain piano dan sebagainya. Saya suka muzik dan kebetulan dalam keluarga ada yang berdarah muzik. Sebab itu saya jatuh cinta dengan bidang ini. Kadangkala waktu reunion keluarga, kami akan berkumpul dan waktu masing-masing akan tunjukkan kebolehan masing-masing. Tetapi sekarang mata saya sudah tidak nampak jadi kuranglah nak main piano dah tak nampak ‘taugeh’ di kertas,” seloroh Tun lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Dua hari ini kita dapat lihat di sosial media kawasan Pantai Timur telah dinaiki air di beberapa kawasan dan arus agak deras memasuki kawasan kediaman sesetengah penduduk.
Bila berlakunya banjir ini, sekali lagi sukarelawan, Abang Viva menjadi bualan ramai yang biasanya kelibat jejaka ini dilihat sewaktu banjir-banjir besar melanda Malaysia. Sehinggakan, ada yang memberi tohmahan sehingga menuduhnya sudah tidak kelihatan di kawasan banjir sejak terkenal.
Namun, persoalan ini sudah terjawab apabila Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar sendiri telah mengadakan siaran langsung di media sosial miliknya dan sempat seseorang individu menangkap layar dari siaran langsung tersebut.
Menurut pemuda berusia 30 tahun itu, dia cumalah seorang sukarelawan dan bukanlah berkhidmat dalam mana-mana jabatan. Dia turut mendedahkan bahawa modal untuk ke sesuatu kawasan itu mencecah ribuan ringgit dan dia menanggungnya secara peribadi.
“Banjir je saya sampai, banjir je saya sampai. Tapi masalahnya, modal kitaorang pakai sendiri. Hari itu pergi Terengganu, Kelantan semua pun saya seorang habiskan RM1000 tau untuk minyak dan tol je. Korang rasa? Kalau saya ni ada elaun tak apa, masalahnya kena fikir juga. Saya dah kahwin ada anak bini nak kena bagi makan.” katanya.
Perkongsian yang dibuat akaun @chaiyoe9 itu telah mendapat perhatian ramai dan banyak komen dari netizen yang memahami apa yang ditanggung oleh Abang Viva.
Namun jika dilihat di Facebook pemuda kelahiran Melaka itu, jelas dilihat gerak kerjanya bersama pertubuhan yang dibangunkan apabila berada di Terengganu menjalankan misi banjir ketika ini namun tidak begitu menguar-uarkan kepada orang ramai.
Malah dalam perkongsiannya itu, dia juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan dan turut memohon maaf andai ada lokasi banjir yang tidak dapat dibantu kerana kekangan waktu serta perjalanan memadangkan beberapa jalan sudah ditutup.
Cukup sempoi dan happy go lucky, itulah antara persamaan yang ada pada penyanyi Ezad Lazim dan isterinya, Zeana Ramli.
Mereka juga senada dan seiring baik dalam hal kerjaya mahupun rumah tangga. Pasangan sama sepadan kini cukup bahagia ditambah dengan kehadiran sepasang anak comel sebagai penyeri rumah tangga.
Cukup berterima kasih dan bersyukur dikurniakan isteri yang memahami, akui pemilik nama sebenar, Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, dia beruntung kerana isterinya juga bertanggungjawab sebagai pengurus peribadi.
Pengorbanan isteri tidak terbalas
“Dialah isteri dan dia juga pengurus saya. dia bijak urus masa dan kerjaya begitu juga saya. saya beruntung kerana adanya dia. Memang ada kala saya kasihan melihat dia kepenatan urus saya dan rumah tangga, tetapi dia tidak mengeluh.
“Sebagai suami saya bantu mana yang patut. Yang pastinya dia banyak buat tetapi saya cuba bantu mana yang boleh. Pengorbannya tidak terbalas. Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga juga sentiasa ada dan tak putus sehingga kini.
“Ini semua berkat doa dan usaha isteri yang banyak membantu. Pada saya, populariti bukan perkara utama buat saya sekarang. Yang penting diberikan kesihatan yang baik dan dapat menampung kehidupan sekeluarga serta menghasilkan karya buat peminat seni.
“Untuk semua bakal dan mereka yang bergelar suami, segala kesilapan boleh diperbaiki dan dijadikan pengajaran. Mudah-mudahan kita jadi lebih matang dan lebih baik daripada sebelum ini. Sebab tu sebagai suami termasuklah diri saya sendiri, kena hargai orang tersayang disekeliling terutama isteri dan anak-anak.
Urus masa secara bijak
Jelas bapa kepada Puteri Rania Keisha dan Putera Muhammad Darwish, tak ada masalah untuk membahagikan masa dengan anak-anak kerana dia dan isteri sama-sama menguruskan mereka sendiri.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana urusan kami sekeluarga sentiasa dipermudahkan. nak kata tak ada masa tetapi sebenarnya sentiasa ada kerana kita sendiri yang kena urus secara bijak.
“Isteri seorang yang tahu bagaimana untuk bahagi masa antara kerjaya saya, sebagai ibu dan isteri serta dan masa yang sama bisnesnya. Tetapi kami selalu doa dan harap Allah permudahkan segalanya,” ulasnya lagi dengan panjang lebar.
Cabaran ibu bapa generasi sekarang
Isu gajet dan media sosial seperti tiktok dan sebagainya memang satu cabaran untuk ibu bapa generasi sekarang. Bagi Ezad, perkara tersebut turut dialami olehnya dan isteri.
“Zaman sekarang tak sama dengan kita dahulu, begitu juga cara pemikiran dan pengurusan anak-anak sekarang pun tak sama. Jadi cukup mencabar dalam mendidik anak-anak, tetapi kami berdua memang had kan.
