Siapa sahaja di Malaysia tidak mengenali pengacara dan usahawan popular, Neelofa yang banyak menjadi inspirasi buat semua peminat serta pengikut laman sosialnya.
Baru-baru ini menerusi sesi perkongsian IG Live bersama ibunya, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, mendedahkan cerita restu ibu, Datin Noor Kartini Mohamed paling penting dalam kehidupannya malah dia sangat mengagumi ibunya yang dijadikan sebagai inspirasi untuknya berjaya dunia akhirat.
Menceritakan pengalamannya, Neelofa berkata dia pernah menghadiahkan ibunya sebuah sejadah berharga RM2,500 ketika pertama kali mengerjakan ibadah umrah pada tahun 2012.
“Masa itu umur saya 23 tahun, pada tahun 2012. Saya pergi umrah untuk kali pertama. Masa itu berlakon drama tak banyak lagi. Sejadah itu berharga RM2,500 dan sangat berat. Gigih nak bawa balik untuk mama, saya hand carry. Lagi berharga sebab masa itu saya tak ada duit, RM2,500 rasa mahal sangat.
“Tapi saya fikir kalau bagi pada mama, nanti pahala mama sembahyang, dapat pada saya (seloroh Neelofa). Sampai ke hari ini, mama masih guna..masih ada dalam bilik tidur” katanya.
Berkongsikan lagi mengenai peribadi ibunya yang juga merupakan seorang usahawan, Neelofa berkata sepanjang dirinya membesar, ibunya langsung tidak pernah memukul anak-anak dalam mendidik mereka.
“Selama ini, Neelofa tak pernah nampak mama pukul mana-mana anak. Saya pun tak pernah dipukul oleh mama walau macam mana situasi pun.
“Mama sangat menitikberatkan pelajaran. Bagi tuisyen, bagi perhatian, suruh buat homework dan tanya perkembangan sekolah,” kata Neelofa lagi.
Sumber : Instagram Neelofa