Mungkin ada yang terlepas pandang tentang rutin harian yang dilalui oleh seorang wanita bergelar ibu dan isteri sepanjang Ramadan ini.
Nyata, jika ingin disenaraikan begitu padat jadualnya. Bukan calang-calang orang dapat melunaskan tanggungjawan ini, bukan sehari dua tetapi 30 hari berpuasa begitulah rutinnya.
Ini sebagaimana yang cuba dijelaskan oleh Mohd Fadli Salleh di dalam perkongsiannya, dan mengharapkan agar lebih ramai kaum lelaki tahu menghargai isteri dengan membalas setiap kebaikan tersebut dengan cara menggembirakan hati isteri.
Ini lerkongsiannya.
Jam 1 pagi, para ibu bangkit siapkan bahan-bahan untuk masak sahur dinahari nanti. Ikan dan ayam dikeluarkan dari peti sejuk. Bahan-bahan lain turut disedia agar mudah untuk memasak nanti.
Setelah itu kembali masuk ke kamar tidur untuk meletak kepala. Tidurnya antara lena dan tidak bila anak merengek sepanjang malam.
Jam 4:00 pagi alarm telefonnya berbunyi. Dia bangkit masuk dapur, penuh sabar menyiapkan hidangan sahur pula. Setelah semuanya siap siaga, beliau mengejutkan ahli keluarga.
Usai makan, saat ahli keluarga lain ada yang menyambung tidur, ada yang melayan telefon menantikan azan Subuh, beliau masih didapur. Mengemas dan membasuh pinggan mangkuk dan periuk belanga.
Kemudian beliau bergegas solat Subuh dan mengaji pula. Letak kepala sekejap setelah itu sebelum bangun siapkan anak-anak, mandi dan pakaikan bedak.
Yang mana anak tidak puasa, beliau siapkan makan dan suap pula. Kemaskan dapur sebelum kembali ke ruang tamu menghadap pakaian berbakul-bakul untuk dilipat.
Jadual belajar anak-anak tidak dilupa. Yang perlu dibantu, dibantu segala. Yang perlu diajar, diajar semua.
Selepas itu menguruskan anak-anak lagi. Memandikan, tukar pakaian, teman anak bermain sekejap kemudian menidurkan anak yang mula meragam.
Jam 4 petang, beliau mula masuk dapur untuk siapkan juadah berbuka. Semasa Ramadan, juadah mesti meriah dengan air tangannya sendiri.
Di dapur memasak siakap stim limau, siakap tiga rasa, udang berkuah, sayur, ayam goreng dan apa lagi entah.
Sambil bersilat didapur, sambil itu juga perlu melayan anak-anak yang merengek mahu ibunya.
Dan sebaik azan Maghrib berkumandang menandakan tamatnya waktu menahan lapar dan dahaga, beliau ambil sebiji kurma lantas dimakannya. Diminum seteguk air, sebelum menghadap hidangan yang menyelerakan.
Baru hendak menyuap, anak paling kecil merengek lagi. Mengantuk dan tak selesa agarnya.
Dia tinggalkan hidangan nasi yang belum bersentuh itu, lantas memujuk anak,
“Baby tak selesa ya? Baby mengantuk ya? Jom ibu mandikan dan dodoikan.”
Dia berlalu mendukung anak masuk bilik untuk dimandikan, dipakaikan bedak dan disalin baju baru pula. Kemudian disusukan kecil dengan penuh kasih dan sayang sehingga anak kecil itu tertidur atas ribanya.
Setelah itu baru dia kembali ke dapur untuk menyambung makan yang tidak sempat diselesaikan.
Usai makan, tugasan di dapur belum selesai. Perlu kutip makanan anak kecil yang makan bersepah, perlu basuh semua periuk belanga, pinggan dan gelas.
Berkejar untuk solat Maghrib pula. Sementara menunggu Isyak, beliau mengaji Quran dan mengajar anak Iqra’.
Itulah dia wanita. Itulah dia isteri. Itulah dia ibu.
Majoriti seluruh wanita di dunia pun begini sikap mereka. Multi tasking, penuh jadual yang padat sejak awal pagi hingga ke tengah malam.
Pengorbanan ini tidak kecil. Ia sangat besar, cuma kadangkala ia tidak dihargai. Kadang-kadang ia tidak kita perhati.
Cuba kita lihat rutin puan isteri kita. Perhati dan halusi ketekunan, kesabaran dan pengorbanan mereka untuk kita dan keluarga.
Mereka sebenarnya penat dan jadual yang padat. Namun mereka tetap senyum dengan tabah dan kuat.
Itulah wanita. Itulah isteri. Itulah ibu.
Jika ada masa terluang, bantulah mereka. Sekecil-kecil bantuan yang kita hulur mampu meringankan tugas mereka.
Jika ada lebihan rezeki, gembirakan mereka. Hadiahkan mereka apa sahaja dalam kemampuan poket kita.
Tidak terbayar segala budi, jasa dan pengorbanan dengan apa yang kita hadiahkan. Namun ia cukup bermakna untuk mereka rasa diri mereka dihargai.
Buat kaum wanita seluruh dunia…
Terima kasih atas pengorbanan kalian. Tidak terbalas segala budi dan jasa. Semoga syurga buat kalian semua dan syurga kami juga.
Amin.
Sumber : Mohd Fadli Salleh
.