“Nak kata tak bagi pun tak boleh juga sebab kami sebagai ibu bapa pun menggunakan medium tersebut terutama untuk tujuan bisnes dan kerjaya.
“Tetapi kami akan terangkan dengan baik kepada anak-anak supaya mereka faham kenapa saya dan ibunya menghadkan penggunaan medium tersebut.
Isteri garang suami simple
Tambah pelantun lagu Demi Cinta ini lagi, isterinya banyak ajar anak-anak berdikari manakala dia pula berbeza kerana sejak dahulu jenis yang simple.
“Soal garang memang Zeana lagi garang, tegas dengan anak-anak. Mereka banyak meminta dengan saya kerana ikut apa jua kemahuan anak-anak. Walaupun penat saya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah, pada saya bahagiakan anak-anak dan isteri adalah terapi dalam rumahtangga.
“Lagipun ini pengalaman sebagai ibu bapa sementelah kami berdua berkahwin dalam usia agak lewat dan membesarkan anak-anak sendiri jadi itu tidak menjadi masalah. Anak-anak jua punca rezeki dan penguat kasih sayang antara kami suami isteri.
Ayah kurang peka berbanding ibu
Mengulas mengenai sambutan Hari Bapa yang tidak ‘semeriah’ Hari ibu, akui Ezad lagi, semuanya bergantung cara sesebuah keluarga itu meraikannya.
“Soal sambutan hari bapa ni bukan nak kata tak meriah tetapi sebab orang lelaki khususnya kaum ayah ni yang memainkan peranan. Benda-benda begini mereka kurang peka berbanding kaum ibu. Malah ada yang tak ingat hari-hari istimewa baik hari lahi mahupun ulangtahun.
“Biasanya kaum Wanita yang selalu ingat tarikh istimewa, bukan nak kata kaum ibu jenis beria tetapi bab begini mereka memang alert dan partikular bab-bab begini. Tetapi tak bermakna ayah tak nak tunjukkan kasih sayang lebih cuma mungkin mereka jenis pelupa,” kongsi Ezad lagi.
Anak lebih rapat & selesa dengan ayah
Akui suami kesayangan Zeana ini lagi, tanggungjawab ayah dan suami sangat besar terutama dalam hal mencari rezeki. Tetapi tak bermakna anak-anak tak rapat dengannya.
“Cuma ibu lebih rapat kerana daripada awal lagi sentuhan pertama anak-anak adalah daripada ibu baik mengandung hingga melahirkan.
“Dalam hal saya sendiri misalnya, anak-anak lebih rapat dan selesa dengan saya. Tak marah-mara, itulah cara saya dengan anak-anak. Kalau ikutkan saya bukan jenis membeli barangan tetapi daraipada segi percakapan dan pergaulan saya layan mereka seperti kawan-kawan.
“Adakala isteri bengang atau marah kononnya saya tak ambil berat dengan anak, padahal saya lebih suka pendekatan ‘cool’. Bila anak-anak selesa jadi mereka lebih telus dan mudah nak berkongsi atau mengadu jika ada masalah. Tetapi kena ada juga peranan ibu cuma cara dipraktikkan ibu dan ayah berbeza. Tetapi yang penting tujuannya sama iaitu mahukan anak-anak membanggakan kami kelak,” ungkap Ezad sebelum menutup perbualan bersama penulis.
Usah biarkan anak menjadi raja dan ibu menjadi kuli kepadanya. Didik dan tanamkan rasa tanggung jawab di hati mereka insyaAllah kelak pasti akan menjadi anak yang berguna.
Ibu bernama Nurul Ilyani berkongsi tip dalam mendidik anak-anak. Semoga ilmu yang diberikan ini bermanfaat untuk kita semua.
5 tip didik anak ada common sense di rumah dengan cara mak ‘malas’
Hakikatnya mak ‘malas’ bukan malas. Mak ‘malas’ nak bagitahu semua orang ada tanggungjawab. Mak ‘malas’ bukan kuli. Tak ada raja, tak ada permaisuri, tak ada kuli. Ini keluarga kita, tanggungjawab kita. Yang ada pembantu rumah lagi kena hati-hati. Anak kita ada tendency meraja?.
Justeru wahai ibu-ibu:
#1 Sebelum tidur, mak ‘malas’ tak sediakan barang sekolah anak dia. Dia galak anak dia yang kemas sendiri. Cari sendiri baju, seluar, seluar kecil.
#2 Anak makan. Mak ‘malas’ tak kemas meja makan. Mak ‘malas’ kata, “lepas makan kemas meja, basuh pinggan, itu tanggungjawab”. Budak kecil umur 3 tahun sudah kena selesai sendiri. Mak ‘malas’ cuma touch up kasi elok saja.
#3 Anak main Mak ‘malas’ tak penat-penat kemas semua. Dia panggil semua datang kemas. Semua kena stop main. Kena kemas. Kadang-kadang mak ‘malas’ memetir juga. Memetir dengan ayat berpengaruhlah, bukan berleter.
#4 Anak mandi. Baju sepah depan tandas, dalam tandas. Mak ‘malas’ tak kutip. Mak ‘malas’ kata, “baju kotor masuk bakul”. Yang kecil umur 3 tahun pun kena buat. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
#5 Spring cleaning rumah. Mak ‘malas’ tak buat sendiri-sendiri. Mak ‘malas’ kata, “Anak-anak hari ini spring cleaning, Kakak sapu sampah, mop, abang dengan adik cuci toilet, abi buang sampah, kemas dapur”. Nasiblah dapat mak ‘malas’.
Tragedi pusingan U, bayi perempuan 2 bulan meninggal dunia. Seorang bayi perempuan berusia dua bulan dilaporkan meninggal dunia selepas kenderaan yang dinaikinya bersama kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ), berhampiran Batu Gajah, pada petang Selasa.